KUALA LUMPUR: Jauh di seberang lautan bukan alasan untuk Nur Fatima melupakan terus bidang nyanyian yang menjadi kecintaannya.
Buktinya, penyanyi yang popular dengan lagu Selembut Sutera itu muncul dengan single baru, Ku Cuba, sekali gus menjadi penawar buat peminat yang merindukan kehadirannya.
Berkongsi kisah menarik di sebalik pembikinan lagu ciptaan Sharon Paul dan seni kata oleh Shah Shamshiri itu, Nur Fatima atau nama sebenar Nur Fatimah Abdul Wahab memberitahu, lagu itu sepatutnya dirakamkan penyanyi lain.
Namun, rezeki akhirnya berpihak kepadanya.
“Lagu ini pada awalnya dicadangkan untuk dua penyanyi. Malah, lagu ini sempat dinyanyikan seorang penyanyi power sebelum saya merakamkannya.
“Keputusan itu dibuat pihak pengurusan dan penerbit muzik. Mereka berpendapat single ini lebih sesuai dinyanyikan saya kerana kelembutan tona dimiliki.
“Lagipun, bait liriknya lebih mudah saya hayati. Ini adalah nukilan teman rapat saya iaitu Shah.
“Selain maksudnya, genre lagu ini lebih ke arah power ballad yang sangat mencabar dengan nada tinggi dan rendah serta mainan emosi yang mendalam agar nyanyian sampai ke hati pendengar.
“Lama juga saya ‘bertapa’ di studio untuk menghayati lirik hingga Sharon betul-betul berpuas hati.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya atas bimbingan yang sangat berharga,” katanya yang kini bermastautin di Sydney, Australia, kerana mengikut suami.
Kali terakhir, Nur Fatima muncul dengan single baru ialah tiga tahun lalu menerusi lagu berjudul Galerii, lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Nur Fatima atau lebih akrab disapa Nur mengakui bukan mudah untuk dirinya relevan dalam industri muzik yang cukup mencabar itu.
Bagaimanapun, Nur Fatima yang sudah 25 tahun berkecimpung dalam bidang seni menganggap hanya mereka yang cekal dan tidak mudah putus asa mampu bertahan.
“Walaupun sudah bertahun menjadi anak seni, cabarannya tetap ada. Untuk terus kekal dalam industri muzik, ia sangat mencabar berikutan persaingan kuat.
“Namun, saya tidak pernah berputus asa dan memberanikan diri untuk melakukan kerja di belakang tabir. Saya juga ambil keputusan menyambung pelajaran dalam bidang muzik demi menambah ilmu.
“Saya nasihatkan bakat baru utamakan pelajaran sebelum memilih bidang yang diminati. Pelajaran bukan sahaja memberi ilmu, tetapi memupuk disiplin dan apa yang paling penting, sayangi diri dengan menjaga kesihatan fizikal dan emosi, harus berani serta jangan cepat berputus asa,” katanya.
Lagu Ku Cuba boleh didengar di semua pelantar digital, manakala video muzik sudah ditayangkan di saluran YouTube Nur Fatima Music.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg