Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Temui kartun Bluey, saksikan pesta lampu i Light Singapore 2024

Jun 12, 2024 | 5:30 AM
Pementasan, ‘Bluey’s Big Play’, di Marina Bay Sands Theatre berlangsung dari 13 hingga 23 Jun.
Pementasan, ‘Bluey’s Big Play’, di Marina Bay Sands Theatre berlangsung dari 13 hingga 23 Jun. - Foto DARREN THOMAS

Cuti sekolah pertengahan tahun sudah masuk minggu ketiga.

Selain menyiapkan kerja sekolah atau menyertai perkhemahan atau membuat persediaan untuk penggal persekolahan yang akan datang, anak-anak wajar mendapatkan hiburan untuk menyegarkan fikiran.

Berikut antara kegiatan menarik di Singapura yang boleh dipertimbangkan untuk hiburan sekeluarga.

Pementasan ‘Bluey’s Big Play’

Pementasan Bluey’s Big Play yang dilancarkan pada 13 Jun dan berlangsung sehingga 23 Jun adalah adaptasi teater baru daripada BAFTA & Emmy®, yang memenangi anugerah siri televisyen kanak-kanak terbitan Ludo Studio, yang boleh ditonton di sini menerusi saluran CBeebies, BBC Player dan Disney+.

Bluey ialah anjing manja Blue Heeler, yang tinggal bersama ibu dan bapanya serta adik perempuannya, Bingo. Bluey cukup bertenaga bermain, berwatak lucu dan sering melibatkan anggota keluarga dan seluruh kejiranan meneroka dunia keseronokannya.

Adaptasi teater ini mengandungi muzik baru yang digubah Joff Bush. Bluey’s Big Play dipersembahkan oleh BBC Studios dan Andrew Kay bersama dengan Windmill Theatre Company.

Tarikh: 13 hingga 23 Jun

Tempat: Teater Marina Bay Sands

Tiket: Sistic

i Light Singapore 2024

Acara tahunan i Light Singapore 2024 kembali dengan pelbagai persembahan seni pemasangan yang mesra kanak-kanak seperti, Spin Me a Yarn, Kinetic Perspective dan Liminal;Minimal.

Ini peluang mengajar anak-anak tentang kemapanan dalam suasana yang menyeronokkan kerana festival itu menumpukan perhatian pada topik kemapanan.

Selain seni pemasangan yang cantik, usah ketinggalan menyertai kegiatan seperti BottleBlooms di Tanjong Pagar dan Kickit Team Tennis di DTP Community Green.

Tarikh: 31 Mei hingga 23 Jun

Waktu: Acara dibuka dari 7.30 malam hingga 11 malam setiap hari, dengan waktu dilanjutkan hingga 12 pagi pada Jumaat dan Sabtu.

Maklumat lanjut di laman web, https://www.ilightsingapore.gov.sg/

Taman Permainan ‘Pop-Up’ Luaran bagi Kemapanan oleh Chapter Zero

Taman Permainan ‘Pop-Up’ Luaran bagi Kemapanan oleh Chapter Zero.
Taman Permainan ‘Pop-Up’ Luaran bagi Kemapanan oleh Chapter Zero. - Foto CHAPTER ZERO

Pernahkah anda terfikir bagaimana menjadikan barangan harian sebagai bahan permainan yang menyeronokkan?

Singgah ke lima stesen taman permainan ‘pop-up’ yang meriah, dan dapatkan inspirasi daripada cara yang berbeza untuk menggunakan semula plastik harian dan bahan kitar semula melalui permainan.

Kegiatan itu adalah untuk menggalakkan kanak-kanak terlibat dalam usaha mengurangkan sisa.

Pada penghujung penerokaan, anda boleh membawa pulang kraf dan kertas pembungkus yang anda cipta, atau meletakkannya dalam kotak yang disediakan untuk produk yang boleh dikitar semula berbanding produk tidak boleh dikitar semula, sebagai latihan tentang pengurusan sisa dan kitar semula.

Anda juga mungkin mahu membawa pakaian ganti kerana salah satu daripada lima stesen di taman permainan itu menampilkan permainan air. Kehadiran ibu bapa diperlukan, tanpa mengira umur anak.

Tarikh: 15, 16, 22 dan 23 Jun, 2 petang hingga 5 petang

Tempat: Kawasan luar bersebelahan dengan Pokok Beringin, Muzium Negara Singapura.

Penyertaan percuma, sesuai untuk keluarga dengan kanak-kanak berumur tiga tahun ke atas.

Maklumat lanjut: https://bh.sg/museum

BMT di Wisma Teroka Singapura

Belajar tentang kehidupan Perkhidmatan Negara (NS) di acara Latihan Asas Tentera (BMT) di Wisma Teroka Singapura.
Belajar tentang kehidupan Perkhidmatan Negara (NS) di acara Latihan Asas Tentera (BMT) di Wisma Teroka Singapura. - Foto WISMA TEROKA SINGAPURA

Jika anda mempunyai anak kecil yang ingin tahu tentang kehidupan Perkhidmatan Negara (NS), acara Latihan Asas Tentera (BMT) di Wisma Teroka Singapura menawarkan pengalaman yang menyeronokkan.

Program itu penuh aksi dengan kegiatan seperti Program Pengalaman Tentera (wajah mereka akan diconteng ‘camo’, memasang khemah dan mencuba MRE (Hidangan Sedia-untuk-Makan)), Cabaran Foam Blaster yang mendebarkan. Tentu seronok apabila anak-anak dapat ‘menjadi askar’ yang berani selama sehari.

Malah terdapat permainan mengatasi halangan bagi kelangsungan hidup untuk kanak-kanak berumur enam tahun ke atas untuk mencabar diri dan menguji had mereka.

Tarikh: 25 Mei hingga 23 Jun 2024, 11 pagi hingga 6 petang

Tempat: Concourse di Wisma Teroka Singapura, masuk percuma

Maklumat lanjut: https://bh.sg/discovery

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg