Suara adalah aset paling berharga bagi setiap penyanyi.
Begitu juga bagi juara, Gegar Vaganza (Musim Kedua), Siti Nordiana Alias, atau lebih dikenali sebagai Nana.
Sejak setahun lalu, Nana, 40 tahun, terpaksa berpantang tidak mengambil minuman berkafein demi menjaga suara.
Biarpun sulit baginya yang merupakan penggemar kopi, Nana terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan kerjayanya dalam industri seni selepas mengalami masalah peti suara.
Menurut Nana, peti suaranya mengalami masalah akibat kesan jangkitan Covid-19 dan selain berpantang minuman mengandungi kafein, beliau mengambil inisiatif mengikuti kelas vokal di bawah bimbingan Datuk Syafinaz Selamat, bagi meningkatkan mutu nyanyiannya.
Ketika ditemui Sinar Harian pada sidang media, Konsert Tomok dan Siti Nordiana: Memori Mungkin Berulang, Nana berkongsi:
“Setiap bulan, saya akan mengikuti kelas vokal untuk mempertingkatkan kemampuan vokal.
“Insya-Allah, dengan bimbingan Cikgu Syafinaz, saya berusaha untuk mengurangkan risiko kerosakan peti suara melalui latihan intensif.
“Sebenarnya agak sukar untuk berpantang kerana saya memang penggemar kopi, tetapi saya terpaksa melakukannya kerana kopi menyebabkan saya mengalami masalah berkahak.”
Ibu seorang anak remaja itu turut menyatakan bahawa keadaan suaranya juga menyebabkan beliau sering mendapat teguran dan kritikan netizen.
Bagaimanapun, pelakon drama, Dia Semanis Honey, itu menjadikan semua teguran dan kritikan sebagai didikan dan pengajaran untuk beliau memperbaiki diri sekali gus berkembang dalam kerjaya seni.
“Sebagai anak seni, jiwa kita perlu kental. Saya sendiri pun pernah dikritik teruk. Malah semasa dalam program realiti, All Stars Gegar Vaganza (ASGV) pun, saya teruk dikecam.
“Tapi bagi saya, setiap kritikan itu sebenarnya mengajar kita untuk lebih cepat belajar dan keluar dari zon selesa,” tambahnya.
Selain itu, Nana mengakui teruja bakal berkongsi pentas dengan Tomok di konsert, Tomok dan Siti Nordiana: Memori Mungkin Berulang, yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari 2025.
Beliau menyifatkan konsert itu sebagai kesinambungan duet dengan Tomok menyusuli kejayaan lagu, Memori Mungkin Berulang.
Selain menyanyikan lagu solo masing-masing, Nana berkongsi bahawa mereka juga akan membawakan lagu hit yang akan mengimbau kenangan peminat ke zaman kegemilangannya termasuk duet bersama Allahyarham Achik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg