Topik diikuti
Pergi ke BHkuStaycation mewah di JB: Bermalam di ‘kabin kelas pertama’ pesawat Boeing
1975 Avenue & Hotel di JB berinspirasi dunia penerbangan, memberikan suasana seakan menikmati perjalanan mewah
Staycation mewah di JB: Bermalam di ‘kabin kelas pertama’ pesawat Boeing
Bagi mereka yang ingin berehat dan meluangkan masa untuk diri sendiri, tidak semestinya perlu menaiki penerbangan jauh untuk menikmati percutian mewah.
Di Johor Bahru, 1975 Avenue & Hotel menawarkan pengalaman penginapan berinspirasi dunia penerbangan, lengkap dengan bilik yang direka untuk memberikan suasana seakan menikmati perjalanan dalam kelas perniagaan atau kelas pertama.
Terletak di Kempas, hotel ini menampilkan dua pesawat Boeing 747 yang dikenali sebagai ‘Bove’ dan ‘Bey’.
Kedua-dua pesawat ini menempatkan pelbagai bilik dengan tema destinasi yang berbeza, menjadikan setiap ruang mempunyai identiti tersendiri.
Satu lagi perkara menarik ialah tetamu boleh menggunakan laluan keluar khas dari pesawat tanpa perlu berjalan melalui lobi utama hotel.
Selain bilik di dalam pesawat, hotel ini turut menawarkan pilihan penginapan dalam bangunan utama.
Saya berpeluang menginap di Captain Room, sebuah bilik seluas 77 meter persegi yang menawarkan ruang luas untuk berehat bersama keluarga atau rakan.
Bilik ini dilengkapi dua katil bersaiz ‘king’, ruang santai dengan sofa serta balkoni peribadi.
Apa yang turut menarik perhatian saya ialah sejadah disediakan dalam bilik.
Bagi tetamu Muslim, terdapat juga ruang solat atau musala di kawasan lobi hotel.
Dari segi makanan, terdapat restoran Jepun, Hanareya @ 1975, di hotel itu.
Tetamu Muslim perlu mengambil perhatian bahawa makanan yang disediakan tidak mempunyai pensijilan halal.
Menurut pihak hotel, hidangan tersebut menggunakan sumber daging halal.
Terdapat pelbagai kemudahan yang boleh anda gunakan.
Antaranya ialah kolam renang yang dilengkapi ‘sunken jacuzzi’, serta kolam dengan pantai ‘man-made’ atau buatan manusia.
Keluarga yang membawa anak-anak juga boleh membawa mereka ke kawasan permainan air yang disediakan.
Tetamu yang ingin memanjakan diri pula boleh mengunjungi spa dan pusat urutan, Gem Spa & Wellness yang terdapat di dalam hotel.
Dengan pelbagai kemudahan ini, tetamu sebenarnya tidak perlu keluar dari hotel untuk mengisi masa sepanjang penginapan.
Menurut pihak hotel, mereka merancang untuk membuka beberapa kedai di kawasan hadapan hotel, yang bakal menambah pilihan untuk tetamu bersiar-siar dan mendapatkan keperluan mereka.
Bagi saya, 1975 Avenue & Hotel sesuai untuk mereka yang ingin menikmati percutian singkat dengan suasana lebih mewah tanpa perlu pergi terlalu jauh dari Singapura.
Dengan bilik yang luas, pelbagai kemudahan riadah dan pilihan untuk berehat serta memanjakan diri, hotel ini menawarkan pengalaman yang lebih daripada sekadar tempat untuk bermalam.
Kadangkala, percutian yang diperlukan bukanlah jadual aktiviti yang padat, tetapi peluang untuk berehat, mengisi semula tenaga dan menikmati masa tanpa perlu ke mana-mana.
Kunjungan ini ditaja oleh pihak 1975 Avenue & Hotel.
