Dengan sekali lafaz, penyanyi Sufian Suhaimi, 33 tahun, sah bergelar suami kepada pilihan hati, Rania Al Sadat, 25 tahun, pada majlis tertutup di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada pagi 2 Mei.
Melalui kenyataan dikeluarkan, majlis pernikahan disempurnakan pada 9.30 pagi, disaksikan anggota keluarga dan kenalan mempelai, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin berupa satu dinar emas, diiringi tiga dulang hantaran berbalas lima dulang, termasuk sebentuk cincin dan gelang buat pengantin perempuan.
Sufian dan Rania berkenalan sejak 2022, bagaimanapun, hubungan mereka pernah terputus dan dilapor Sufian memulangkan cincin risik pada April 2024.
Namun, jodoh mereka kuat apabila pada Januari 2025, Sufian dilapor mengaku hubungannya dengan Rania kembali bertaut dan mereka sepakat memilih Februari untuk mengikat tali pertunangan.
Selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua keluarga, mereka melangsungkan pernikahan hanya dua bulan selepas bertunang.
Sementara itu, Sufian memaklumkan majlis resepsi akan diadakan secara sederhana dan tertutup dalam kalangan anggota keluarga terdekat sahaja.
“Majlis itu akan diadakan di ibu kota dengan jumlah jemputan yang terhad. Biarpun sudah berumah tangga, kami akan terus komited dengan kerjaya masing-masing.
“Saya kini sedang menyiapkan album sulung yang dijangka dilancarkan akhir tahun ini (2025),” katanya.
Sempena tarikh keramat ini, Sufian yang popular lagu ‘Di Matamu’ itu turut mempersembahkan karya istimewa berjudul ‘Saksi’, iaitu hasil ciptaan Sirkhan, Namjan dan Rinkarnaen.
Lagu ini membawa naratif kisah cinta pasangan itu dan turut disertakan dengan muzik video eksklusif yang boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Sufian, mulai 2 petang pada 2 Mei.
Lebih istimewa, Rania turut membuat kemunculan khas dalam muzik video itu sebagai simbolik kepada perjalanan cinta mereka yang sudah termeterai dengan akad.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg