Mungkin terdapat sedikit sentuhan aroma limau bergamot sebagai bauan utama diikuti haruman manis bunga iris, namun ‘bau’ atau kehadiran elemen kecerdasan buatan (AI) turut semakin ketara dalam penghasilan minyak wangi baharu, menurut pakar industri.

Dunia pembuatan minyak wangi tradisional tidak dapat lagi menolak penggunaan teknologi baharu dan algoritma, meskipun industri berkenaan menegaskan bahawa kepakaran deria manusia tidak mungkin dapat digantikan sepenuhnya.

Syarikat gergasi kosmetik Amerika Syarikat, Estee Lauder, telah membuka pusat inovasi minyak wangi di Paris pada 2025 yang memanfaatkan AI untuk menggabungkan kepakaran tradisional dengan teknologi terkini.

Menurut Naib Presiden Inovasi Haruman kumpulan itu, Encik Lucas Nanini, pusat berkenaan membantu jenama bernilai berbilion dolar di bawah naungannya seperti Jo Malone of London, Kilian Paris, Le Labo dan Tom Ford Beauty.

Beliau turut menguji beberapa formula baharu yang berjaya dihasilkan itu ke atas para pengunjung di pusat inovasi ‘Maison des Parfums’.

“AI membolehkan kami menangani apa yang kami panggil sebagai ‘paradoks’,” kata Encik Nanini. 

“Contohnya, bagaimana cara untuk menghasilkan minyak yang pekat, namun cukup halus untuk disembur?”

AI membantu pakar pembuat minyak wangi mengenal pasti minyak dengan ciri-ciri tertentu yang lazimnya memakan masa bertahun-tahun untuk dibangunkan melalui kaedah percubaan atau trial and error secara manual.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Kepintaran mesin itu juga membantu dalam urusan pematuhan peraturan.

Menurut Encik Nanini, proses untuk menyemak sama ada setiap bahan dalam sesuatu minyak wangi dibenarkan penggunaannya di negara-negara berbeza sebelum ini memakan masa yang lama.

Namun kini, hanya dengan satu klik, beliau dapat mengesahkan sama ada sesuatu bahan daripada lebih 1,000 bahan yang digunakan adalah sah di sisi undang-undang sesebuah negara, selain mengetahui had maksimum yang dibenarkan.

AI juga boleh digunakan untuk mencari molekul bagi menggantikan bahan-bahan tertentu yang berasal daripada haiwan.

Haruman kesturi, yang berasal daripada kelenjar musang jebat (civet) Afrika dan spesies kucing lain yang berkaitan, secara tradisinya digunakan untuk memberikan aroma kesturi pada minyak wangi, namun penggunaannya telah dihentikan secara berperingkat susulan bantahan kumpulan hak asasi haiwan.

Sebuah lagi syarikat utama dari Amerika, International Flavors and Fragrances (IFF), menganggarkan bahawa AI dapat mengurangkan antara 25 dengan 30 peratus tempoh masa yang diperlukan untuk membangunkan dan menghasilkan sesuatu minyak wangi.

Seiring dengan penguasaan pasaran yang semakin besar oleh minyak wangi khusus (niche) dalam industri yang kian berkembang, syarikat seperti Givaudan dari Switzerland dan Robertet dari Perancis telah membuat pelaburan besar dalam peralatan bagi membantu mereka mencari molekul baharu.

IFF turut membangunkan peralatan AI miliknya sendiri dengan menggunakan data yang telah dikumpul selama beberapa dekad secara dalaman.

Salah satu alat berkenaan berfungsi mencadangkan bahan-bahan yang saling melengkapi dan kini digunakan oleh pakar pembuat minyak wangi IFF, Encik Tanguy Guesnet.

“Setiap pembuat minyak wangi sentiasa mencari ‘accord’ – iaitu gabungan aroma – yang mampu mencetuskan emosi masa hadapan,” katanya.

Alat tersebut menganalisis molekul dalam satu-satu bahan dan mencadangkan bahan lain yang mempunyai ciri-ciri serupa. 

Sebagai contoh, pati pudina mengandungi menton, dan alat berkenaan boleh mencadangkan bahan-bahan lain yang turut mengandungi sebatian tersebut.

“Sesetengah gabungan mungkin kelihatan nyata, namun sebahagian lagi mungkin kelihatan agak pelik, justeru di situlah letaknya kelebihan sebenar alat ini,” kata Encik Guesnet.

“Ia merangsang kreativiti dan mendorong saya untuk mempertimbangkan gabungan yang sangat asli.”

Bagaimanapun, tidak semua pihak benar-benar yakin dengan revolusi AI ini.

Pengasas bersama rumah haruman Perancis, Helius, Encik Guillaume Teule menegaskan bahawa beliau kekal mengawal sepenuhnya cara sesuatu haruman dibangunkan. 

“Saya kekalkan visi saya sendiri.

“Sama seperti dalam bidang muzik, keharmonian dan kesumbangan akan muncul apabila anda mula mengubah suai bahan – percanggahan inilah yang sebenarnya menarik, dan manusia sahaja yang tahu cara memanfaatkannya secara berkesan,” katanya.

“Saya tidak percaya mana-mana AI akan mencadangkan Angel,” katanya merujuk kepada haruman berkonsepkan makanan atau gourmand ciptaan Thierry Mugler yang dilancarkan pada 1992.

Ia dianggap sebagai satu revolusi dalam bidang penciptaan minyak wangi kerana aromanya yang manis berjaya diseimbangkan dengan aroma asas yang hangat dan berkayu.

Justeru, bagi sebahagian pakar pembuat minyak wangi, meskipun AI digunakan untuk menyokong penghasilan haruman serta aspek pematuhan, sentuhan deria manusia tetap tidak diketepikan.

Malah, ada dalam kalangan mereka beranggapan bahawa penghasilan sesuatu haruman yang benar-benar unik dan mencetuskan revolusi hanya mampu dicapai menerusi kreativiti manusia. – AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti