Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyed Saddiq: Persembahan satu malam Bella sama dengan gaji sebulan
Syed Saddiq: Persembahan satu malam Bella sama dengan gaji sebulan
Syed Saddiq: Persembahan satu malam Bella sama dengan gaji sebulan
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan pendapatan tunangnya, yang juga seorang penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, bagi satu persembahan mampu menyamai gaji bulanannya sebagai ahli politik.
Menerusi temu bual dalam sebuah program audio siar di Malaysia, beliau berkata perkara itu mencerminkan perbezaan struktur pendapatan antara bidang seni dan politik.
“Orang ingat ahli politik dibayar banyak. Sebenarnya bayaran di luar lebih baik.
“Saya kongsikan dengan tunang saya, kalau dia buat satu persembahan untuk satu malam, itu sudah bersamaan dengan gaji sebulan saya,” katanya.
Menurutnya, beliau sendiri turut menerima bayaran lebih tinggi apabila terlibat dalam penggambaran, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Kalau saya menjalani penggambaran sehari, bayaran yang diterima boleh menyamai dua hingga tiga bulan gaji sebagai Ahli Parlimen.
“Kerjanya pula hanya sehari, tanpa tekanan, tanpa kehilangan privasi dan tanpa serangan berterusan,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya beliau akan menghalang Bella, 32 tahun, daripada terus aktif dalam bidang seni selepas berkahwin, Syed Saddiq, 33 tahun, menegaskan perkara itu tidak benar.
“Saya tidak bersetuju dengan pandangan bahawa selepas ini Bella tidak boleh berlakon, menyanyi atau tampil di khalayak umum kecuali acara rasmi.
“Itu tidak adil. Disebabkan saya, impian Bella tidak seharusnya dikorbankan. Biarlah dia terus kejar cita-citanya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kebimbangan utama adalah kemungkinan kelantangannya dalam dunia politik memberi kesan terhadap kerjaya seni tunangnya.
“Saya lebih risau pendirian saya dalam politik mungkin menjejaskan peluang Bella dalam industri. Itu yang lebih membimbangkan,” katanya.
Dalam masa sama, Syed Saddiq turut menolak dakwaan dirinya merancang membawa Bella menyertai dunia politik.
“Ada yang kata ini jalan untuk bawa Bella masuk politik. Tidak. Dia boleh ajar saya menari, tetapi dia tidak perlu sertai politik.
“Saya tidak mahu dia melalui apa yang saya lalui,” katanya.
Sebaliknya, beliau hanya menggalakkan Bella menyertai kegiatan sihat seperti bersukan.
Terdahulu, dalam sesi sama, Syed Saddiq mengakui kini berada dalam fasa bahagia bersama Bella, namun belum bersedia mendedahkan tarikh pernikahan mereka.
Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu dan dijangka melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.
