Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syamsul Yusof, Ira Kazar ‘bersaing’ muat naik foto IG

Sep 2, 2024 | 4:58 PM
Ira Kazar (kiri) dan Syamsul Yusof saling bersaing memuatnaikkan foto-foto di Instagram, seakan memberi gambaran mereka meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun berita tentang perceraian tular di media sosial.
Ira Kazar (kiri) dan Syamsul Yusof saling bersaing memuatnaikkan foto-foto di Instagram, seakan memberi gambaran mereka meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun berita tentang perceraian tular di media sosial. - Foto INSTAGRAM IRA KAZAR/SYAMSUL YUSOF

Selepas sebulan ‘menyepikan diri’ daripada mengemaskini hantaran baru dalam Instagram (IG), pengarah sensasi, Syamsul Yusof, muncul semula dengan memuat naik beberapa foto di media sosial, baru-baru ini.

Lebih menarik, antara foto yang Syamsul, 40 tahun, muat naik, memaparkan penampilan terkini dirinya yang kemas memakai kemeja lengan panjang berwarna hijau gelap dan berambut pendek.

Dua lagi foto lain yang dikongsi pengarah filem, Munafik, itu ialah bersama pasukan kerjanya di pejabat dalam bilik mesyuarat dan gambar kereta Ferrari yang berwajah baru, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Meninjau di ruangan komen, rata-rata komen yang Syamsul terima sangat positif dalam kalangan rakan artis dan pengikut media sosial.

“Hidup hidup, bangkit bangkit,” tulis seorang warganet.

“Tak nak bikin filem genre ala-ala ‘psiko’ macam Joker ke, bro?” kata seorang lagi warganet.

“Lama tak lepak. Along makin muda, haha,” tulis seorang pengguna media sosial.

Kebanyakan komen ditinggalkan itu turut menyertakan emoji ‘api’ buat Syamsul yang mungkin boleh digambarkan sebagai pembakar semangat baharu buatnya.

Tidak hanya Syamsul, isterinya, Ira Kazar, 29 tahun, juga kini semakin aktif mengemas kini ‘Instagram Story’ dengan memuat naik hantaran seperti bersama keluarga, lokasi tempat makan dan video motivasi diri.

Ternyata, di kala perkahwinan dibina lebih setahun lalu kini di ambang perpisahan, kedua-duanya bertindak positif dengan perkongsian foto dan video dalam media sosial masing-masing.

Pada 27 Ogos, Syamsul dan Ira yang sepatutnya hadir ke mahkamah untuk prosiding perceraian tidak muncul berikutan Ira dimaklumkan baru melantik peguam untuk mewakilinya.

Sehubungan itu, sebutan kes perceraian pasangan popular itu terpaksa ditangguhkan sehingga tarikh baru iaitu 25 September bagi kedua-dua pihak menghadirkan diri.

Terdahulu, Syamsul mengejutkan ramai apabila membuat keputusan memfailkan perceraian terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, pada 19 Ogos.

Peguam mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais, mengesahkan alasan pasangan itu ingin bercerai kerana sudah tiada kesefahaman.

Syamsul dan Ira berkahwin pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand dan ia diumumkan sendiri oleh Syamsul menerusi hantaran video yang dimuat naik dalam akaun IG.

Susulan itu, pelakon Puteri Sarah Liyana yang juga isteri pertama Syamsul ketika itu nekad memfailkan perceraian, sebelum akhirnya bercerai talak satu pada 14 Jun 2023.

Syamsul dan Puteri Sarah dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, tujuh tahun, dan Sumayyah, lima tahun.

Begitulah pasang surut alam berumah tangga.

Sebagaimana perkahwinan Syamsul dan Ira menggegarkan dunia media sosial, berita tentang perceraian mereka turut menggoncang alam siber.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg