Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Squid Game' papar kehidupan sebenar sebilangan warga Korea Selatan

Oct 03, 2021 | 12:02 AM



SEOUL: Jurang pendapatan yang ketara antara si miskin dengan kaya. Hutang isi rumah yang bertepek. Memburu penakatan dengan siapa yang tangkas akan maju di sebalik persaingan sengit.



Drama 'thriller' Korea Selatan, Squid Game, yang mencetus fenomena di media sosial dan kini berada di tangga 'Nombor 1' carta global Netflix sebenarnya adalah metafora paling tepat bagi negara Asia Timur itu serta mendedahkan tentang realiti sebenar yang perit dihadapi penduduknya.



Sebagaimana yang ditulis seorang warganet: "Saya bermain Squid Game selama 30 tahun."



Drama sembilan episod ini menceritakan tentang bagaimana 456 orang bermain siri permainan kanak-kanak seperti guli dan tarik tali dengan perubahan cara ia dimainkan bagi memenangi hadiah wang tunai 45.6 bilion won ($52 juta).



Protagonis utama drama ini, Gi-hun, adalah lelaki yang bergelut dengan kehidupannya. Selepas kehilangan pekerjaan di syarikat pengeluaran kereta - satu peringatan bagaimana Ssangyong Motor memberhentikan lebih 2,600 pekerjanya pada 2009 - dia merancang membuka kedai ayam gorengnya sendiri tetapi berdepan dengan hutang lebih 400 juta won.



Dia kemudian menyertai Squid Game bagi memenangi wang untuk membayar kos pembedahan ibunya yang berpenyakit kencing manis serta mendapatkan hak penjagaan anak perempuannya daripada bekas isterinya.



Penulis dan pengarah drama ini, Encik Hwang Dong-hyuk, berkata sesiapa dalam masyarakat kapitalis boleh jatuh tersembam ke bumi seperti Gi-hun.



"Covid-19 telah menyebabkan lautan manusia bekerja sendiri. Saya mahu menggambarkannya dalam watak drama ini," jelas Encik Hwang.



Korea Selatan menjadi negara dengan jenama raksasa seperti Samsung, SK dan Hyundai serta berada di tangga ke-10 ekonomi terbesar dunia tahun lalu, dipacu oleh eksport cip memori yang bertambah, telefon bijak serta alat elektronik pengguna susuli pandemik Covid-19. 



Namun, ramai penduduknya merana kerana harga hartanah yang melonjak tinggi, hutang isi rumah yang bertambah serta jurang pendapatan yang meluas di samping kadar pengangguran belia yang tinggi, semuanya berpunca daripada pandemik Covid-19.



Hutang isi rumah bertambah kepada kadar rekod 1,805 trilion won pada Jun, hampir seganda jumlah sedekad lalu. Ini berpunca daripada permintaan bertambah bagi pinjaman bagi membeli rumah sedang ramai penduduk bergegas membeli rumah baru kerana ketakutan harga hartanah akan naik lagi meskipun diperkenalkan beberapa langkah melegakan keadaan.



Jurang antara si kaya dengan muda juga semakin meluas. Data rasmi menunjukkan nilai bersih 20 peratus pekerja dengan pendapatan tertinggi adalah 166 kali lebih daripada 20 peratus pekerja dengan pendapatan paling rendah tahun lalu - satu peningkatan daripada 105 kali pada 2018.



Sedang golongan yang sangat kaya melihat pendapatan mereka bertambah dengan  konglomerat milik keluarga mereka berjaya di sebalik Covid-19, pemilik perniagaan kecil-kecilan seperti yang mengendalikan restoran dan kedai runcit, dihimpit teruk dengan pandemik yang membuatkan ramai duduk di rumah.



Kebanyakan penduduk yang bekerja sendiri yang membentuk sekitar 24.6 peratus pemilik pendapatan di Korea Selatan berkata, kesukaran mereka tidak jauh beza daripada Gi-hun.



Dalam satu forum Internet buat mereka yang bekerja sendiri, seorang pengguna menyatakan beliau merasakan dirinya hidup dalam permainan drama ini kecuali "tiada hadiah wang tunai untuk dimenangi walaupun dirinya menang".



Seorang pemilik restoran mendedahkan: "Ramai orang termasuk saya bergelut dengan hutang melebihi 200 juta won, macam dalam drama ini."



Pengkritik budaya, Jung Duk-hyun, memberitahu akhbar Korea Herald bahawa Squid Game adalah metafora bagi masyarakat Korea yang berdaya saing tinggi dan menyediakan pengamatan tajam terhadap realiti yang perit ditelan.



Pakar psikiatri, Lee Il-Joon, pula berkata drama ini meneroka isu jika orang ramai diberi peluang saksama dalam masyarakat yang pesat bersaing dan jika mereka boleh mencapai hasilnya berdasarkan keupayaan mereka sendiri tanpa mengorbankan orang lain atau menipu.



"Kita belajar tentang kesaksamaan dan peluang setara dalam buku teks tetapi secara realiti, usaha tidak selalu membawa pada hasil yang diinginkan," katanya kepada gerbang berita Newsis.



Squid Game, siri asli Netflix, mula disiarkan pada 17 September dan dengan cepat meningkat kepopularannya sebagai tajuk bukan Inggeris terbaik wadah penstriman berkenaan. Ia berada di Nombor 1 di daerah termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Hong Kong dan tentunya Korea Selatan. - The Straits Times



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >