Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuami isteri ‘hidang’ sajian warisan menerusi koleksi tudung
Koleksi tudung hasil kerjasama Tashkila, Rumah Makan Minang rai budaya dan warisan
Daripada aroma rendang yang memeriahkan suasana Hari Raya hingga pulut hitam yang dihidangkan pada sambutan istimewa, makanan bukan sekadar hidangan bagi Cik Fathanah Suhairi dan Encik Muhammad Adil Rosli.
Sebaliknya, bagi pasangan suami isteri itu yang juga pengasas bersama jenama tudung Tashkila, setiap hidangan membawa kenangan tersendiri tentang keluarga, perayaan dan pengalaman mereka ketika membesar.
Kenangan dan emosi itulah yang cuba diterjemahkan Cik Fathanah, 33 tahun, dan Encik Adil, 31 tahun, menerusi koleksi baharu Tashkila, Sajian Singapura, ketika ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Koleksi yang merupakan hasil kerjasama bersama Rumah Makan Minang itu dilancarkan pada 30 Julai, menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Ia menampilkan enam rekaan tudung yang masing-masing mengambil ilham daripada hidangan yang dekat dengan masyarakat di Singapura, iaitu Masak Merah, Rendang, Pulut Hitam, Teh Tarik, Gulai Padang, dan Belado.
“Apabila kami berbincang dengan Rumah Makan Minang, kami menyedari kami berkongsi nilai yang sama, iaitu kecintaan yang mendalam terhadap masyarakat, komitmen terhadap keaslian, serta kepercayaan bahawa kisah tempatan harus diketengahkan dengan bangga,” jelas Cik Fathanah.
Menerusi kerjasama itu, Cik Fathanah juga berharap dapat mengetengahkan kisah masyarakat dan memelihara warisan tempatan untuk generasi akan datang.
“Kami merasakan tanggungjawab, terutama sekali terhadap generasi muda, untuk menunjukkan kepada mereka bahawa budaya kita kaya, kisah kita wajar diketengahkan, dan warisan kita merupakan sesuatu yang harus dibanggakan,” kata beliau.
Tambahnya, setiap hidangan yang menjadi inspirasi bagi koleksi itu tidak hanya dilihat dari segi rupa, malah turut mengambil kira perasaan dan emosi yang timbul apabila menikmatinya.
Sebagai contoh, pulut hitam digambarkan sebagai sesuatu yang lembut dan nostalgik, manakala belado pula membawa sifat panas dan berapi.
Beberapa corak tudung dalam koleksi itu juga menampilkan bahan yang digunakan dalam hidangan tersebut, termasuk bawang dan cili.
“Kami sangat bersyukur hasil rekaan Sajian Singapura berjalan dengan lancar dan para pelanggan kagum dengan keunikan corak yang dihasilkan,” kongsi Cik Fathanah, yang telah menubuhkan perniagaan tersebut bersama Encik Adil pada 2016.
Menurut beliau, koleksi itu turut menarik perhatian pelanggan dari luar Singapura, dengan tempahan diterima dari Malaysia dan Indonesia.
Kurang dua hari selepas Sajian Singapura dilancarkan, Cik Fathanah berkata beberapa coraknya telah habis dijual, dengan sekitar 400 helai dijual.
Beliau berkata pelancaran yang diadakan di Rumah Makan Minang itu menawarkan pengalaman unik apabila lauk-pauk dihidangkan satu persatu kepada tetamu, seiring dengan tudung diperagakan model yang menampilkan corak diilhamkan setiap hidangan.
Bagi Cik Fathanah, respons tetamu pada acara pelancaran itu menjadi antara kenangan paling bermakna daripada kerjasama tersebut.
“Beberapa tetamu berkata mereka pernah mendengar tentang Minang dari ibu bapa atau datuk serta nenek mereka, tetapi tidak berpeluang mencubanya dan acara itu merupakan kali pertama mereka mencuba lauk seperti Gulai Padang.
“Detik itu mengingatkan kami bahawa kerja kami jauh melangkaui dunia fesyen dan melibatkan penyambungan dan pemeliharaan budaya untuk generasi akan datang,” ujar Cik Fathanah.

