Jika pakaian sopan atau ‘modest wear’ sering dikaitkan dengan penampilan yang sederhana, lulusan Maktab Seni Lasalle, Cik Nurul Izza Rahmat, yang dikenali dengan nama fesyen NIBR, percaya masih terdapat ruang untuk melihatnya melalui lensa berbeza.

Membesar dengan pakaian sopan sebagai sebahagian daripada kehidupan hariannya, beliau sering tertanya-tanya mengapakah banyak rekaan pakaian sopan di pasaran masih cenderung bermain dalam ruang yang sama.

“Sejak kecil, saya mendapati ia sukar untuk menggayakan hijab saya kerana tidak banyak inspirasi dari segi inovasi,” ujarnya yang bertekad untuk mengubah keadaan tersebut.

Justeru, tatkala berpeluang mereka pakaiannya sendiri untuk projek akhir tahunnya, Cik Izza menghasilkan koleksi yang diberi nama, Modestscape – rekaan yang menonjol tetapi juga bertujuan memelihara harga diri.

Menerusi koleksi itu, Cik Izza, 24 tahun, mahu menunjukkan bahawa pakaian sopan juga boleh memberi ruang kepada ekspresi diri tanpa mengabaikan fungsi dan keselesaan.

Koleksi beliau merupakan antara 14 koleksi yang diketengahkan oleh lulusan program Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Rekaan Fesyen dan Tekstil di pertunjukan fesyen bagi lulusan Lasalle 2026 yang diberi nama, DE:CENTERING.

Acara itu berlangsung di stesen MRT Cantonment pada 14 Mei lalu.

Seolah-olah sedang menunggu kereta api, model ‘Modestscape’ berdiri di hadapan pintu MRT, mewujudkan kontras antara busana yang dramatik dengan ruang serba biasa yang dikunjungi orang awam dalam kehidupan harian.
Seolah-olah sedang menunggu kereta api, model ‘Modestscape’ berdiri di hadapan pintu MRT, mewujudkan kontras antara busana yang dramatik dengan ruang serba biasa yang dikunjungi orang awam dalam kehidupan harian. - Foto BH oleh HISYAM ABDUL RAHMAN

Sebelum stesen MRT Cantonment yang terletak dalam Laluan Circle dibuka kepada orang ramai pada 12 Julai, ia berfungsi sebagai pentas peragaan pada malam 14 Mei, sekali gus menjadi pelengkap kepada Modestscape, yang turut cuba membawa fesyen ke ruang yang tidak dijangka.

Mencedok inspirasi daripada seni bina brutalis moden, yang sering menampilkan bentuk geometri dan garis tegas, koleksi itu dipenuhi siluet berstruktur serta fabrik berkilau yang sekali gus menjelmakan estetika megah.

Namun, di sebalik bentuknya yang teguh, gantungan fabrik beralun lembut menyuntik unsur kelembutan bagi mengimbanginya.

Tatkala ditanya siapakah yang dibayangkan akan mengenakan koleksi yang menampilkan estetika serba mewah itu, Cik Izza dengan selambanya menjawab “tai tai” – gelaran buat wanita kaya dan glamor.

Dunia fesyen bukan sesuatu yang asing buat Cik Izza.

Beliau mula mendalami minatnya itu ketika menuntut di peringkat Nitec dalam Rekaan dan Pengeluaran Pakaian Fesyen di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central.

Berkat usaha gigihnya, beliau berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang fesyen di Maktab Seni Lasalle, sambil memegang janji kepada bapanya untuk terus memperjuangkan pakaian sopan menerusi hasil kerjanya.

Kini, setelah melangkah ke dunia fesyen profesional, beliau berharap lebih ramai orang akan memberi perhatian kepada bakat dan industri fesyen tempatan.

“Saya berharap dapat membawa perbezaan kepada persada fesyen di Singapura, untuk menggalakkan masyarakat supaya tidak hanya lihat ke negara Barat, sebaliknya menyokong ekosistem fesyen di negara ini.

“Kita sepatutnya menyokong mak cik-mak cik tukang jahit, mahupun penjual kain tempatan di Arab Street,” ujarnya.