Topic followed successfully
Go to BHkuSyed Saddiq sedia kongsi tarikh nikah dengan Bella Astillah
Syed Saddiq sedia kongsi tarikh nikah dengan Bella Astillah
Syed Saddiq sedia kongsi tarikh nikah dengan Bella Astillah
PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berjanji akan berkongsi tarikh pernikahan dengan Bella Astillah, apabila tiba masa sesuai.
Syed Saddiq, 34 tahun, yang bertunang dengan Bella yang juga ibu tunggal dua anak, Mac lalu, berkata keluarga kedua-dua belah pihak sedang membuat persiapan untuk hari bahagia mereka.
“Kami akan kongsi bila tiba masa sesuai. Di sebalik jadual kami yang sibuk, kita tetap teruskan perancangan untuk majlis nikah dan perkahwinan.
“Insya-Allah, dalam bulan-bulan yang akan datang inilah, iaitu sebelum akhir tahun.
“Berkenaan tarikh, lazimnya memang antara keluarga dan apabila tiba masanya, jangan risau kami akan kongsi.
“Tunang dan nikah ini bukan untuk disembunyikan, akan kita kongsikan berita gembira itu,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2026, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pada 3 Mei, lapor BH Online.
Syed Saddiq berkata biarpun beliau dan Bella sibuk, persiapan untuk majlis pernikahan mereka lancar.
“Alhamdulillah semuanya baik. Bella adalah tunang saya dan saya mahu pastikan semua lancar, insya-Allah sebelum akhir tahun ini,” katanya.
Syed Saddiq mengakui beliau dan Bella masing-masing sibuk bekerja dan situasi itu membolehkan mereka belajar untuk menyesuaikan diri apabila melangkah ke alam perkahwinan.
“Saya fikir, apabila kedua-dua sibuk bekerja, kadang-kadang itu perkara yang baik.
“Kita belajar cari jalan tengah dan bahagi masa untuk keluarga. Ini satu ujian untuk kami jadi pasangan yang lebih baik pada masa depan.
“Seperti saya kongsikan, saya hendak jadi bakal suami yang baik.
“Kalau tunang saya pilih jalan untuk terus berkerjaya, menjadi penyanyi profesional, pelakon dan duta, keluarga tetap perlu jaga.
“Ini semua sedikit sebanyak yang sedang kita belajar sambil kita menuju proses perkahwinan dan seterusnya,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq merasmikan majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2026 dan ucapan berbaur inspirasi kepada pelajar dan ibu bapa yang hadir.
Acara turut diserikan dengan kehadiran tokoh dan selebriti tanah air seperti Datuk Dr Azizan Osman, Datuk Awie, Datuk M Nasir, Datuk AC Mizal, MK K-Clique, Iman Troye, Alyssa Dezek, Hael Husaini, Bella Astillah dan Zaki Yamani.
PTTI Group Sdn Bhd sekali lagi mencipta pencapaian membanggakan apabila melahirkan 534 pelajar yang memperoleh keputusan ‘straight A’ pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Pencapaian ini turut melayakkan PTTI menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) buat kali ketiga, selepas kejayaan terdahulu pada 2022 dan 2024.
