Setelah hampir 30 tahun berkecimpung dalam dunia perfileman Korea, pelakon, Song Hye-kyo, sudah cukup masak dengan pelbagai cabaran industri hiburan.
Beliau malahan sudah lali dengan tanggapan mereka di sekeliling yang kadangkala pahit ditelan.
Menentang segala prasangka dan salah faham penonton tentang dirinya sendiri sebagai anak seni atau watak yang dimainkan sudah menjadi basahan dalam kehidupan Song, 43 tahun.
Bintang yang bermula sebagai model bagi syarikat pengeluar pakaian seragam sekolah, SunKyung, pada usia 14 tahun, bagaimanapun, menjelaskan dirinya kini lebih tenang dalam mengatasi tekanan bergelar dramatis yang sentiasa menarik perhatian peminat.
Dalam wawancara bersama akhbar Inggeris Korea Selatan, The Korea Times, Song yang kelihatan ceria dan ramah berkata, dirinya kini lebih dambakan watak ‘gelap’ yang mencabar berbanding watak wanita romantis yang kerap dibawanya sewaktu muda belia.
Projek terkini Song adalah filem seram, Dark Nuns, yang kini ditayangkan di pawagam Golden Village (GV) serata Singapura.
Beliau membawa watak biarawati berani, Sister Yunia, yang lantang bersuara serta sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan orang lain termasuk seorang budak lelaki yang teruk dirasuk.
“Apabila saya jauh lebih muda, saya suka menonton diri saya di layar perak dan selalu sibukkan tentang apakah diri saya kelihatan cantik?
“Ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Maklumlah, kita masih muda dan mestilah nak kelihatan cantik dipandang orang.
“Tentunya sampai sekarang saya masih ingin kelihatan menawan tetapi saya yang lebih matang kini lebih tertumpu pada keberkesanan watak yang saya bawa.
“Apakah saya dapat meluahkan sewajarnya apa yang tersimpan dalam hati watak ini?” ujarnya.
Selepas menjayakan drama tentang membalas dendam, The Glory, Song teruja membawa watak Sister Yunia dalam Dark Nuns pula.
“Saya bukan tidak bersyukur. Saya akur kejayaan saya dalam drama romantik adalah sebab mengapa saya dikenali ramai hari ini.
“Bagaimanapun, apabila satu projek berjaya, banyak lagi skrip dengan jalan cerita atau watak hampir serupa akan saya terima.
“Saya rasakan situasi itu ibarat formula jaya yang terjamin tetapi ia membataskan potensi saya untuk membawa watak lain,” katanya.
Pada waktu itulah, Song mula bosan menjayakan filem atau drama cinta berulang kali.
Di saat itu, beliau bertuah drama, The Glory, tentang mangsa buli yang bangkit untuk membalas dendam menjadi penawar baginya mengembalikan nyala rasa pada bidang lakonan.
“Di kala saya rasa lakonan menjadi tidak menyeronokkan lagi, saya diberi watak menarik dalam, The Glory. Ini disusuli dengan peranan mencabar dalam filem, Dark Nuns, pula.
“Apa yang membimbangkan saya pada awalnya adalah keprihatinan membawa watak biarawati yang sebenarnya ada kisah silam, dan dia kaki merokok.
“Saya tidak merokok. Jadi saya terfikir bagaimana nak bawa watak ini? Maka, selama enam bulan sebelum penggambaran bermula, saya terpaksa belajar merokok.
“Ada beberapa babak apabila juruvideo memberi tumpuan pada muka saya. Takkan saya nak pura-pura merokok?” ceritanya.
Baru-baru ini pula, Song yang pernah berkahwin selama dua tahun dengan pelakon gandingannya dalam drama, Descendants of the Sun, Song Joong-ki, muncul dalam satu vlog (blog video) di saluran YouTube rakan pelakon, Kang Min-kyung.
Daripada vlog itu, peminat berpeluang meninjau kehidupan sehariannya.
Mereka yang awalnya menyangka Song sombong dan suka mengasingkan diri juga berupaya mengubah tanggapan negatif itu.
“Saya terima banyak komen positif. Saya pun tidak menjangka ramai juga yang meminati saya dan menunjukkan tanda cinta pada kerja seni saya. Ia membuatkan saya amat gembira.
“Sebenarnya, ada banyak lagi sisi positif saya yang mereka belum lihat. Ini hanya secebis personaliti saya yang ingin saya kongsi,” jelasnya.
Menurutnya, beliau kini lebih tenang memikirkan perkara yang baik-baik sahaja.
“Semasa saya muda, jika ada yang tidak memberi tindak balas baik sesudah kami bersembang, saya akan tertanya-tanya mengapa perkara ini boleh berlaku?
“Saya akan saratkan pemikiran saya dengan bermacam soalan sehingga sukar nak beri tumpuan pada pekerjaan dan kehidupan seharian.
“Keadaannya tidak seteruk mana kini tetapi saya masih berharap saya dapat bekerjasama dengan individu yang ceria dan bahagia,” jelasnya yang ingin membawa watak komedi pula.
“Sudah 20 tahun saya tak bawa watak komedi. Kali terakhir saya dilamar bagi drama komedi romantik, Full House, adalah pada 2004.
“Saya teruja bawa watak komedi kerana ia menggambarkan kehidupan saya kini pada usia 40-an tahun,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg