Setiap kali memasuki set penggambaran, penerbit dan pengarah legenda, Sanjay Leela Bhansali, dan pelakon veteran, Manisha Koirala, akan berasa kagum dan teruja dengan suasana mewah yang dipaparkan.
Itulah yang memikat Manisha, 53 tahun, bagi menjayakan siri drama Netflix yang dinanti-nanti ramai, Heeramandi: The Diamond Bazaar.
Drama yang turut dibintangi Sonakshi Sinha, Aditi Rao Hydari, Richa Chadha, Sharmin Segal, Sanjeeda Sheikh, Taha Shah Badussha dan Fardeen Khan itu mengisahkan tentang saga epik percintaan, kegilaan kuasa politik, balas dendam dan misi memburu kebebasan.
Penonton dibawa meninjau kehidupan keluarga diraja Heeramandi pada zaman sebelum kemerdekaan India.
Seorang putera raja yang bakal ditabalkan sebagai raja terjerat dalam dilema memilih cinta atau takhta diraja sehingga menjejas rutin seharian di negara itu.
Kebiasaan keluarga diraja mengambil wanita sebagai gundik untuk memuaskan nafsu golongan kaya raya mula digugat.
Terdapat juga wanita yang khidmatnya di istana bukan sebagai pelacur tetapi peneman pemimpin berpengaruh.
Mereka biasanya berbakat dalam menyanyi dan menari serta pandai menghiburkan pelanggan kaya mereka ini.
Siri drama itu dikatakan terhasil daripada idea yang Sanjay, 61 tahun, sulam selama 14 tahun.
Beliau bertuah kerana Netflix berminat mengusahakannya sambil meraikan seni, budaya, kecantikan set dan warisan yang sering dikaitkan dengan karya Sanjay.
Dalam satu wawancara di laman web, Filmfare bersama Manisha, beliau menceritakan perasaannya membawakan watak ibu ayam diraja, Mallikajaan.
Soalan (S): Terdapat suasana gah pada setiap set penggambaran Sanjay. Apakah set bagi drama ini sepertimana yang anda bayangkan atau adakah sesuatu yang tidak dijangka?
Manisha: Saya rasa apa yang Sanjay sediakan melebihi jangkaan saya. Saya cukup teruja pada hari pertama di set penggambaran. Setiap kamar dan sudut di Istana Shahi Mahal direka indah.
S: Sejauh mana paparan wanita peneman diraja atau ‘tawaif’ ini berubah dalam konteks filem Bollywood, dari dahulu hingga sekarang?
Manisha: Saya yakin Sanjay melakukan kajian menyeluruh. Salah tanggapan bahawa ‘tawaif’ adalah pelacur tidak lagi wujud. Ada segolongan yang bukan pekerja seks tetapi terlatih dalam seni dan budaya. Dalam drama ini, anda kenali ‘tawaif’ sebagai yang terlatih dalam kesenian, kesusasteraan dan tarian klasik. Kerajaan Heeramandi mewujudkan pusat seni dan bukan paparan wanita murahan yang menjaja diri.
S: Manisha, kali terakhir anda bekerjasama dengan Sanjay, anda memenangi Anugerah Filmfare. Adakah anda menjangkakan akan bekerja semula dengannya bagi projek sebesar ini?
Manisha: Saya tidak menjangkakannya. Sanjay adalah teman lama saya. Kami berkongsi nyala rasa pada bidang perfileman tetapi tidak menjangka akan bekerjasama lagi selepas filem Khamoshi. Saya selalu ingin menjadi sebahagian dunia perfilemannya, lebih-lebih lagi setelah saya menetap di Nepal. Peluang ini merupakan satu kejutan tidak diduga.
S: Bagaimana anda menghadam dan mengaitkan diri dengan watak kompleks dalam drama ini?
Manisha: Sebagai Mallikajaan, saya perlu memahami apa visi Sanjay buat watak ini. Saya membaca skrip beberapa kali dan berbincang dengan Sanjay agar saya dapat bentang ‘peta perjalanan’ buat watak ini dalam minda saya. Realiti kehidupannya, trauma yang dilalui dan mengapa dia selalu rasa serba tak kena dalam kehidupan. Mengapa dia pula nak ambil alih kuasa istana? Ada beberapa perkara baru yang Sanjay ingin suntik dalam watak ini yang tidak disisipkan dalam skrip. Sanjay arah saya buat perkara gila-gila dalam babak Mallikajaan mabuk. Apabila saya tonton balik babak itu, ia menakutkan sampai menghantui diri saya, sesuatu yang saya tak jangka wujud dalam diri Mallikajaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg