Dalam membesarkan anak remaja, ibu bapa kadangkala tidak dapat mengawal emosi apabila anak-anak berkelakuan tidak elok atau tidak mengikut peraturan.
Ibu bapa gagal mendengar dan bertindak secara negatif, dan ini membuat anak remaja lebih menjauhkan diri.
“Apabila mereka menjauh, adakala kita melihat merekalah sebagai ‘masalah’ dan bukannya corak komunikasi tidak sihat yang kita secara tidak sedar bentuk dengan anak remaja kita,” kata pekerja sosial berpengalaman lebih dua dekad, Cik Nur Hilyah Saparin.
Justeru dalam berkomunikasi dengan anak-anak, terutama remaja, ibu bapa disyorkan agar lebih banyak mendengar secara aktif daripada bercakap.
Mendengar secara aktif menunjukkan anak remaja bahawa ibu bapa prihatin dan ingin tahu.
Ia juga membantu ibu bapa belajar dan faham tentang apa yang sedang berlaku dalam kehidupan anak remaja mereka, kata Cik Nur Hilyah.
“Ini adalah bahan penting apabila kita bercakap tentang menjalin ikatan dengan anak remaja kita,” tambahnya.
Cik Nur Hilyah antara penceramah yang akan berucap di sidang keibubapaan percuma anjuran Berita Harian pada 2 November.
Acara berjudul, Mengeratkan Hubungan Bersama Anak, itu akan diadakan dari dua hingga lima petang di Pusat Konvensyen Suntec.
Cik Nur Hilyah akan menyampaikan ceramah berjudul, Kemahiran Keibubapaan Positif – Menjalinkan Hubungan dan Mencipta Bersama.
Penceramah motivasi, Ustazah Shameem Sultanah, akan menyampaikan ceramah kedua berjudul, Prinsip Keibubapaan Islam yang Positif.
Sesi perbincangan anggota panel termasuk soal jawab juga akan diadakan berkaitan topik menyediakan persekitaran selamat untuk anak-anak mengharungi kehidupan dengan yakin.
Anggota panel bagi sesi itu ialah penceramah motivasi, Ustazah Liyana Musfirah; pegawai kes kanan di unit penjagaan selepas (penyepaduan semula) AMP, Cik Shafiqah Ashur; pengerusi eksekutif dan perunding utama SuChi Success Initiatives Pte Ltd dan Ketua bagi Jawatankuasa Kecil Bapa Teladan di Nakhoda, Encik Mohamed Khair Mohamed Noor; dan sukarelawan IM Volunteers Network, Encik Danial Iskandar.
Dalam ceramahnya, Cik Nur Hilyah akan berkongsi bagaimana ibu bapa dapat mencari pilihan alternatif kepada cara mereka berkomunikasi dengan anak-anak.
Antara lain, beliau akan menekankan pentingnya ibu bapa mengawal emosi mereka dan kekal tenang sebagai langkah pertama ke arah menjalin ikatan dengan anak-anak.
“Apabila kita kekal tenang, anak remaja kita mendapat ‘isyarat’ itu daripada kita, dan ini boleh membantu mereka berasa lebih tenang dan selamat untuk berkongsi cabaran mereka dengan ibu bapa,” kata Cik Nur Hilyah.
Ustazah Shameem juga menekankan pentingnya untuk ibu bapa terus mendampingi anak remaja mereka, memberi mereka sokongan, berbual dan mendengar luahan mereka.
“Ada bahagian otak anak-anak, walaupun sudah remaja, belum berkembang penuh.
“Mereka mungkin sudah baligh tetapi masih belum lagi dapat membuat pertimbangan yang betul atau menguruskan kelakuan mereka dengan baik dalam situasi sosial,” katanya.
Ustazah Shameem berkata dalam Al-Quran terdapat banyak panduan yang boleh membimbing ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.
“Ada banyak nasihat keibubapaan dalam Al-Quran.
“Kita kadangkala geram anak buat sesuatu yang kita fikir tidak sepatutnya mereka lakukan kerana mereka sudah remaja.
“Tapi Al-Quran menunjukkan bahawa kita perlu bersikap belas kasihan apabila bercakap dengan mereka,” terang Ustazah Shameem.
Dalam ceramahnya, ibu bapa akan dapat belajar kemahiran mendekati anak remaja berdasarkan ajaran Islam, supaya peningkatan dapat dilihat dalam ibu bapa dan anak-anak.
Ini bagi menjadikan proses keibubapaan lebih terurus dan lebih tenang, dan bukan lebih memberi tekanan, katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg