Formula Satu (F1) bukan hanya menonton aksi di Litar Jalan Raya Marina Bay.

Sempena Perlumbaan GP F1 Singapura 2026, pelbagai acara dan sesi bertemu pelumba kegemaran anda akan berlangsung di sekitar Singapura dari sekarang hingga minggu perlumbaan.

Jika anda mahu merasai bahang F1 tanpa perlu berada di dalam litar, berikut adalah beberapa lokasi dan acara yang boleh dikunjungi.

Peminat Alex Albon berpeluang bertemu pemandu Williams itu pada 6 Oktober, 7.30 malam, di ‘pop-up’ Quadrant di pust beli-belah Bugis+.
Peminat Alex Albon berpeluang bertemu pemandu Williams itu pada 6 Oktober, 7.30 malam, di ‘pop-up’ Quadrant di pust beli-belah Bugis+. - Foto INSTAGRAM ALEX_ALBON

1. Beramah mesra dengan Alex Albon

Peminat Alex Albon berpeluang bertemu pemandu Williams itu menerusi ‘pop-up’ khas Quadrant di pusat beli-belah Bugis+ dari 6 hingga 11 Oktober.

Albon dijadualkan hadir pada 6 Oktober, 7.30 malam, untuk sesi soal jawab ringkas bersama peminat.

Pada masa sama, koleksi pakaian pertama Quadrant hasil kerjasama dengan pemandu F1 itu turut dilancarkan secara eksklusif di ‘pop-up’ berkenaan.

Bagi peminat pasukan Williams pula, Atlassian Williams F1 Team Fan Zone di Marina Square berlangsung dari 5 hingga 13 Oktober.

Selain melihat kereta pertunjukan bersaiz sebenar dan membeli barangan khas edisi terhad Singapura, peminat juga boleh bertemu Albon pada 7 Oktober, 8.30 malam.

2. Temui Ollie Bearman di ‘pop-up’ Vetreska

Pemandu F1 Ollie Bearman akan buat kemunculan khas di ‘pop-up’ jenama Vetreska di ION Orchard pada 6 Oktober, sempena kempen baharu jenama itu Fast Life. Reimagined.

Jenama yang berasal dari China itu dikenali dengan produk unik dan berwarna-warni khas untuk haiwan peliharaan.

‘Pop-up’ yang berlangsung dari 3 hingga 11 Oktober itu turut menampilkan Circuit Collection – koleksi yang mengambil inspirasi daripada F1 dan menggabungkan elemen sukan permotoran dengan barangan untuk haiwan peliharaan.

Peminat boleh bertemu pemandu popular, Charles Leclerc menerusi acara ‘Puma Own Your Speed’ di 313@Somerset atau di acara ‘Ray-Ban Beyond The Track’ di CQ @ Clarke Quay.
Peminat boleh bertemu pemandu popular, Charles Leclerc menerusi acara ‘Puma Own Your Speed’ di 313@Somerset atau di acara ‘Ray-Ban Beyond The Track’ di CQ @ Clarke Quay. - Foto fail

3. Nak jumpa Charles Leclerc?

Pemandu Ferrari terkenal itu akan bertemu peminat menerusi kempen Puma Own Your Speed di 313@Somerset, sebelum tampil di acara Ray-Ban Beyond The Track di CQ @ Clarke Quay pada 5 petang.

Kemunculan di Clarke Quay adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai, dengan pelbagai kegiatan untuk peminat termasuk pameran kereta Ferrari SF-23, simulator F1 dan cabaran ‘pit stop’.

Peminat juga boleh meninggalkan pesanan khas buat Leclerc menerusi dinding pesanan, selain menyertai pelbagai kegiatan berkaitan F1 di cawangan Puma di 313@Somerset dan VivoCity.

Pemandu McLaren, Lando Norris, juga dijadualkan membuat penampilan di Puma VivoCity pada 7 Oktober, sebagai sebahagian daripada kempen Puma Own Your Speed.

Peminat boleh bertemu pemandu Visa Cash App Racing Bulls Liam Lawson (kiri) dan Arvid Lindblad, di pusat beli-belah WEAVE, Reworts World Sentosa atau di ION Orchard pada 7 Oktober.
Peminat boleh bertemu pemandu Visa Cash App Racing Bulls Liam Lawson (kiri) dan Arvid Lindblad, di pusat beli-belah WEAVE, Reworts World Sentosa atau di ION Orchard pada 7 Oktober. - Foto RESORTS WORLD SENTOSA

4. Temui pemandu Visa Cash App Racing Bulls

Peminat juga boleh melihat kereta lumba Visa Cash App Racing Bulls secara dekat di pusat beli-belah WEAVE, Resorts World Sentosa, menerusi acara Festival of Thrills.

Pameran kereta berlangsung sehingga 12 Oktober, manakala pada 7 Oktober, peminat terpilih berpeluang bertemu pemandu Visa Cash App Racing Bulls, Liam Lawson dan Arvid Lindblad; Ketua Pasukan, Alan Permane dan Ketua Pegawai Eksekutif, Peter Bayer sekitar 7 malam.

Sesi tersebut memberi peluang untuk peminat bergambar, mendapatkan tandatangan dan mendengar perkongsian mengenai kehidupan mereka dalam dunia F1.

Kededua pemandu itu juga dijadualkan membuat penampilan di The Trackside: Tudor di ION Orchard pada 6 petang sebelum mereka ke WEAVE.

Peminat Audi Revolut boleh bertemu pelumba Gabriel Bortoleto (kiri) dan Nico Hülkenberg di Funan pada 7 Oktober.
Peminat Audi Revolut boleh bertemu pelumba Gabriel Bortoleto (kiri) dan Nico Hülkenberg di Funan pada 7 Oktober. - Foto ADIDAS

5. Bergambar dengan pemandu Audi di Funan

Pusat beli-belah Funan bakal menjadi lokasi tumpuan peminat pasukan F1 Audi Revolut pada 7 Oktober, apabila pelumba Nico Hülkenberg dan Gabriel Bortoleto dijadualkan membuat penampilan.

Selain berpeluang melihat kededua pemandu Audi itu, peminat boleh kunjungi ruang kerjasama Audi dengan Adidas, yang menampilkan Audi R26 Showcar serta Audi RS 5.

Pameran kereta itu berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober.

Peminat boleh mengambil gambar bersama kereta lumba W17 pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS di pusat beli-belah Raffles City.
Peminat boleh mengambil gambar bersama kereta lumba W17 pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS di pusat beli-belah Raffles City. - Foto RAFFLES CITY SINGAPORE

6. George Russell, Kimi Antonelli singgah ke Orchard

Di pusat beli-belah Raffles City, peminat boleh mengunjungi ‘pop-up’ Adidas x Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team yang menampilkan kereta lumba W17, simulator perlumbaan dan koleksi khas, termasuk koleksi Vanda Bloom yang direka sempena perlumbaan Singapura.

Kalau anda mahu temui kededua pemandu popular Mercedes, George Russell dan Kimi Antonelli, mereka berdua dijadualkan membuat penampilan di Adidas Brand Centre Orchard pada 8 Oktober.

Pemandu McLaren, Oscar Piastri (kanan) bakal tampil bersama Zak Brown dalam ‘McLaren Racing Live: In Conversation’ di Sands Theatre, Marina Bay Sands, pada 7 Oktober, 7.30 malam.
Pemandu McLaren, Oscar Piastri (kanan) bakal tampil bersama Zak Brown dalam ‘McLaren Racing Live: In Conversation’ di Sands Theatre, Marina Bay Sands, pada 7 Oktober, 7.30 malam. - Foto MARINA BAY SANDS

7. Oscar Piastri di ‘McLaren Racing Live’

Peminat McLaren boleh melihat pemandu McLaren, Oscar Piastri secara langsung di pentas McLaren Racing Live: In Conversation bersama Ketua Eksekutif McLaren Racing, Zak Brown, di Sands Theatre, Marina Bay Sands, pada 7 Oktober, 7.30 malam.

Kededua mereka akan berkongsi pengalaman mereka dalam dunia F1, termasuk perkembangan musim ini, persaingan di tahap tertinggi sukan dan masa depan McLaren.

Jenama gaya hidup +44 yang dimiliki pemandu Ferrari, Lewis Hamilton membuat kemunculan sulung di Asia Tenggara menerusi kedai sementara di The Shoppes, Marina Bay Sands, dari 5 hingga 11 Oktober.
Jenama gaya hidup +44 yang dimiliki pemandu Ferrari, Lewis Hamilton membuat kemunculan sulung di Asia Tenggara menerusi kedai sementara di The Shoppes, Marina Bay Sands, dari 5 hingga 11 Oktober. - Foto BH oleh AMIRA SYAHEERA AZLAN

8. Koleksi eksklusif +44 Marina Spaceport

Jenama gaya hidup milik pemandu Ferrari, Lewis Hamilton, membuat kemunculan sulung di Asia Tenggara menerusi kedai sementara di The Shoppes, Marina Bay Sands, dari 5 hingga 11 Oktober.

Peminat boleh mendapatkan koleksi eksklusif Plus44 Marina Spaceport, hasil kerjasama dengan artis Singapura, Jahan Loh.

Tak dapat tiket ke litar? Jangan khuatir, pelbagai acara dan sesi bertemu pelumba F1 akan berlangsung di sekitar Singapura.

Jadi, sama ada anda peminat F1 atau sekadar mahu menikmati kemeriahan minggu perlumbaan, pastikan anda tidak terlepas mengunjungi pelbagai acara di seluruh Singapura.