Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sumbangan seni Fauziah Nawi, Noraniza Idris diiktiraf

Aug 25, 2024 | 5:30 AM
Fauziah Nawi ditemu ramah pemberita usai majlis Konvokesyen Badan Peneraju Seni Budaya di PJPAC, Petaling Jaya, pada 17 Ogos.
Fauziah Nawi ditemu ramah pemberita usai majlis Konvokesyen Badan Peneraju Seni Budaya di PJPAC, Petaling Jaya, pada 17 Ogos. - Foto FACEBOOK JKKN

PETALING JAYA: Aktivis teater, Datuk Fauziah Nawi, dan penyanyi irama etnik, Noraniza Idris, menjadi antara 238 graduan yang diraikan pada majlis Konvokesyen Badan Peneraju Seni Budaya di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJPAC) pada 17 Ogos.

Majlis Konvokesyen anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu diadakan buat kali kedua bagi mengiktiraf graduan berkemahiran tinggi dalam bidang seni budaya.

JKKN adalah badan peneraju industri (ILB) bidang seni budaya yang dilantik Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, pada 2018 dan bertanggungjawab menerajui sektor industri bagi memperkasakan pembangunan sumber manusia mahir tempatan.

Majlis konvokesyen itu diadakan bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada penggiat industri seni budaya yang berkemahiran dan keterampilan berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) secara Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bidang seni budaya merangkumi tari, teater, muzik dan produksi pentas.

Pada majlis itu, penggiat bidang tradisional menyaksikan 81 graduan diberi pengiktirafan; seni lakon teater (46 orang); muzik (50 orang); produksi pentas (19 orang) dan graduan Permata Seni Tari dan koir (42 orang), lapor Berita Harian Malaysia.

Masing-masing adalah peserta program Persijilan Kemahiran Malaysia melalui JKKN ILB Seni Budaya merangkumi 86 organisasi seperti jabatan dan agensi kerajaan, perbadanan, pertubuhan, syarikat seni dan kumpulan seni budaya.

Selain Fauziah dan Noraniza, pengiktirafan diberi kepada penggiat seni lain, antaranya Roslan Madun, Rojer Kajol, Datuk Mustafa Fuzer, Rosli Rahman Adam dan Mohd Kamrulbahri Hussin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg