Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suami isteri rancang jalan Raya ‘chop-chop’ bersama anak autistik

Antara strategi: Kunjung kurang lima rumah sehari, tidak lebih 30 minit bagi setiap rumah
Apr 3, 2025 | 5:30 AM
Cik Sri Cempaka Abdul Gaffaur dan suaminya, Encik Muhammad Harith Sazli, mempunyai beberapa strategi dalam memastikan pengalaman berjalan Raya yang tenang bagi anak mereka, Muhammad Adam Nayel (dua dari kiri), yang mengalami autisme. Pasangan itu juga mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Aiman Naim.
Cik Sri Cempaka Abdul Gaffaur dan suaminya, Encik Muhammad Harith Sazli, mempunyai beberapa strategi dalam memastikan pengalaman berjalan Raya yang tenang bagi anak mereka, Muhammad Adam Nayel (dua dari kiri), yang mengalami autisme. Pasangan itu juga mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Aiman Naim. - Foto ihsan SRI CEMPAKA ABDUL GAFFAUR

Apabila Cik Sri Cempaka Abdul Gaffaur dan suaminya, Encik Muhammad Harith Sazli, membawa dua anak mereka berjalan Raya, mereka tidak akan mengunjungi lebih daripada lima rumah sehari dan tidak akan meluangkan lebih setengah jam di setiap rumah.

Itulah antara strategi pasangan tersebut dalam memastikan pengalaman berjalan Raya yang tenang bagi anak sulung mereka, Muhammad Adam Nayel, tujuh tahun, yang mengalami autisme.

“Perasaan Adam terganggu oleh bunyi bising dan tempat yang sesak atau ramai orang.

“Dia juga tidak suka tempat dengan bau yang kuat. Disebabkan isu deria itu, saya dan suami cuba mengelakkan tempat-tempat ini,” kata Cik Sri Cempaka, 37 tahun.

“Jadi semasa musim Raya, kami lakukan kunjungan ‘chop-chop’ (sekejap-sekejap).

“Kami pergi ke kurang lima rumah sehari. Adam pun tidak boleh duduk di satu-satu rumah lebih dari 30 minit.

“Adam selalunya sukar mengawal diri dan kekal bertenang di tempat-tempat yang kurang dikenali.

“Ada satu ketika dia tidak dapat mengawal dirinya sehingga mengalami meltdown dan menumpahkan air di karpet,” tambah pegawai perkhidmatan awam itu.

Meltdown ialah istilah apabila seorang yang mempunyai autisme tidak dapat mengawal tingkah lakunya dan kelihatan seperti sedang mengamuk.

Sukar fahami isyarat sosial

Adam disahkan mengalami autisme tahap satu pada 2024 dan mempunyai keperluan sokongan lebih rendah, ujar Cik Sri Cempaka.

Ini bermakna kanak-kanak itu memerlukan sokongan bagi komunikasi sosial dan perlu mempunyai rutin ketat.

Selain itu, Adam seperti kebanyakan kanak-kanak lain seusianya, suka membaca buku dan ilmu sains serta bermain permainan seperti, Mario Bros dan Pikmin.

Dia juga meminati abjad lain seperti Russia, Korea dan Greek, serta nombor seperti angka rumi dan kegiatan pendaraban.

“Adam tidak memahami isyarat sosial. Dia akan duduk di riba seseorang tanpa meminta kebenaran.

“Apabila dia melihat sesuatu yang menarik di rumah seseorang, lebih-lebih lagi yang bertekstur, dia akan mahu menyentuhnya,” kata Cik Sri Cempaka.

“Dia juga tidak suka mengunjungi rumah yang tidak mempunyai mainan atau hiburan untuknya. Dia akan beritahu tuan rumah yang tempat itu sungguh membosankan dan dia mahu pulang,” tambahnya.

Cik Sri Cempaka berkata biasanya beliau dan suami akan menerima komen anak mereka ‘tidak tahu duduk diam’ daripada orang-orang di sekeliling apabila Adam menjadi terlalu teruja.

Ada juga orang yang menggelarkannya gagap kerana dia bercakap dengan suara terputus-putus.

“Bagi orang yang kami tidak berapa kenal, kami hanya senyum dan berlalu pergi.

“Tapi bagi orang yang kami rapat, kami akan terangkan mengapa Adam berkelakuan sedemikian dan ulang apa yang dia cuba katakan supaya orang itu dapat memahaminya dengan lebih baik,” ujar Cik Sri Cempaka.

Hargai sokongan orang di sekeliling

Setelah beberapa tahun membawa Adam berjalan Raya, Cik Sri Cempaka berkata, pengalaman itu kini lebih menyeronokkan kerana keluarga dan rakan-rakan rapat lebih menyokong dan memahami keadaan kanak-kanak tersebut.

Mereka akan menyediakan makanan yang kanak-kanak itu biasa dan suka makan seperti nasi ayam dan piza.

Mereka turut menyediakan bilik untuk dia berehat dan menjauhkan diri daripada orang ramai.

Cik Sri Cempaka juga berkata beliau dan suami telah mempelajari cara mengurus perkara yang boleh menyebabkan meltdown dengan lebih baik dan mempunyai pelan sandaran jika keadaan menjadi sukar dikawal.

Beliau dan suami meletakkan jangkaan yang realistik bagi kunjungan Raya mereka supaya Adam dapat menikmati tradisi bermakna itu tanpa rasa tertekan.

Antara lain, Cik Sri Cempaka dan suami memberitahu Adam lebih awal tentang rumah yang akan dikunjungi.

Mereka akan menunjukkan gambar orang-orang di rumah yang akan dikunjungi itu dan mengingatkannya tentang peraturan yang perlu dipatuhi di rumah orang seperti tidak boleh memasuki bilik tidur.

“Kami juga pastikan yang rancangan kami bagi satu-satu hari itu fleksibel.

“Kami pastikan Adam makan dengan betul, kunjungan tidak berlarutan terlalu lama dan dia dapat menikmati masa bersendirian sebelum mengunjungi rumah seterusnya.

“Jika dia berasa rimas dalam baju Raya, kami sediakan pakaian lain yang lebih selesa untuknya,” tambah Cik Sri Cempaka.

Autisme bukan topik tabu

Beliau, yang anak keduanya berumur empat tahun dan ‘neurotipikal’ atau ‘normal’, meluahkan harapan orang ramai lebih terbuka untuk bercakap tentang autisme dan tidak menganggapnya sebagai topik yang dilarang atau perlu dielakkan.

“Saya berharap orang ramai dapat menerima Adam sepenuhnya dan mempelajari bagaimana untuk menyokongnya dengan bertanya.

“Lebih penting lagi, saya berharap mereka bersabar dan memahami keadaannya apabila dia berasa sukar untuk kekal bertenang dan mengawal dirinya,” kata Cik Sri Cempaka.

“Walaupun Adam mengalami autisme tahap satu dan boleh berkomunikasi dengan orang di sekelilingnya, ini tidak bermakna dia tidak memerlukan sokongan.

“Orang-orang yang berkata Adam cuma sedang melalui satu fasa tidak membantu langsung.

“Sedang bilangan kes autisme meningkat, saya berharap akan terdapat lebih banyak penerimaan tentang keadaan ini bagi apa jua tahap pun,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg