Topik diikuti
Pergi ke BHkuSulaman Peranakan: Bunga, warna, simbolik budaya dalam warisan kebaya nyonya
Sulaman Peranakan: Bunga, warna, simbolik budaya dalam warisan kebaya nyonya
Sulaman Peranakan: Bunga, warna, simbolik budaya dalam warisan kebaya nyonya
KUALA LUMPUR: Sulaman Peranakan adalah cerminan seni yang memadukan estetika Cina dengan nafas Melayu dan Barat.
Jauh daripada sekadar hiasan, setiap jahitan halus itu mengukir makna mendalam dalam warisan hidup masyarakat Baba Nyonya.
Kekayaan seni sulaman Peranakan ini baru-baru ini dihidupkan dalam siri Bicara@Muzium bertajuk ‘Sulaman Peranakan, Bunga, Warna dan Simbolik Budaya’, anjuran Muzium Tekstil Negara di Kuala Lumpur, Malaysia.
Acara tersebut menampilkan Presiden Persatuan Persaudaraan Kesenian dan Kebudayaan Peranakan Melaka (SEDARA), Encik Cedric Tan, dan Pengasas Kenny Loh Couture, Dr Kenny Loh. Sesi perbincangan ini dipandu oleh Kurator Muzium Tekstil Negara, Cik Fadhliatun Azmi, sebagai moderator.
Dr Loh turut menjelaskan bahawa kebaya nyonya, busana terulung masyarakat Peranakan, melangkaui sempadan. Ia tidak hanya digayakan di Malaysia, Singapura, Indonesia, dan Thailand, tetapi juga diterima dan dipakai oleh pelbagai kaum lain, menurut laporan Berita Harian Malaysia (BHM).
“Kebaya Nyonya wujud hasil gabungan pengaruh Melayu, Cina dan Barat selain dikenali dengan pemilihan kain yang nipis dan sulaman yang halus.
“Motif bunga ialah elemen paling penting dalam sulaman Peranakan. Coraknya dipengaruhi gabungan budaya Cina, Melayu dan Eropah yang mencerminkan identiti unik masyarakat Peranakan.
“Ada juga pengaruh budaya India, Thailand dan Myanmar tetapi agak terhad, khususnya di Pulau Pinang,” katanya.
Bunga peony
Sulaman kebaya nyonya berpusat pada motif flora. Peony, yang paling sering digunakan, memancarkan makna kemakmuran, kehormatan, dan keharmonian.
Turut menghiasi busana adalah teratai, krisan, atau bunga tropika Nusantara. Motif-motif ini dipadukan secara harmoni dengan elemen alam lain seperti daun, sulur, dan serangga, membentuk komposisi yang kaya makna.
Warna-warna terang dan kontras pada sulaman kebaya bukan sekadar hiasan; ia adalah naratif budaya. Merah menyala melambangkan kegembiraan dan tuah, sementara kuning atau emas mengangkat darjat dan kemuliaan. Hijau membumi membawa erti kesuburan dan kehidupan, manakala biru memancarkan ketenangan dan keanggunan - kelihatan lebih menonjol selepas era kemerdekaan negara.
Gabungan motif dan warna ini menjadikan kebaya sebagai manifestasi identiti dan luahan budaya pemakainya. Oleh itu, kehalusan teknik sulaman amat ditekankan; setiap jahitan bukan sahaja memperindah busana tetapi turut menceritakan kemahiran unggul pembuatnya.
Justeru, tidak mustahil sehelai Kebaya Nyonya mencecah ribuan ringgit; nilainya terletak pada kehalusan teknik sulaman yang unggul.
Encik Tan pula menjelaskan, baju kebaya panjang yang popular sehingga awal abad ke-20 menyerupai kebaya labuh Melayu.
Busana ini longgar, berpotongan melepasi lutut dengan lengan ke pergelangan tangan, dan diserikan dengan padanan kain batik atau kain songket serta disemat tiga kerongsang.
Transformasi kebaya
Namun, transformasi daripada baju kebaya panjang kepada kebaya pendek bermula sejak seabad lalu.
“Estetika kebaya pendek sedikit berbeza iaitu panjangnya hanya sampai ke separuh pinggul, lapik depan potongan serong atau lurus, lengan sampai pergelangan tangan, ia juga mengikut susuk badan walaupun masih longgar dan digayakan dengan kerongsang berantai dicucuk menegak.
“Inspirasi sulaman pula banyak diambil daripada budaya masyarakat Tionghua misalnya sulaman yang dihasilkan dari Tanah Besar China,” katanya.
Hari ini, teknik sulaman kebaya Nyonya terus dipertingkatkan, tetapi motif flora dan fauna kekal menjadi asas utamanya.
Selain itu, sulaman turut disesuaikan untuk kanak-kanak dengan watak Disney seperti Mickey Mouse atau Snow White.
Terdapat juga kebaya khas untuk upacara berkabung, di mana pemilihan warna kain adalah suram, tidak terang, berwarna-warni atau terlalu menonjol.
