BANGKOK: Apabila syarikat penerbitan filem besar Hollywood memilh sesebuah negara bagi penggambarannya, ia pasti petanda lokasi tersebut benar-benar luar biasa.
Bagi filem terbaru fenomena dinosaur global, Jurassic World: Rebirth, yang telah ditayangkan pada 2 Julai, tidak dinafikan bahawa landskap menakjubkan di Thailand terserlah.
Jurassic World: Rebirth hasil Universal Pictures, menyaksikan pengarah Gareth Edwards membawa seluruh produksinya ke Thailand.
Mengapa? Jawapannya mudah: Ekosistem Thailand yang kaya, pelbagai, merangkumi gunung megah, air terjun dan lautan tidak tercemar, menawarkan keindahan visual yang tidak boleh ditanding.
Penggambaran dijalankan di tiga taman nasional Thailand:
Pantai Sunset, Koh Kradan, dan Gua Morakot (Gua Emerald) di Taman Nasional Hat Chao Mai dalam wilayah Trang;
Air Terjun Huay To dan Pokok Sompong purba di Taman Nasional Khao Phanom Bencha, wilayah Krabi; dan
Khao Ta Pu, Koh Song Phi Nong, dan Koh Naka di Taman Nasional Ao Phang Nga, wilayah Phang Nga.
Di samping itu, beberapa adegan dijalankan di ibu kota meriah, Bangkok, dan bandar utara Chiang Mai.
Lokasi di Thailand itu akan dipapar di skrin sebagai Isla Nublar, Sorna dan pulau-pulau penting lain dalam filem tersebut.
Berikut beberapa lokasi penggambaran yang boleh diteroka:
Terletak di lautan Andaman, Koh Kradan menampilkan pantai pasir putih yang sangat halus serta air sangat jernih yang membolehkan anda melihat kumpulan ikan dan dasar laut yang berwarna-warni.
Pulau ini juga dikelilingi pelbagai terumbu karang.
Walaupun 70 peratus daripada pulau itu dihiasi gunung yang menjulang tinggi dan hutan hujan tebal, pantai timurnya adalah yang terpanjang, menempatkan jeti utama dan unit taman negara.
Antara tarikan terbaik ialah Pantai Sunset di barat pulau itu, hamparan pasir sepanjang 100 meter.
Laluan berjalan kaki sepanjang 1 kilometer yang indah menghala dari pantai timur ke Pantai Sunset, menawarkan pemandangan matahari terbenam yang paling menakjubkan.
Tidak hairanlah mengapa Lonely Planet mengiktiraf Pantai Sunset sebagai salah satu daripada 10 Pantai Terbaik di dunia pada 2025, dan World Beach Guide secara berturut-turut menobatkannya sebagai pantai terbaik di dunia pada 2023 dan 2024.
Terletak di dalam Taman Nasional Khao Phanom Bencha, Air Terjun Huay To adalah air terjun yang berasal dari banjaran gunung Phanom Bencha.
Ia mempunyai lima tahap berbeza: Wang Sam Hab, Wang Jong Loy, Wang Doi Prong, Wang Tewada, dan Wang Ton Priew.
Walaupun beberapa tingkat mencapai ketinggian 70-80 meter, tingkat pertama mempunyai lembangan yang sesuai untuk berendam.
Bagi yang mahu lebih cabaran, terdapat laluan untuk ke tahap lebih tinggi, namun dinasihati berhati-hati.
Air Terjun Huay To mengalir secara konsisten sepanjang tahun, dengan arus yang sangat kuat semasa musim hujan, terutamanya di sekitar tebing.
Semasa musim kemarau, isipadu air lebih rendah.
Air terjun ini mudah dikunjungi dengan berjalan kaki dari ibu pejabat Taman Nasional.
Pokok purba mengagumkan berusia 120 tahun, Pokok Sompong ialah mercu tanda unik berhampiran Air Terjun Huay To.
Selepas meninggalkan air terjun dan menyeberangi jambatan melalui Kuil Chao Mae Khao Phanom Bencha, pendakian kira-kira 300 meter menuju ke tingkat pertama air terjun akan membawa anda melihat keajaiban yang tidak boleh dilepaskan.
Sebahagian daripada Taman Negara Ao Phang Nga, Khao Ta Pu, yang terkenal sebagai Pulau James Bond, terletak di bahagian utara teluk berhampiran Koh Khao Phing Kan, barat daya ibu pejabat taman negara dan kira-kira 15 kilometer di sepanjang Khlong Ko Panyi.
Pembentukan batu yang bersendirian ini, lebih lebar di bahagian atas dan sempit di pangkalnya, membuatkan ia sangat menyerupai mata ketam.
Dari segi geologi, ia diklasifikasikan sebagai timbunan laut.
Untuk keselamatan dan pemeliharaan, Khao Ta Pu hanya boleh dilihat dari jauh, sama ada dari bot atau dari tebing pasir Koh Khao Phing Kan; pelawat tidak boleh turun ke pulau itu sendiri.
Pemandangan paling tidak terhalang dan indah boleh dinikmati dari Koh Khao Phing Kan.
Merentasi tiga daerah (Takua Thung, Ko Yao, dan Mueang), Taman Nasional Ao Phang Nga ialah taman nasional pesisir pantai yang terkenal kerana pantainya yang menakjubkan dan hutan bakau yang kaya.
Ia merangkumi kira-kira 40 pulau di bahagian timur Phuket, menampilkan keajaiban semula jadi ikonik seperti Khao Phing Kan, Khao Ta Pu dan Tham Lot (Gua Lod).
Taman Nasional Ao Phang Nga, yang terletak di Daerah Mueang Phang Nga, mengenakan bayaran masuk sebanyak 60 baht untuk orang dewasa Thailand (30 baht untuk kanak-kanak) dan 300 baht untuk orang dewasa asing (100 baht untuk kanak-kanak).
Taman itu menawarkan penginapan dan tapak perkhemahan dari 800 -1,000 baht, di samping restoran, kedai cenderamata dan tandas.
Terletak di sebelah barat Koh Mook dalam Taman Nasional Hat Chao Mai, Gua Morakot adalah pengalaman yang benar-benar unik.
Untuk masuk memerlukan pengunjung secara berkumpulan melalui laluan gelap sepanjang 80 meter dari mulut gua.
Setelah keluar gua, cahaya matahari yang terpancar ke permukaan air, meneranginya dengan warna hijau zamrud yang menakjubkan.
Selepas melepasi laluan ini terdapat ruang gua luas, menampakkan pantai pasir putih bersih yang dikelilingi tebing menjulang tinggi dan bermandikan cahaya semula jadi.
Bayaran masuk ialah 40 baht untuk orang dewasa warga Thailand (20 baht untuk kanak-kanak) dan 200 baht untuk orang dewasa asing (100 baht untuk kanak-kanak).
Dimaklumkan bahawa kawasan Koh Mook taman tersebut ditutup setiap tahun untuk kerja pemulihan alam semula jadi dari 1 Jun hingga 30 September. – Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg