Topic followed successfully
Go to BHkuSokong perkembangan anak, perkasa kesejahteraan keluarga
Sokong perkembangan anak, perkasa kesejahteraan keluarga
Ibu bapa, pengasuh perlu luang masa bermutu, bina rutin konsisten bentuk emosi, keyakinan diri anak
Sokong perkembangan anak, perkasa kesejahteraan keluarga
Setiap anak adalah anugerah yang diamanahkan kepada kita.
Menjadi tanggungjawab kita – ibu bapa dan masyarakat – untuk memelihara serta memastikan anugerah ini berkembang dan menyerlah sepenuhnya.
Setiap kanak-kanak unik, dengan kadar perkembangan yang tersendiri.
Ada yang memerlukan lebih masa, galakan, sokongan dan penjagaan khusus.
Namun, setiap kanak-kanak tetap mempunyai minat, potensi dan kekuatan yang wajar diraikan.
Peranan ibu bapa, pengasuh
Ibu bapa dan pengasuh memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan anak.
Interaksi harian di rumah, walaupun kecil, memberi kesan besar terhadap perkembangan dan kesejahteraan emosi mereka.
Berdasarkan pandangan dan pengalaman pengamal daripada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), berikut beberapa strategi mudah yang boleh diamalkan:
1) Galak pergerakan aktif
Kegiatan seperti melompat, merangkak atau bermain bola membantu meningkatkan tumpuan, kawalan emosi dan keyakinan diri.
Kegiatan menyeronokkan seperti meniru gaya berjalan haiwan dapat menjadikan pergerakan lebih menarik, manakala melibatkan anak dalam kerja rumah mudah membantu membina koordinasi, rasa tanggungjawab dan sifat berdikari.
2) Luang masa bermutu
Peruntukkan sekitar 20 minit, tiga hingga empat kali seminggu untuk diluangkan bersama anak tanpa sebarang gangguan.
Ikuti minat anak dan elakkan penggunaan telefon atau melakukan kerja lain.
Masa fokus ini mengeratkan hubungan serta membuat anak rasa dihargai dan didengari.
3) Tetapkan rutin tekal
Jadual tetap untuk bangun, makan, bermain, melakukan kerja rumah dan tidur membantu anak berasa lebih selamat, seterusnya mengurangkan keresahan dan cabaran tingkah laku.
4) Cipta suasana belajar positif
Kurangkan bunyi latar dan gangguan visual semasa anak belajar atau bermain bagi meningkatkan tumpuan dan penglibatan mereka.
5) Galak permainan imaginasi
Kegiatan bermain sambil berlakon peranan seperti memasak atau membeli-belah menyokong perkembangan bahasa, kemahiran sosial, kreativiti serta pemahaman emosi.
6) Sokong pengurusan emosi
Amalkan rutin menenangkan sebelum tidur seperti membaca, melukis atau mendengar muzik lembut bagi membantu anak belajar menenangkan diri dan mengawal emosi.
Apabila diamalkan secara tekal, strategi ini dapat menyokong perkembangan menyeluruh dan kesejahteraan emosi anak.
7) Jaga ‘bateri’ ibu bapa
Menjaga anak, terutama yang mempunyai keperluan khusus, boleh memberi tekanan emosi dan fizikal.
Ramai ibu bapa mengabaikan keperluan diri kerana terlalu memberi tumpuan kepada keluarga.
Namun, kesejahteraan ibu bapa sama penting dengan kesejahteraan anak. Penjagaan diri bukanlah satu pilihan, tetapi keperluan.
Ibarat bateri telefon, apabila kehabisan tenaga, fungsinya menjadi terhad.
Begitu juga apabila ibu bapa keletihan – kesabaran dan tumpuan mudah terjejas.
Mengambil masa untuk mengisi semula tenaga membolehkan ibu bapa terus menyokong anak dengan lebih berkesan dan penuh kasih sayang.
Tanda awal tekanan ibu bapa
Antara tanda amaran yang menunjukkan ibu bapa mungkin perlu mendapatkan sokongan ialah:
– Rasa letih, cemas atau murung secara berpanjangan
– Sukar tidur atau menumpukan perhatian
– Mudah marah atau rasa putus asa
– Hubungan keluarga mula terjejas
– Rasa terasing atau tidak pasti cara melangkah ke hadapan
Mendapatkan bantuan awal boleh mencegah keletihan melampau dan melindungi kesejahteraan ibu bapa serta keluarga.
Langkaui rumah: Sokongan untuk keluarga
Sokongan keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan ibu bapa tidak menghadapi cabaran ini secara bersendirian.
Seiring dengan Bulan Kesedaran Autisme, jerayawara ReadySetLearn (RSL) yang akan berlangsung pada 25 dan 26 April menyediakan wadah inklusif untuk ibu bapa dan pengasuh anak bawah umur 16 tahun.
Program ini menghimpunkan pendidik, pengamal serta rakan kongsi masyarakat melalui bengkel interaktif, kegiatan praktikal dan sesi perkongsian santai.
Pendekatan ini bertujuan menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak, memperkukuh daya tahan keluarga, serta menggalak ibu bapa mendapatkan sokongan sesuai pada waktu yang tepat.
Melaluinya, setiap anak dapat berkembang sebagai pelajar yang yakin.
Selain itu, pelbagai bantuan turut tersedia melalui Pusat Khidmat Keluarga (FSC), Pejabat Khidmat Sosial (SSO) dan pertubuhan seperti CaringSG.
Mendapatkan bantuan adalah tanda kekuatan, bukan kegagalan.
Ibu bapa tidak perlu menghadapi cabaran ini sendirian.
Pelbagai bentuk sokongan tersedia, sama ada ibu bapa memerlukan nasihat, seseorang untuk mendengar, sokongan emosi, atau teman untuk melalui perjalanan ini bersama.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web KKH atau hubungi talian bantuan berikut.
Pusat Khidmat Keluarga (FSC) dan Pejabat Khidmat Sosial (SSO)
Hubungi talian Bantuan ComCare: 1800-222-0000
CaringSG Ltd (latihan penjaga, kumpulan sokongan dan kaunseling)
Hubungi talian: 8023-3150
Kirim e-mel ke: contact@caring.sg
Samaritans of Singapore (SOS)
Hubungi talian: 1767
Kirim WhatsApp CareText ke: 9151-1767
Kecemasan
Hubungi 999 atau 995
Artikel ini disumbang oleh Pekerja Sosial Kanan Perubatan, Cik Siti Aishah Kusairi, dan Ahli Terapi Cara Kerja Kanan, Cik Elisa Chong, Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).
