Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siti K tak jadi sambut Tahun Baru di rantauan kerana ‘lamaran’ Najip Ali

Dec 29, 2024 | 5:30 AM
Siti Khalijah Zainal tidak sangka diberi peluang berkongsi pentas dengan nama besar seperti Datuk Francissca Peter dan Jatt Ali pada acara ‘Konsert Diskorama!’
Siti Khalijah Zainal tidak sangka diberi peluang berkongsi pentas dengan nama besar seperti Datuk Francissca Peter dan Jatt Ali pada acara ‘Konsert Diskorama!’ - Foto ESPLANADE

Setiap Tahun Baru, aktivis teater Singapura dan penerima Anugerah Seniman Muda, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Siti Khalijah Zainal, akan berada di luar negara untuk bertukar angin dan bercuti daripada jadual kerja yang padat.

Bagaimanapun, pada 1 Januari 2025, Siti Khalijah, 39 tahun, yang lebih mesra dengan nama pentas Siti K, tidak akan menghampakan ikon televisyen, Najip Ali, untuk sama-sama memeriahkan konsert Tahun Baru Esplanade, Konsert Diskorama!

Najip dan pasukannya telah diminta menyelaras konsert berkenaan yang turut menampilkan legenda muzik, Jatt Ali dan Datuk Francissca Peter, serta penyanyi Singapura lain, Alia D, Izat Ibrahim dan Syaz Smooth.

Siti yang merupakan pemenang rancangan realiti Berani Nyanyi (Musim Kedua) terbitan Najip berkongsi dengan Berita Minggu (BM) mengenai penglibatannya dalam Konsert Diskorama! dan kenangan sepanjang 2024 serta harapan bagi 2025.

Soalan (S): Apa perasaan Siti apabila mendapat tawaran menjayakan Konsert Diskorama!? Apa pula tanggapan tentang muzik disko?

Siti: Bagaikan tak percaya sebab diminta menyanyi, sedangkan ramai lebih mengenali saya sebagai pelakon dan bukannya penyanyi.

Apabila ditawarkan Najip sendiri, saya terfikir mungkin kerana saya adalah juara Berani Nyanyi (Musim Kedua). Okey sahaja. Tapi apabila lihat barisan penyanyi profesional yang akan bersama, terfikir...alamak, boleh ke saya pun jadi sebahagian artis pada malam itu?

Saya anggap muzik disko sebagai malar segar. Sampai sekarang, orang takkan penat, jelak atau muak mendengarnya.

Saya pula dibesarkan arwah ayah saya dengan muzik disko sebegini. Arwah ayah merupakan peminat kumpulan Boney M. Justeru, saya suka dengan lagu Brown Girl In The Ring, Sunny dan Rivers of Babylon.

S: Rancangan nak menyambut Tahun Baru (2025) di luar negara nampaknya tak menjadi. Kongsi pengalaman meraikan Tahun Baru di rantauan bagi beberapa tahun sudah.

Siti: Apa nak buat? Najip Ali dah panggil! Saya tak mampu menghampakannya sebab dari saya awal-awal terlibat dalam teater, beliaulah orang yang banyak beri saya galakan. Inilah masanya saya menyumbang semula kepada projek Najip.

Bagaimanapun, saya ambil beberapa hari sebelum Krismas untuk bercuti di Kuala Lumpur.

Saya kembali untuk berlatih bagi Konsert Diskorama! Selepas 1 Januari, saya ‘bayar niat’, sambung cuti ke Bangkok, Thailand, untuk membeli-belah, makan sakan dan berkunjung ke pasar malamnya yang melambak.

Kalau ditanya negara lain yang pernah saya kunjungi sewaktu Tahun Baru, saya akan katakan Jepun bagi 2023 dan 2024. Saya selesa jalan-jalan di Tokyo sambil meninjau fesyen dan makanan di sana. Memang sibuk kota Tokyo ni.

Saya juga pernah mengalami Tahun Baru menyedihkan di Bandung, Indonesia. Saya dan kawan saya terkena flu perut sebab tersalah makan atau memang perut kami tak tahan makan hidangan di jalanan.

S: Apakah kenangan terindah sepanjang 2024? Apa harapan 2025?

Siti: Menjayakan dua acara kebangsaan besar-besaran pada tahun yang sama iaitu Pesta Chingay dan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP). Pada 2025, saya juga terpilih untuk berlakon dalam Pesta Chingay.

Saya terlibat dalam NDP sebanyak empat kali manakala Pesta Chingay pula tiga kali.

Tak pernah seorang bakat setempat ditawarkan dua projek nasional serentak pada tahun yang sama. Jadi saya rasa bertuah dan bersyukur.

Walaupun dah beberapa kali terlibat dalam NDP, setiap tahun pengalamannya berbeza. Ada tema berbeza, cabaran berbeza dan pengacara pun perlu buat perkara berbeza.

Pada 9 Ogos 2024, kita dah harap-harap cuaca ‘cun’, tahu-tahu hujan lebat! Terpaksa usahakan rancangan gantian agar NDP tetap berjalan lancar.

Saya anggap Pesta Chingay lebih seronok sebagai penonton sebab anda boleh melihat perarakan dari dekat. Di sini, kita lihat perpaduan pelbagai kelompok masyarakat daripada bermacam kelab masyarakat berhimpun bersama.

Tak sabar nak jayakan Pesta Chingay 2025 di F1 Pit selain lima pementasan teater bagi 2025.

S: Apa yang diperlukan untuk terlibat dalam acara gah seperti NDP dan Chingay?

Siti: Saya bersyukur memiliki latihan teater. Kita tak boleh harapkan suara kita akan jelas didengar dengan menggunakan mikrofon.

Kita perlu tenaga meluap-luap dan suara lantang untuk lontar vokal kita sebagai pengacara dan pelakon. Keserasian dengan pengacara lain juga perlu.

Kita perlu peka keadaan sekeliling sebab apabila muka masuk kamera dan anda tak dengar apa-apa, sulit bukan jadinya? – HARYANI ISMAIL

Tiket berharga antara $30 dengan $80 untuk ‘Konsert Diskorama!’ pada 1 Januari 2025 mulai 8 malam boleh ditempah di laman web Sistic (www.sistic.com.sg).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg