Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Suami isteri kembali rai ulang tahun ke-10 perkahwinan di pentas tari RP

Mekanik pesawat dan guru sekolah khas kenang detik manis temu jodoh zaman sekolah
Nov 08, 2023 | 05:30 AM



Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bertemu jodoh.

Sewaktu lulusan Politeknik Republic (RP), Soffian Kosman, 38 tahun, ditanya tentang kenangan manis di institusi pengajian tinggi itu, jawapannya mudah sahaja: “Yang manis pastinya ketika bertemu isteri saya!”

Pertemuan Soffian, seorang mekanik pesawat, dengan Siti Munirah Muhammad Ma’ruf, 34 tahun, seorang guru sekolah khas, berlaku lebih 15 tahun lalu ketika kededuanya aktif menari dalam kumpulan kegiatan kokurikulum (CCA) masing-masing.

Soffian, pelajar jurusan kejuruteraan penerbangan dan avionik, merupakan anggota kumpulan hip-hop yang banyak terlibat dalam pesta seni RP serta peraduan dansa kemasyarakatan yang menguar-uarkan pesanan antidadah.


Siti Munirah, lulusan Diploma Teknologi Maklumat, pula menari tarian Melayu sejak kecil di bawah bimbingan jurutari mapan dan pengarah artistik Era Dance Theatre Ltd, Osman Hamid.

Beliau kemudian berkecimpung dalam tarian moden hinggalah ke detik menuntut di RP.

Sungguhpun begitu, dalam kesibukan membina kerjaya dan keluarga, bidang tarian menjadi bak sejarah zaman persekolahan buat kededuanya yang bertemu di satu sesi pratonton seni di RP.

Tidak pernah mereka bayangkan setelah mahligai yang dibina bersama mencecah 10 tahun, mereka bukan sahaja dapat kembali ke pentas tari Konsert Tarian Muse XII, yang merupakan antara sajian Pesta Seni Refleksi (Reflections Arts Festival) untuk memeriahkan suasana sebagai bekas pelajar atau alumni.


Buat kali pertama dalam hidup mereka, Soffian dan Siti Munirah, berpeluang menari bersama dalam kerencaman genre tari yang membuatkan mereka benar-benar teruja baru-baru ini.

Persembahan yang diusulkan jurutari yang bergiat aktif di RP, Zaini Tahir itu juga bagi meraikan ulang tahun ke-10 perkahwinan pasangan itu yang diraikan pada 31 Mei lalu.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Siti Munirah, ibu dua anak berusia empat dan sembilan tahun, berkata:


“Tarian memang sebati dalam hidup saya sebab beberapa anggota keluarga saya juga berkecimpung dalam tarian Melayu. Kini, anak saya pun nampaknya ingin mengikuti jejak kami. Cuma apabila terlalu sibuk dengan tugas di sekolah khas dan urusan anak-anak, sudah 10 tahun saya tidak menari.

“Saban tahun apabila Zaini mengundang kami menonton konsert tari di RP pun, tak sempat saya dan Soffian datang menonton. Tapi nampaknya, segalanya bagaikan diatur kali ini. Tengok jadual, kami memang berkelapangan untuk hadiri latihan dan membuat persembahan. Tak pernah menari dengan suami.

“Tiba-tiba apabila sambut ulang tahun perkahwinan ke-10, aktiviti ini dapat dilakukan bersama untuk khalayak awam. Kalau ikut sambutan kami suami isteri, cuma makan bersama dengan anak-anak sahaja.”

Mereka telah menghadiri sesi uji bakat untuk persembahan dengan tiga segmen yang menyentuh perihal mencari identiti, penyatuan genre berbeza dan kebersamaan masyarakat dalam menerajui misi dan visi sehala.

Kata Soffian pula: “Setelah ditawarkan peluang untuk menari bersama, cabaran selanjutnya buat kami ialah bagaimana nak mulakan segalanya sebab kami sudah 10 tahun tidak menari. Terus terang, kami payah setarakan tahap tenaga kami dengan penari lain yang jauh lebih muda.”

Siti Munirah pula menambah: “Bagaimanapun, anak-anak muda ini memang baik hati. Seperti Zaini, mereka berikan kami galakan untuk terus berlatih secara intensif setiap minggu. Kerana jadual dan komitmen kerja serta keluarga, kami juga usahakan berlatih secara berasingan.”

Dunia tarian bagi kededuanya merupakan yang memperkasa semangat mereka untuk terus disiplinkan diri dan meluah rasa menerusi wadah seni.

“Yang bagusnya, Zaini adalah jurutari yang memberi kami kebebasan untuk mencorak tarian kami. Beliau juga jenis yang tidak memaksa,” jelas Soffian.

Siti Munirah pula berkata: “Kalau dahulu Zaini amat tegas dan garang, beliau lebih relaks kini kerana menangani generasi penari muda kini memerlukan kaedah yang berbeza.

“Apa yang saya suka tentang cara bimbingan Zaini adalah penilaiannya pada tahap kemampuan setiap penari. Beliau tahu apa kekuatan dan kekurangan kami untuk serlahkan persembahan kami.”

Beliau juga berpegang teguh pada ciri-ciri pendidikan berpangkalan konsep menghurai masalah yang dipelajari di RP dalam tugasan hariannya sebagai guru sekolah khas yang tertumpu pada pelajar autisme.

Apa yang dipelajari sepanjang 10 tahun membina rumah tangga?

Siti Munirah berkata: “Setiap fasa perkahwinan ada cabaran dan batu hambatan tersendiri yang perlu diatasi. Alhamdulillah, suami saya sangat tenang di kala saya sebagai wanita biasanya dipukul badai emosi. Kami saling melengkapi.”

Soffian pula menjelaskan: “Dari detik perkenalan, memang saya jenis yang relaks dan ‘chill’, tak perlu ribut apabila dilanda masalah. Lebih tenang, lebih senang hurai masalah.”

Mereka berdua yakin dunia tarian yang diceburi membantu dalam memikirkan tentang kehidupan. Malahan, Siti Munirah akur penari muda masa kini beruntung kerana adanya wadah media sosial sebagai ruang membaiki kesenian mereka serta berkongsi inspirasi dengan penggiat seni lain.

“Penari muda ada banyak wadah meluah rasa. Teknologi membantu mereka menyebar seni dan pesanan yang ingin mereka sampaikan menerusi tarian masing-masing,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >