Sebuah tarikan pelancongan baharu dibuka di Johor yang menampilkan dua pesawat diubah suai menjadi hotel menyasarkan warga Singapura sebagai antara pelanggan utamanya.

Jumlah pengunjung dari negara seberang Tambak itu juga dijangka meningkat apabila Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura mula beroperasi.

Pengurus Besar Kanan Tiong Nam Hospitality Group, Encik Johnny Lau, berkata 1975 Avenue and Hotel mempunyai 38 bilik dan suite mewah, dengan warga Singapura dijangka membentuk sekitar 20 peratus daripada pasaran berdasarkan pengalaman kumpulan itu mengendalikan hartanah lain.

Pengurus Besar Kanan Tiong Nam Hospitality Group, Encik Johnny Lau.
Pengurus Besar Kanan Tiong Nam Hospitality Group, Encik Johnny Lau. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Beliau menjangkakan bahagian itu boleh meningkat kerana lokasi projek berkenaan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor Bahru.

“Daripada pemahaman kami berdasarkan hartanah lain yang dikendalikan, warga Singapura mungkin membentuk sekitar 20 peratus.

“Dengan RTS akan datang dan lokasi kami yang sangat dekat dengan CIQ, saya percaya jumlah itu boleh meningkat,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) sempena pelancaran projek berkenaan.

Menurut Encik Lau, pihaknya turut merancang menyediakan khidmat ulang-alik yang menghubungkan hotel dengan CIQ serta Lapangan Terbang Antarabangsa Senai bagi memudahkan tetamu dari Singapura dan negara lain.

Projek itu dinamakan 1975 Avenue and Hotel sempena tahun penubuhan Tiong Nam pada 1975.

Encik Lau berkata idea pembangunan tersebut bermula selepas pemilik kumpulan berkenaan memperoleh dua pesawat menerusi satu lelongan di Lapangan Terbang Senai.

Salah sebuah pesawat itu merupakan pesawat kargo Boeing 747.

Pemandangan dari dalam bilik pilot (pengemudi) di 1975 Avenue and Hotel.
Pemandangan dari dalam bilik pilot (pengemudi) di 1975 Avenue and Hotel. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Perancangan bermula pada 2019 tetapi terpaksa dihentikan seketika akibat Covid-19. Kami memulakan semula projek pada 2023 dan kini ia akhirnya siap,” katanya.

Selain Singapura, hotel itu turut menyasarkan pelancong dari Eropah, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu, Oman, China, Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Thailand.

Menurut Encik Lau, beberapa pengendali pelancongan dari China sudah menghubungi pihak hotel dan membuat pembelian bilik secara pukal.

Keseluruhan pembangunan itu terletak di kawasan seluas kira-kira 13 ekar, dengan sekitar 10 ekar sudah dibangunkan manakala baki tiga ekar diperuntukkan bagi pembangunan masa hadapan.

Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah taman tema salji, namun Encik Lau berkata rancangan itu masih pada peringkat perbincangan.

“Kami masih meneliti apa yang paling sesuai dibangunkan di baki tiga ekar itu. Antara yang sedang dipertimbangkan ialah taman tema salji, tetapi belum ada keputusan muktamad,” katanya.

Menurutnya, taman tema sedia ada akan dibuka kepada orang ramai, termasuk rancangan menambah taman permainan tanpa air menerusi kerjasama dengan sebuah pengendali lain.

Bagaimanapun, kawasan pantai hanya dikhaskan kepada tetamu hotel.

Pemandangan dari lobi 1975 Avenue and Hotel yang memperlihatkan taman air yang dibuka kepada orang ramai.
Pemandangan dari lobi 1975 Avenue and Hotel yang memperlihatkan taman air yang dibuka kepada orang ramai. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Pembangunan itu turut mempunyai 44 ruang niaga yang disasarkan khusus kepada pengusaha makanan dan minuman.

Setakat ini, dua penyewa telah mengesahkan penyertaan, termasuk sebuah restoran Thai yang menerima pengiktirafan Michelin dan sebuah restoran makanan Barat.

“Kami berharap lebih banyak ruang makanan dan minuman dapat diisi dalam enam bulan akan datang supaya kawasan ini berkembang sebagai destinasi yang menggabungkan penginapan, makanan dan kegiatan pelancongan,” katanya.

Encik Lau berkata pihaknya juga bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi mendapatkan pengiktirafan kawasan berkenaan sebagai tarikan pelancongan.