Walaupun Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah penyanyi tersohor Malaysia yang dikenali ramai di Nusantara, beliau adalah penghibur santai, tidak banyak songeh dan mudah berurusan dengan sesiapa sahaja.
Sikapnya yang merendah hati dan memastikan orang lain selesa dengannya itu dianggap penyanyi dan penganjur konsert kelahiran Singapura, Sufi Rashid, sebagai sesuatu yang menyejukkan hati dan meredakan tekanan.
Malahan, Sufi, 33 tahun, selaku ‘tauke konsert’ atau bos Sah Entertainment yang menganjurkan konsert dua hari Fenomena - Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Singapore di The Star Theatre pada 28 dan 29 Jun, melihat Siti sebagai nama besar yang memudahkan urusan penganjur.
“Kalau ditanya apakah antara cabaran yang dihadapi sebagai penganjur konsert, saya akan kata menangani kerenah artis. Tak mudah.
“Apabila sudah dua tahun kendalikan konsert, baru saya tahu yang disangka nama besar dan diva sebenarnya mudah nak diajak berunding. Macam Tok Ti (panggilan untuk Siti). ‘Sempoi’ atau ‘cool’ sahaja.
“Yang bukan diva dan biasa-biasa sahaja yang kadangkala banyak pula kerenahnya.
“Saya harus jangkakan perkara yang tidak dijangkakan akan berlaku. Memang ada perkara kita tak boleh salahkan artis sahaja.
“Tapi geram juga apabila awalnya minta satu sahaja tiket penerbangan kelas perniagaan. Datang-datang, minta pula tiket kelas pertama yang lebih mahal.
“Sebagai penganjur, kita tak mampu bantah. Takut-takut pula dah uar-uarkan konsert, kita pula yang dikecam dan kerugian. Kalau artis tak nak datang sebab kita tidak penuhi apa yang mereka mahukan, bagaimana?
“Justeru, saya dan pasukan saya banyak belajar tentang komunikasi... bagaimana kami nak pastikan artis faham dengan berurusan dengan mereka secara baik,” kongsinya dalam wawancara Zoom bersama Berita Minggu (BM).
Sepanjang dua tahun berjinak-jinak dengan bidang penganjuran konsert, Sufi sendiri terkejut bagaimana beliau dan pasukannya mampu menyajikan 15 konsert berskala besar melibatkan nama-nama terkenal.
Selain Siti, Sah Entertainment menganjurkan konsert penyanyi dan pelakon Amerika, Ne-Yo, yang terkenal dengan lagu One In A Million.
New Boyz, Judika, ST 12, Ungu, Masdo, Wali Band dan Datuk Seri Rossa juga datang ke Kota Singa atas usaha Sufi dan rakan-rakan.
Konsert Galau yang menampilkan artis besar seperti Noah, Kangen Band, D’Masiv dan Cakra Khan, juga dianggap Sufi sebagai satu eksperimen baru dalam memenuhi cita rasa pencinta muzik di Singapura.
Menurut penyanyi lagu hit, Aku Sanggup itu, beliau juga tidak sabar mengusahakan konsert bintang Indonesia, Afgan, pada November 2024 disusuli dengan konsert kecil bintang bersuara emas, Ernie Zakri, bagi 2025.
Sufi akur ramai penonton yang memang tidak mampu melupakan konsert, Fenomena - Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Singapore, sebab komitmen bintang ternama itu dalam memberi sajian ‘secukup rasa’ selama tiga jam tanpa henti.
“Saya sebenarnya terkejut juga dengan betapa santainya Tok Ti dan pengurusnya, Kak Rozi (Rozi Abdul Razak). Selalu prihatin dan bertanya dengan saya sama ada bajet yang diusulkan okey atau tidak?
“Tok Ti tidak mendesak khidmat atau kelas penerbangan apa yang selesa untuknya. Katanya, beliau tak kisah pun kalau perlu naik penerbangan bajet. Tapi takkanlah saya nak beri beliau khidmat demikian. Saya usahakan Malaysia Airlines buatnya.
“Kadangkala apabila berurusan dengan bintang sepertinya, saya rasa terharu sebab beliau membawa tahap hiburan itu pada skala lebih tinggi. Kami pastikan apa yang disajikan mengikut keperluan Tok Ti dan kehendak peminat.
“Berbaloi sangat siapa yang datang, lagi-lagi ada peluang menang pakej umrah. Sesetengah artis beri persembahan mengikut apa yang dibayar tetapi Tok Ti pula menghargai malahan menambah lagi persembahannya secara ikhlas,” puji Sufi.
Sebenarnya, dalam mengendalikan perniagaan konsert itu, Sufi enggan terlalu memikirkan tentang mengaut untung untuk jadi kaya.
“Apabila saya buat Konsert Galau, ia adalah untuk memberi kesempatan kepada pengamat muzik di Singapura untuk nikmati muzik band atau artis Indonesia yang mereka gemari.
“Tak bawa banyak keuntungan bagi Sah Entertainment dari segi kewangan tetapi seronok lihat orang lain seronok dapat tengok band seperti Noah dan artis macam Cakra Khan dan Judika,” kata Sufi.
Sah Entertainment, ujar Sufi, ingin bangun hubungan akrab bersama penonton, melalui kekerapan mendapatkan maklum balas tentang artis mana yang mereka ingin lihat mengadakan konsert di Singapura.
“Saya tak anggap diri saya sebagai usahawan semata-mata. Saya juga minat muzik dan bayangkan diri saya sebagai hadirin yang datang menonton.
“Jadi kami pastikan harga tiket tidak terlalu mahal. Kalau dianggap harga yang ‘up’ sedikit, kami beri jaminan konsertnya lebih panjang dan berbaloi macam konsert Tok Ti.
“Saya juga belajar untuk tidak bikin konsert pada musim cuti sekolah sebab ramai sibuk bercuti ke luar negara. Macam konsert Judika... sayang, ramai yang tak dapat pergi sebab melancong ke luar negara,” tambah Sufi.
Dalam pada itu, kebanyakan masa, penyanyi undangan yang dibawa sebagai pembuka tirai konsert atau menyanyi bersama artis utama, adalah yang sedang ditinjau Sah Entertainment untuk konsert akan datang.
“Ernie Zakri dibawa sebagai penyanyi undangan konsert Judika. Memang beliau beri sebaik mungkin dan lebih daripada yang dijangka.
“Ernie bahkan boleh berdiri sama tinggi dengan Judika dengan vokalnya yang bertenaga.
“Bukan senang nak berada pada skala seiring Judika sebab beliau memang hebat tetapi Ernie benar-benar membuktikan bahawa beliau harus datang lagi ke Singapura untuk konsert solonya,” tambah Sufi.
Ditanya tentang teman-teman seni yang juga menceburi bidang penganjuran konsert seperti ‘rapper’ Atrez yang mengendalikan Muse+ dan membawa Search, Datuk M. Nasir dan Ziana Zain ke Singapura, Sufi berkata:
“Sejujurnya, saya bangga dengan pencapaian rakan-rakan saya sebab kami lalui bidang yang sama, daripada penghibur jadi penganjur konsert.
“Cuma kalau bikin lagu, kita ikut cita rasa sendiri, nak bikin konsert, kita perlu bergantung pada pasukan kita. Saya tak boleh buat keputusan sendiri sebab ada banyak faktor perlu diambil kira,” katanya.
Sufi akan menampilkan dua penyanyi tular dari Indonesia, Ochi Alvira dan Syahiba Saufa, yang terkenal dengan irama dangdut koplo bagi konsert ulang tahun ke-25 Wali Band di The Star Theatre pada 14 September.
Dangdut koplo adalah genre sampingan yang rancak dan kompleks serta menggabungkan irama dangdut bersama genre rok, elektronik dan hip-hop.
“Orang suka mereka dan kata tak puas tonton semasa Pesta Raya. Artis ‘viral’ sebegini yang memenuhi cita rasa ramai akan kami bawa,” tambah Sufi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg