Setelah menemui cinta sejati dan mendirikan rumah tangga dengan seorang pereka fesyen, pelakon Malaysia, Siti Saleha, 34 tahun, mula berjinak-jinak dalam perniagaan fesyen, khususnya menjual produk baju kurung sempena Aidilfitri.
Suami Saleha, Joshua Fitton, 38 tahun, merupakan pemilik jenama fesyen, Atelier Fitton.
Terdahulu, pada 15 Februari, pasangan merpati dua sejoli itu melangsungkan pernikahan mereka secara tertutup dalam majlis yang dihadiri keluarga dan teman rapat di Enderong Resort, Janda Baik, Pahang.
Sedang ramai selebriti mempromosikan jenama busana baju kurung mereka di media sosial, pelakon drama, Nora Elena itu juga tidak ingin ketinggalan melancarkan jenama miliknya, Saleha X Atelier Fitton.
Jenama itu juga merupakan kolaborasi pertamanya bersama suami.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) pada 8 Mac di hotel Mercury Icon Singapore Centre, Saleha berkata:
“Ini adalah kali pertama saya melancarkan jenama fesyen sendiri dan bekerjasama dengan suami saya, Joshua.
“Sebenarnya, saya sudah lama mengimpikan untuk melakukan sesuatu perihal fesyen.
“Bahkan, saya juga pernah cuba mengeluarkan produk fesyen empat tahun lalu (2021).
“Ketika itu, saya hanya mengusahakannya bersama pengurus saya, Kak DeeDee.
“Perkara ini memerlukan pasukan yang kuat untuk mengendalikan pengeluaran produk secara besar-besaran, menyelaras dengan pembekal serta mencari kain yang sesuai.
“Memandangkan saya tidak ada cukup kakitangan untuk mengurus semua itu dulu, maka, idea itu pun tidak diteruskan.”
Ketika ditemui BH, Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum, berada di Singapura bagi pesta dagangan, Celebfest, yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura pada 7 hingga 9 Mac, untuk mempromosikan jenama barunya buat julung-julung kali.
Lebih menarik lagi, pemilihan kain dan warna bagi koleksi itu diilhamkan daripada personaliti pasangan pengantin baru itu yang menyukai keindahan alam semula jadi yang penuh ketenangan.
Saleha turut menamakan setiap pakaiannya dengan nama watak yang pernah beliau bawakan dalam drama seperti Sofi daripada That Cover Girl; Mia daripada 7 Hari Mencintaiku; Jo atau Johanna daripada The Secret; Wangi daripada Hilang dan Humairah daripada drama terbarunya, Dia Imamku.
“Dalam koleksi ini, semuanya ‘free saiz’ atau tidak kira bentuk badan.
“Kami juga mahu pakaiannya kelihatan ‘flowy’ (longgar dan mengalir mengikut bentuk badan) dan selesa.
“Selain itu, kain memainkan peranan penting dalam koleksi ini. Kami import semua bahan kain dari Jepun.
“Ada bahan satin, kapas dan ada juga seperti gabungan antara kededua itu.
“Setiap busana saya namakan mengikut watak yang pernah saya mainkan dalam drama.
“Misalnya, yang saya peragakan sekarang terinspirasi daripada watak Sofi daripada That Cover Girl,” jelasnya.
Dalam pada itu, Saleha turut menjelaskan bahawa ini merupakan masa yang tepat untuk melancarkan jenama, Saleha X Fitton, memandangkan drama yang dibintanginya, Dia Imamku, sedang diudarakan di siaran Astro Ria.
Drama arahan Feroz Kadir yang menggandingkan Saleha bersama Kamal Adli itu berlangsung selama 52 episod.
Diadaptasikan daripada novel tulisan, Siti Rosmizah, Dia Imamku mengisahkan tentang Cempaka Humairah (Siti Saleha), seorang wanita jelita yang terpaksa menjalinkan hubungan dengan Budin (Kamal Adli), yang bekerja sebagai pemandu.
Walaupun Budin sentiasa diherdik, namun, takdir tetap menemukan cinta antaranya dengan Humairah.
Memegang watak sebagai Chempaka Humairah, Saleha menonjolkan sisi lain yang akan membuatkan penonton berasa sakit hati dengan perangai dan kebiadaban watak tersebut.
“Sebelum ini, drama bersiri, 7 Hari Mencintaiku, di mana saya memainkan watak wanita dominan, juga berdasarkan karya novel Kak Siti Rosmizah.
“Saya rasa bersyukur kerana mendapat tawaran ini sekali lagi. Bagi saya, cita rasa dan pemilihan watak sangat penting. Kalau boleh, saya tidak mahu memainkan watak wanita yang dipukul dan lemah.
“Sudah sampai masa kita tunjukkan sisi wanita yang lebih dominan pula dalam drama.
“Dalam pada itu, saya tahu novel ini ada pengikutnya dan jalan ceritanya juga sangat kuat sebab ia merupakan karya Kak Siti Rosmizah.
“Saya percayakan karyanya,” jelasnya.
Pada 2024, Saleha menjadi salah seorang daripada tujuh pemenang bagi anugerah Bintang Asia Cemerlang di Anugerah Drama Seoul di Yeouido KBS Hall, Korea Selatan.
Pengiktirafan berprestij itu berdasarkan undian peminat yang mengiktiraf persembahan cemerlangnya melalui drama daripada wadah penstriman, Tonton Original Series, bertajuk Seofis yang ditayangkan pada awal 2024.
Beliau turut menerima penghargaan menerusi Anugerah Personaliti Jenama 2025 anjuran BrandLaureate yang berlangsung di Swissotel, The Stamford, pada 25 Februari.
Saleha meluahkan rasa syukur kerana penghargaan itu adalah hasil kerja kerasnya sepanjang bergelar anak seni.
“Penghargaan ini sangat bermakna untuk saya kerana ia bukanlah berdasarkan undian, tetapi berbuah daripada hasil kerja keras saya sepanjang berada dalam industri hiburan,” ujar Saleha.
Menyentuh tentang projek akan datang, Saleha untuk kali pertama bakal mengarahkan telefilem bergenre komedi romantik berjudul, Retak Hatiku, yang mengetengahkan kisah hubungan cinta antara dua insan berlainan bangsa.
Pada 14 hingga 16 Mac, Saleha akan berada di bazar Gemilang Kampung Gelam 2025, untuk mempromosikan koleksi baju Raya daripada jenama Saleha X Fitton.
Drama Dia Imamku pula boleh ditonton di siaran Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis, pada 10 malam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg