Pelbagai kegiatan menarik menanti seisi keluarga di jerayawara, ReadySetLearn (RSL), pertama anjuran Yayasan Mendaki di One Punggol pada 25 dan 26 April 2026.

Dianjurkan di bawah pelan kerja Mendaki 2030, jerayawara itu bertujuan memperkasa ibu bapa dan pengasuh yang mempunyai anak berusia 16 tahun ke bawah agar memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong pembelajaran di rumah.

Selain di One Punggol, jerayawara itu akan diadakan di beberapa kawasan kejiranan sepanjang 2026.

 Di jerayawara, ReadySetLearn (RSL), kanak-kanak berpeluang meneroka pelbagai kegiatan di zon permainan interaktif yang direka untuk merangsang kreativiti dan semangat ingin tahu.
 Di jerayawara, ReadySetLearn (RSL), kanak-kanak berpeluang meneroka pelbagai kegiatan di zon permainan interaktif yang direka untuk merangsang kreativiti dan semangat ingin tahu. - Foto YAYASAN MENDAKI

Melalui pelbagai bengkel, kegiatan dan zon permainan interaktif, ibu bapa dan kanak-kanak berpeluang mempelajari cara memperkukuh persekitaran pembelajaran di rumah melalui pendekatan pembelajaran berasas permainan yang membantu membina keyakinan serta menyemai rasa ingin tahu dalam diri kanak-kanak.

Pada masa sama, ibu bapa juga akan menerima panduan serta akses kepada sumber sokongan daripada pendidik bertauliah dan sekitar 20 rakan kongsi kebangsaan serta masyarakat, termasuk Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Majlis Keluarga Sepanjang Hayat (FFL), KidStart, Perdaus dan Persatuan Kesihatan Mental Singapura (SAMH).

Dalam usaha memperkukuh ekosistem sokongan yang menyeluruh untuk keluarga, acara itu memaparkan reruai yang menyediakan panduan keibubapaan yang praktikal, maklumat mengenai perkembangan kanak-kanak dan kesedaran kesihatan mental.

Terdapat juga rujukan kepada sumber masyarakat dan perkhidmatan sokongan awal bagi membantu keluarga mengharungi pelbagai peringkat perkembangan anak-anak mereka.

Kanak-kanak pula berpeluang meneroka pelbagai kegiatan di zon permainan interaktif yang direka untuk merangsang kreativiti dan semangat ingin tahu.

Antara kegiatan yang ditawarkan termasuk sesi pembelajaran deria oleh Teepy Tribe, cabaran Lego dan robotik oleh Kodecoon, serta kegiatan dwibahasa oleh KidzMeadow.

Kegiatan itu bertujuan mengeratkan hubungan keluarga sambil menjadikan pembelajaran satu pengalaman yang menyeronokkan.

Di samping itu, Mendaki turut menyediakan pelbagai bengkel seperti Peneroka Matematik RSL, Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) dan sesi perkembangan bahasa oleh Perdaus.

Selaras dengan usaha meningkatkan kesedaran tentang sokongan awal bagi kanak-kanak ‘neurodivergen’ sempena Bulan Kesedaran Autisme, pakar daripada Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH), Pusat Rainbow dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura (SCS) juga akan berkongsi dalam sesi perbincangan santai mengenai perkembangan kanak-kanak, keperluan pendidikan khas (SEN), campur tangan awal dan kesejahteraan mental.

Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Encik Feroz Akber, berkata jerayawara RSL itu mencerminkan komitmen pelan kerja Mendaki 2030 untuk membina keluarga lebih kukuh dengan memperkasa ibu bapa daripada peringkat awal pembangunan anak mereka.

“Melalui inisiatif ini, kami ingin menyediakan panduan yang praktikal, mudah diakses dan boleh dipercayai untuk ibu bapa.

“Pada masa sama, kami juga ingin menghimpunkan pendidik dan rakan kongsi untuk bersama-sama mewujudkan persekitaran sokongan yang membolehkan anak-anak kita boleh berkembang maju,” ujarnya.

Jerayawara RSL adalah salah satu inisiatif di bawah program RSL yang terdiri daripada empat inisiatif utama: Jerayawara RSL, Peneroka Matematik RSL, Peneroka Bahasa RSL dan Kit RSL.

Artikel ini disumbang oleh Yayasan Mendaki.