Terpesona dengan keindahan alam di Perlis dan keunikan Hat Yai
Terpesona dengan keindahan alam di Perlis dan keunikan Hat Yai
Jambatan pelangi, masjid terapung, tasik indah dan pasar terapung antara tarikan istimewa
Saya ingin berkongsi pengalaman bermakna bersama rakan-rakan saat mengunjungi beberapa destinasi menarik di Perlis dan Hat Yai, Thailand.
Perlis, yang diberi julukan ‘Negeri Indera Kayangan’, sememangnya memukau dengan tarikan pelancongannya. Keindahan alam semula jadi yang eksotik serta kepelbagaian destinasi menjadikannya istimewa.
Keunikan Perlis terletak pada gabungan alam semula jadi yang indah, warisan budaya yang unik, serta kos percutian yang berpatutan.
Persinggahan pertama kami adalah di Pekan Kuala Perlis, untuk menyaksikan Jambatan Tuanku Syed Putra.
Jambatan ini mempesona dengan kombinasi warna-warni yang persis pelangi, mencipta panorama yang sungguh memikat.
Tidak hanya jambatan, rumah-rumah di sekitarnya juga dicat dengan rona ceria, menjadikan kawasan ini dikenali sebagai Kampung Seberang Ramai, atau lebih popular dengan nama Kampung Pelangi.
Lewat petang, kami bergegas ke Persiaran Putra Timur, Kuala Perlis, untuk merakam keindahan matahari terbenam.
Di sana, tersergamlah Masjid Terapung Al-Hussain, sebuah seni bina yang memukau dan mendamaikan jiwa.
Detik paling mengagumkan adalah apabila sinar keemasan mentari senja memancar dan memantul pada struktur masjid, menghasilkan pemandangan yang amat mempesonakan.
Keesokan harinya, kami meneruskan perjalanan ke Wang Kelian View Point, salah satu lokasi wajib dikunjungi di Perlis.
Dari sini, kami menikmati panorama alam yang terbentang luas sejauh mata memandang.
Suasananya amat sesuai bagi mereka yang mendambakan ketenangan jauh dari kesibukan kota.
Di kawasan ini juga terdapat galeri gambar 3D dengan lukisan realistik dan berwarna-warni yang pastinya menarik perhatian pengunjung.
Saya juga ingin mencadangkan beberapa destinasi lain yang patut dikunjungi apabila melancong ke Perlis, antaranya Ladang Nipah Kipli, sebuah lokasi rekreasi yang sesuai untuk percutian bersama keluarga dan anak-anak, serta Tasik Timah Tasoh, sebuah tasik buatan yang menawarkan pemandangan alam yang indah dan menenangkan.
Dari Perlis, kami meneruskan perjalanan ke Padang Besar sebelum melangkah masuk ke Thailand untuk percutian selama dua hari di Hat Yai.
Di sana, kami sempat membeli-belah di kedai oleh-oleh terkenal seperti Kaysorn Souvenir Shop Thailand dan Rosecarree Silk Shop.
Pada hari terakhir percutian, kami memilih Khlong Hae Floating Market sebagai penamat perjalanan yang sempurna.
Keunikan pasar terapung ini terserlah melalui para peniaga yang menjual pelbagai barangan dan makanan dari perahu kecil di atas sungai.
Lebih memikat, kebanyakan hidangan disajikan dalam bekas mesra alam, seperti tiub buluh.
Antara sajian yang ditawarkan termasuk sate makanan laut, pulut mangga, pad thai, dan pelbagai hidangan tempatan lain yang sungguh menyelerakan.
Kami turut singgah di kedai cenderamata ‘Kejap’ di Songkla, yang menawarkan tasik buatan yang indah, menjadikannya lokasi bergambar yang amat menarik.
Secara keseluruhannya, kami amat berpuas hati dan gembira dapat meneroka Perlis dan Hat Yai.
Percutian ini bukan sekadar memberikan pengalaman berharga, malah meninggalkan kenangan manis yang akan kami simpan sentiasa.
Encik Sahari Sariman berusia 68 tahun dan seorang pesara yang sebelum ini bekerja sebagai pegawai polis.


