Manisnya takdir pelakon popular, Siti Saleha, 35 tahun, apabila dipertemukan dengan cinta sejatinya, Joshua Fitton, 38 tahun, seorang pereka fesyen dan pemilik jenama, Atelier Fitton.
Setelah dua setengah tahun menyemai ikatan cinta, Saleha dan Joshua melangsungkan pernikahan mereka secara tertutup dalam majlis yang dihadiri keluarga dan teman rapat kedua mempelai di Enderong Resort, Janda Baik, Pahang, pada 15 Februari.
Ibarat setumbuk bagai gelang, sejodoh bagai cincin, yang bermaksud jodoh yang sesuai benar, pasangan itu tidak hanya serasi kerana berkongsi darah kacukan Melayu-Inggeris malah, mereka juga saling melengkapi dan berkongsi hobi yang sama.
Dengan sekali lafaz, Joshua sah menjadi suami kepada Saleha pada 9 pagi, disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan, Encik Mohd Baharum Abdul Rahman, dengan disaksikan 40 tetamu.
Majlis bertema warna putih bersih itu diteruskan dengan resepsi sederhana, di lokasi yang sama pada tengah hari, dengan dihadiri 140 tetamu yang menyaksikan majlis bagi merai cinta mereka.
Saleha, bintang drama, 7 Hari Mencintaiku, meluahkan kebahagiaannya kerana akhirnya menemui lelaki idaman yang memahami dan melengkapi hidupnya.
Beliau berkata: “Selepas lebih tiga tahun hidup sendiri, akhirnya saya bertemu dengan pasangan sehati sejiwa.
“Joshua lelaki yang sederhana, berhati baik, beradab dan paling penting, menghormati bapa saya.
“Semua bukan dibuat-buat atau paksaan, tetapi datang secara semula jadi.”
Saleha turut bahawa berkongsi suaminya itu adalah insan yang mudah diajak berbicara dan memiliki pengetahuan luas, menjadikan setiap perbualan mereka bermakna.
Lebih menarik lagi, pasangan itu berkongsi minat yang sama terhadap kegiatan lasak seperti mendaki, menikmati air terjun dan menjelajah keindahan alam.
“Bohonglah kalau kami tak pernah bergaduh besar, tetapi hanya sekejap.
“Kami juga manusia tak sempurna, tetapi Joshua seorang yang merendah hati dan tiada ego tinggi,” cerita Saleha lagi kepada laman web, Berita Harian Malaysia (BHM), dalam pertemuan eksklusif selepas majlis resepsi di Janda Baik.
Joshua, lulusan Sarjana Seni Bina daripada Lincoln School of Architecture, Universiti Lincoln di Britain itu turut berkongsi lamaran mengejut yang dibuatnya di puncak Gunung Kinabalu pada April 2024.
Enggan pisang berbuah dua kali sebagaimana dalam perkahwinan pertamanya dahulu, kali ini Saleha benar-benar mengenali hati budi pasangannya sebelum membuat keputusan berkahwin kerana ingin memastikan perkahwinan kali ini kekal bahagia selamanya.
Terdahulu, Saleha pernah mendirikan rumah tangga bersama kakitangan awam, Ahmad Lutfi Azhar, namun perkahwinan tersebut berakhir pada 2021 selepas empat tahun bersama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg