Jika anda gemar menikmati pantai yang indah, bertemu hidupan liar dan berbasikal secara santai – dan semua itu adalah jenis pengembaraan yang anda impikan – jadikan jelajah berbasikal di Pulau Rottnest, Australia, sebagai impian pengembaraan anda.
Pulau Rottnest, yang boleh dikunjungi dengan hanya 25 minit perjalanan menaiki feri dari Fremantle di Perth, mempunyai lebih 60 pantai dan “haiwan paling ceria di dunia” – quokka (sejenis haiwan mamalia, yang betinanya mempunyai kantung untuk membawa anaknya).
Salah satu cara paling popular untuk meneroka pulau ini adalah dengan berbasikal.
Pengasas syarikat pelancongan Laura the Explorer Bike Tours, Cik Laura Holmes, 34 tahun, mengendalikan jelajah basikal berpandu sejauh 10 kilometer di Pulau Rottnest untuk kumpulan sehingga 20 peserta, hampir setiap hari.
Antara tarikan jelajah tersebut termasuk persinggahan di Parker Point dan Little Salmon Bay – tempat aktiviti snorkeling yang kaya dengan hidupan laut – serta kawasan pantai ikonik seperti Parakeet Bay dan Pantai Pinky yang menjadi kegemaran penduduk tempatan.
“Meneroka pulau ini dengan berbasikal membolehkan anda menikmati keindahannya pada rentak lebih perlahan.
“Bayangkan melihat cahaya matahari menyinari perairan yang jernih bak kristal, apabila anda mendaki setiap bukit. Ia bagaikan syurga,” kata Cik Holmes, yang membesar di Perth.
Jelajah selama tujuh jam ini – dengan para peserta biasanya berbasikal secara santai sehingga empat jam, berserta waktu rehat dan persinggahan di beberapa tempat sepanjang perjalanan – berharga A$250 ($210) bagi seorang dewasa dan A$200 untuk remaja berusia 12 hingga 16 tahun.
Untuk memberikan pengalaman lebih selesa, acara jelajah ini disediakan untuk peserta berusia 12 tahun ke atas, lapor The Straits Times (ST).
Pakej jelajah ini termasuk tiket feri ulang-alik dari Perth, sewa basikal, sesi snorkeling selama sejam dengan peralatan disediakan, makan tengah hari, dan cenderahati sebagai kenangan manis pada akhir acara.
Menyaksikan quokka adalah perkara biasa, terutama di kawasan penempatan utama pulau itu di Thomson Bay.
Walaupun pelancong dilarang membelai atau menyentuh haiwan marsupial yang sentiasa ‘tersenyum’ ini, mereka dibenarkan mengambil gambar bersamanya.
Para pelancong juga boleh menjelajah pulau ini dengan berjalan kaki atau menaiki bas ulang-alik berbayar, serta menempah penginapan semalaman di rumah persinggahan, tapak perkhemahan dan kotej di pulau tersebut.
Antara aktiviti malam yang menarik di Pulau Rottnest termasuk memancing pada waktu matahari terbenam, melihat bintang-bintang yang berkerlipan di langit, dan melihat quokka nokturnal yang lebih aktif selepas senja.
Jelajah berbasikal dan aktiviti alam semula jadi disediakan sepanjang tahun.
Untuk menikmati satu lagi pengalaman waktu malam yang mempesonakan, kunjungi Uluru – di bahagian selatan Wilayah Utara – tempat pemasangan Field Of Light (Hamparan Cahaya), yang merupakan karya seni cahaya oleh artis Britain, Bruce Munro.
Karya seni cahaya itu telah diperbaharui dan akan dipamerkan untuk tempoh lebih panjang hingga April 2027.
Dibuka pada April 2016, pemasangan karya seni cahaya itu mempamerkan 50,000 batang cahaya berkuasa suria yang bersinar dalam warna kuning tanah, ungu, biru dan putih, di kawasan seluas 49,000 meter persegi – sekitar saiz empat padang bola sepak.
Pas masuk biasa berharga A$49.50 untuk dewasa dan A$38 untuk kanak-kanak berusia dua hingga 15 tahun.
Ia merangkumi lawatan selama 90 minit, bermula 30 minit selepas matahari terbenam, dengan perjalanan ulang-alik menaiki bas dari tempat pengambilan di kawasan bandar Yulara yang berhampiran.
Penerbangan domestik di Australia mendarat di Lapangan Terbang Ayers Rock, yang berada dalam jarak sekitar 20 minit pemanduan dari Yulara.
Pelancong juga boleh terbang ke Lapangan Terbang Alice Springs dan membuat perjalanan darat, dengan memandu selama enam jam ke Uluru.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg