Topik diikuti
Pergi ke BHkuTenangkan minda dengan khidmat spa kepala pilihan di JB
Tenangkan minda dengan khidmat spa kepala pilihan di JB
Tenangkan minda dengan khidmat spa kepala pilihan di JB
Bagi warga Singapura yang berdepan dengan tekanan kerja dan gaya hidup yang sibuk, cuti singkat ke Johor Bahru bukan sahaja peluang terbaik untuk membeli-belah, menjamu selera, malah menjadi destinasi ideal untuk merehatkan minda.
Antara cara yang dapat membantu merehatkan minda adalah dengan menikmati rawatan spa kepala – sebuah terapi ringkas yang dikatakan mampu mengurangkan tekanan, melancarkan peredaran darah, dan mengembalikan tenaga.
Terdapat banyak kedai yang menawarkan perkhidmatan spa kepala di sekitar Johor Bahru.
Sama ada anda sedang mencari khidmat urut kepala yang menenangkan dan menjadi sebutan jiran di seberang Tambak, rawatan spa rambut yang mewah, mahupun pengalaman spa rambut menyeluruh lengkap dengan analisis kulit kepala serta pembersihan mendalam, Johor Bahru sememangnya menyediakan pelbagai jenis pilihan.
Berikut adalah antara lokasi spa kepala terbaik di Johor Bahru yang boleh anda kunjungi.
S_THETICS SALON
S_thetics Salon, yang mempunyai beberapa cawangan sekitar Johor Bahru, termasuk Mount Austin, menawarkan pengalaman spa kepala amat menenangkan pada harga berpatutan.
Setiap rawatan bermula daripada RM148 (sekitar $46) untuk lelaki dan RM158 bagi wanita, dengan harga bagi rawatan spa kepala wanita berubah mengikut kepanjangan rambut.
Setiap sesi yang berlangsung antara 60 dengan 90 minit itu merangkumi rawatan spa kepala melegakan serta urutan bahu yang menyegarkan.
Bagi mereka yang inginkan pengalaman spa lebih menyeluruh, kedai itu turut menyediakan rawatan spa tangan dan kaki pada harga RM88.
Alamat: 20-01, Jalan Austin Heights 8/4, Taman Mount Austin, 81100 Johor Bahru
Waktu operasi: 10 pagi hingga 9 malam, setiap hari
FUGA ORGANIC HAIR SPA
Setiap sesi rawatan di Fuga Organic Hair Spa merangkumi urutan ‘waterfall circulating massage’ yang menenangkan bersama sapuan minyak dingin, masker pemulihan rambut, masker mata, terapi mesin berwap, urutan melegakan pada bahagian bahu, leher dan tangan, urutan seluruh badan menggunakan kerusi urut Osim, serta penggayaan rambut.
Lebih menarik lagi, premis itu menyediakan Bilik Khas Muslimah untuk wanita berhijab bagi memastikan privasi dan aurat mereka terpelihara dengan baik sepanjang menikmati rawatan spa.
Di penghujung sesi rawatan, pelanggan akan dihidangkan dengan teh herba yang menyegarkan bersama snek.
Antara rawatan yang disediakan termasuk Botanical Scalp Detox (Rawatan Detoks Kulit Kepala Botani) berharga RM288, atau sekitar $90.
Rawatan itu khusus untuk mengatasi masalah kulit kepala seperti rambut gugur, kelemumur, serta kulit kepala berminyak, kering mahupun sensitif.
Selain itu, terdapat Rawatan Pembaikan Rambut Botani, atau Botanical Hair Repair, berharga RM380 bagi pelanggan dengan masalah rambut kering, rosak dan sukar diurus.
Rawatan itu membantu mengukuhkan akar rambut serta mengurangkan masalah rambut gugur, menjadikannya lebih lembut, sihat dan mudah diurus.
Rawatan Kulit Kepala bagi Pertumbuhan Rambut, atau Hair Growth Scalp, pula membantu rambut tumbuh dengan lebih cepat dan menjadi lebih kuat dan sihat, pada harga RM300.
Alamat: 103, Jln Beringin, Taman Melodies, 80250 Johor Bahru, Johor, Malaysia
Waktu operasi: 10 pagi hingga 7 malam, Rabu hingga Isnin (tutup pada hari Selasa).
MM SPA
Rawatan utama yang menjadi tarikan MM Spa ialah spa kepala ekspres 30 minit yang ditawarkan pada harga luar biasa murah – hanya RM39 atau sekitar $12.
Promosi istimewa itu terhad hanya untuk pelanggan kali pertama dan sah untuk janji temu dari Isnin hingga Jumaat.
Bagi janji temu pada hujung minggu dan cuti umum, pelanggan perlu membayar harga asal RM79.
Sepanjang sesi 30 minit tersebut, pelanggan akan menikmati beberapa rawatan, termasuk urutan lembut menggunakan teknik perubatan tradisional (TCM) Cina gua sha, hidroterapi pancuran air, masker rambut serta syampu dan pengeringan rambut.
Jika anda mempunyai lebih banyak masa terluang, anda boleh mempertimbangkan pilihan rawatan spa kepala lain yang turut ditawarkan MM Spa.
Ini termasuk Terapi Bantuan Tidur, atau Sleep Aid, sesuai untuk para pelanggan yang inginkan rawatan sambil mendapat tidur yang nyenyak.
Rawatan selama 60 minit itu berharga RM169.
Selain itu, terdapat Terapi Menenangkan, atau Relaxation, selama 75 minit, sesuai untuk melegakan ketegangan serta kekejangan pada bahagian bahu dan leher, pada harga RM219.
Alamat: 3, Jalan Austin Heights 7/8, Taman Mount Austin, 81100 Johor Bahru, Johor, Malaysia
Waktu operasi: 11.30 pagi hingga 8.30 malam, setiap hari
