Tidak ramai kanak-kanak prasekolah hari ini berpeluang menanam dan menuai keledek sendiri, tetapi anak kedua Cik Nuurul Khairiyah Salahuddin, antara yang pernah mengalaminya.

Kanak-kanak itu meraih ilmu tersebut dalam program pengalaman pembelajaran musiman di sekolahnya di Jepun.

Faktor alam semula jadi dan persekitaran luar menjadi antara sebab utama Cik Nuurul Khairiyah, 37 tahun, bersama keluarganya berpindah dari Singapura ke negara matahari terbit itu pada Mac 2025.

“Itulah sebabnya saya dan suami memilih berpindah ke Saitama dan bukan ke bandar seperti Tokyo,” katanya, merujuk kepada wilayah di utara Tokyo yang mempunyai kawasan pergunungan yang terkenal dalam kalangan keluarga yang meminati pengembaraan alam semula jadi. 

“Di sini, anak-anak saya mempunyai banyak peluang bermain dan melakukan kegiatan di luar, termasuk bermain dengan pasir dan lumpur, belajar menangkap serangga, dan melakukan banyak perkara secara berdikari,” tambah ibu tiga anak berumur lapan, lima dan tiga tahun itu.

Satu lagi sebab beliau membawa keluarganya berpindah ke Jepun adalah untuk mengurangkan “persaingan akademik” di Singapura, kata bekas guru Bahasa Inggeris dan Pengajian Sosial di sekolah Kementerian Pendidikan (MOE) itu.

Beliau juga mahu meluangkan lebih banyak masa bermutu bersama anak-anak yang masih kecil, sambil terus menyumbang khidmatnya sebagai guru.

“Kami memilih berpindah ke Jepun dan bukan negara lain disebabkan aspek baik dalam budaya dan gaya hidup di sana.

“Selain itu, orang Jepun masih mengamalkan nilai orang Asia yang konservatif. Ini penting bagi keluarga kami,” kata Cik Nuurul Khairiyah, yang berjaya mendapat pekerjaan sebagai guru di Sekolah Islam Antarabangsa dalam kejiranan Otsuka di Tokyo setelah berpindah.

Cabaran di perantauan

Dalam tahun pertama menjalani kehidupan di Jepun, Cik Nuurul Khairiyah berkata beliau perlu banyak menyesuaikan diri dengan sistem dan budaya di tempat tinggal barunya itu.

Menurutnya, jika Singapura terkenal dengan kecekapan banyak khidmat penting yang dijalankan dalam talian, Jepun pula agak berbeza.

“Banyak perkara penting masih memerlukan permohonan dan dokumentasi menggunakan pena dan kertas. Tempoh permohonan pula terhad kepada waktu bekerja antara 9 pagi dengan 5 petang.

“Penduduk juga perlu datang ke pejabat perbandaran untuk melakukan perkara seperti menyatakan minat untuk mendaftarkan anak ke dalam prasekolah dalam kawasan kejiranan, mendaftar perubahan alamat dan sebagainya.

“Ini tidak boleh dilakukan dalam talian seperti di Singapura,” kata Cik Nuurul Khairiyah.

Selain itu, penduduk di kawasan tempat tinggal beliau juga tidak berbahasa Inggeris, jadi semua urusan perlu dilakukan dalam bahasa Jepun.

Mujur Cik Nuurul Khairiyah boleh berbahasa Jepun setelah mempelajarinya ketika menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Anak-anak dan suami pun semakin yakin menggunakan bahasa tersebut, melalui perbualan di sekolah dan dengan orang di sekeliling.

Satu lagi cabaran yang dihadapi adalah kesukaran mendapatkan makanan halal.

“Kami menjangkakan cabaran yang terakhir ini sebelum berpindah ke Saitama. Tetapi saya masih merindui kemudahan membuat tempahan makanan apabila berasa terlalu penat untuk memasak.

“Untuk mengatasi cabaran ini, saya dan suami belajar cara menyediakan hidangan mudah dan juga melakukan persiapan awal,” kata Cik Nuurul Khairiyah, sambil menambah kebanyakan makanan halal boleh didapatkan di Tokyo.

Sebahagian dana yang dikumpul digunakan untuk membeli buku pendidikan dan sumber pembelajaran di Singapura dan dikirimkan ke Jepun.
Sebahagian dana yang dikumpul digunakan untuk membeli buku pendidikan dan sumber pembelajaran di Singapura dan dikirimkan ke Jepun. - Foto NUURUL KHAIRIYAH SALAHUDDIN

Namun selain perubahan sekitaran, Cik Nuurul Khairiyah berkata kehidupan keluarganya di Jepun rata-rata sama dengan di Singapura.

Beliau dan suami masih bercakap dalam bahasa Melayu dengan anak-anak di rumah.

Anak sulungnya menghadiri sekolah tempat beliau mengajar dan didedahkan kepada guru dan pelajar beragama Islam dari pelbagai negara.

Cik Nuurul Khairiyah juga mengenali beberapa warga Malaysia dan Indonesia yang tinggal di sana, yang membolehkan beliau menggunakan bahasa Melayu di luar rumah.

Menyumbang kepada masyarakat baru

Dalam menyesuaikan keluarganya dengan kehidupan baru di Jepun, Cik Nuurul Khairiyah turut mencari peluang untuk menyumbang kepada masyarakat yang kini menjadi sebahagian daripadanya.

Pada April, ketika pulang ke Singapura semasa sekolah ditutup sempena cuti musim bunga, beliau melancarkan usaha mengumpul dana untuk membeli buku buat perpustakaan di sekolah tempat beliau mengajar.

“Sekolah itu belum mempunyai perpustakaan sendiri dan agak sukar mendapatkan buku bahasa Inggeris dekat kawasan sekolah.

“Saya rasa adalah baik jika pelajar mempunyai akses yang lebih mudah kepada buku bahasa Inggeris. Tapi kami memerlukan dana untuk membeli buku-buku itu,” kata Cik Nuurul Khairiyah.

“Saya kemudian mendapat idea untuk melibatkan masyarakat Muslim di Singapura agar menyumbang ke arah usaha ini.

“Saya menggunakan WhatsApp untuk menyebarkan maklumat tentang inisiatif mengumpul dana ini dan terharu dengan sambutan yang diberikan,” tambahnya.

Dalam masa tiga hari, Cik Nuurul Khairiyah, berjaya mengumpul $3,125  hasil sumbangan ahli keluarga, rakan-rakan dan kenalan mereka.
Dalam masa tiga hari, Cik Nuurul Khairiyah, berjaya mengumpul $3,125 hasil sumbangan ahli keluarga, rakan-rakan dan kenalan mereka. - Foto NUURUL KHAIRIYAH SALAHUDDIN

Dalam masa tiga hari, Cik Nuurul Khairiyah – yang tidak menetapkan sasaran dana – telah berjaya mengumpul $3,125 hasil sumbangan ahli keluarga, rakan-rakan dan kenalan mereka.

Sebahagian jumlah itu telah digunakan untuk membeli buku dalam bahasa Inggeris di Singapura, yang sesuai untuk pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Baki dana akan digunakan untuk membeli lebih banyak buku, termasuk sumber pembelajaran bagi mata pelajaran sains, ilmu alam, pengajian Islam dan mata pelajaran lain.

“Saya berharap dengan akses yang lebih mudah kepada buku-buku ini, pelajar di sana akan mempunyai lebih banyak peluang untuk membaca buku bahasa Inggeris dan menggunakan bahan berasaskan bahasa Inggeris sebagai rujukan.

“Saya juga berharap pelajar dapat mengembangkan tabiat membaca yang baik dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka,” kata Cik Nuurul Khairiyah.

Sekolah itu kini meneruskan usaha mengumpul dana bagi penubuhan perpustakaan sekolah secara dalam talian di laman web, www.iiso-edu.jp.

Fikirkan tentang kehidupan yang diinginkan

Berkongsi pemerhatiannya tentang membesarkan anak-anak di luar Singapura sejauh ini, Cik Nuurul Khairiyah berkata dalam masyarakat dan budaya Jepun, terdapat penekanan pada semangat kekitaan dan sikap timbang rasa terhadap orang lain.

Budaya Jepun juga lebih menitikberatkan pematuhan kepada norma sosial berbanding menonjolkan diri dengan menjadi terlalu berbeza daripada orang lain.

“Sudah tentu, pendekatan ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri,” kata Cik Nuurul Khairiyah.

“Sistem pendidikan di sini pula memberi penekanan kepada nilai-nilai seperti kebaikan hati dan rasa hormat terhadap orang lain, serta kurang menumpukan kepada ketegasan akademik.

“Saya berharap anak-anak saya dapat mempelajari perkara-perkara baik daripada apa jua persekitaran yang mereka lalui dan mengamalkannya dalam kehidupan harian,” tambahnya.

Bagi ibu bapa yang merancang membawa anak-anak berhijrah ke negara lain, Cik Nuurul Khairiyah menasihatkan mereka agar memikirkan tentang apa sebenarnya yang dimahukan bagi kehidupan anak-anak dan keluarga.

“Kita tidak boleh membuat keputusan untuk berhijrah jika cara pemikiran kita hanya tertumpu kepada membandingkan Singapura dengan negara yang ingin dituju, terutamanya dari segi pendidikan dan kecekapan.

“Ini kerana Singapura pasti berada pada kedudukan lebih tinggi dalam kedua-dua aspek tersebut berbanding kebanyakan negara lain,” kata Cik Nuurul Khairiyah.

“Oleh itu, perkara terbaik yang perlu dipertimbangkan ialah apa yang dimahukan untuk anak-anak, bukannya apa yang kita inginkan sebagai orang dewasa.

“Ini kerana penghijrahan ke negara lain memberi kesan paling besar kepada kehidupan dan perkembangan anak-anak,” tambahnya.

“Kami memilih berpindah ke Jepun dan bukan negara lain disebabkan aspek baik dalam budaya dan gaya hidup di sana. Selain itu, orang Jepun masih mengamalkan nilai orang Asia yang konservatif. Ini penting bagi keluarga kami.”
Cik Nuurul Khairiyah Salahuddin, ibu tiga anak berumur lapan, lima dan tiga tahun.