Topik diikuti
Pergi ke BHkuTinjauan: Mahu kurang tekanan, ibu bapa S’pura tetap sifatkan tuisyen keperluan
Tinjauan: Mahu kurang tekanan, ibu bapa S’pura tetap sifatkan tuisyen keperluan
Tiga dalam empat ibu bapa yang mengambil bahagian dalam satu tinjauan berpendapat bahawa tuisyen di luar waktu sekolah rendah diperlukan bagi memastikan anak-anak mereka mencapai keputusan yang baik.
Menurut satu tinjauan baharu yang dikeluarkan pada 9 November, keluarga membelanjakan purata $600 sebulan bagi setiap anak untuk kelas tambahan sedemikian.
Kebanyakan ibu bapa, iaitu 72 peratus, berkata mereka mahu mengurangkan tekanan akademik terhadap anak-anak, tetapi bimbang anak-anak mereka akan ketinggalan dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Sekitar 77 peratus responden pula berkata mereka akan mengurangkan tekanan tersebut sekiranya anak-anak mereka dijamin mendapat tempat di sekolah menengah melalui satu sistem yang menjadikan PSLE sebagai peperiksaan pilihan.
Dapatan tersebut, yang dikeluarkan oleh kumpulan advokasi kanak-kanak, EveryChild.SG, menunjukkan kebanyakan responden mempunyai keyakinan terhadap sistem pendidikan Singapura.
Namun, mereka bimbang tentang persaingan akademik dan kos tuisyen.
Tinjauan tersebut dijalankan oleh firma penyelidikan pasaran NielsenIQ antara Januari dengan Februari, melibatkan 4,007 warga Singapura dan penduduk tetap (PR).
Mereka terdiri daripada 2,002 ibu bapa berusia antara 25 dengan 65 tahun dengan anak sedang bersekolah di sekolah rendah tempatan atau pernah bersekolah di sekolah rendah tempatan dalam tempoh lima tahun lalu, serta 2,005 orang dewasa muda berusia antara 18 dengan 30 tahun yang pernah bersekolah di sekolah rendah tempatan.
EveryChild.SG, sebuah kumpulan advokasi bukan meraih keuntungan yang diasaskan pada 2023 oleh bekas penjawat awam, Cik Pooja Bhandari, telah menggesa agar pembaharuan pendidikan dilaksana bagi menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak.
Tinjauan terkini itu dijalankan terutamanya secara dalam talian dan menggunakan bahasa Inggeris, Mandarin serta Melayu.
Menurut Cik Bhandari, contoh responden tersebut secara umum mencerminkan demografi kebangsaan dari segi kaum, jantina dan jenis perumahan.
Kajian itu mendapati perbelanjaan untuk kelas tuisyen berbeza mengikut kumpulan pendapatan.
Isi rumah yang memperoleh pendapatan hingga $5,000 sebulan membelanjakan purata $300 sebulan bagi setiap anak yang bersekolah rendah; manakala keluarga yang memperoleh pendapatan antara $5,000 dengan $15,000 membelanjakan $600.
Mereka yang memperoleh pendapatan antara $15,000 dengan $20,000 sebulan pula membelanjakan $1,000 bagi setiap anak yang bersekolah rendah.
Satu kajian berasingan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) yang dikeluarkan pada September mendapati ibu bapa membelanjakan purata $500 sebulan untuk tuisyen.
Kajian mengenai sikap dan persepsi ibu bapa terhadap sistem pendidikan itu mendapati lebih ramai ibu bapa pada masa kini berasa tertekan tentang masa depan anak-anak mereka berbanding 2016.
Kebanyakan responden dalam tinjauan EveryChild.SG mempunyai pandangan positif terhadap sekolah-sekolah rendah di Singapura.
Lapan daripada 10 responden bersetuju bahawa sistem pendidikan rendah Singapura merupakan antara yang terbaik jika dibandingkan dengan sistem pendidikan di negara maju lain.
Sekitar 85 peratus juga mempunyai pandangan positif terhadap persekitaran sekolah, termasuk sama ada murid-murid berasa selamat dari segi emosi dan dihormati oleh guru-guru.
Tinjauan itu turut mendapati bahawa 80 peratus responden percaya bahawa sistem pendidikan berterusan tanpa peperiksaan pemilihan akan menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, manakala 79 peratus berpendapat bahawa sistem tersebut akan mengurangkan tekanan peperiksaan.
Laporan itu menyatakan bahawa dapatan ini menunjukkan ibu bapa terbuka terhadap perubahan struktur dalam sistem pendidikan.
EveryChild.SG sebelum ini telah mencadangkan sistem sedemikian, yang membolehkan 80 hingga 90 peratus murid melanjutkan pelajaran secara langsung ke sekolah menengah yang mempunyai hubungan dengan sekolah rendah mereka tanpa perlu menduduki PSLE, manakala mereka yang ingin mendapatkan tempat di sekolah-sekolah terpilih masih boleh memilih untuk menduduki peperiksaan tersebut.
Kira-kira 66 peratus responden berpendapat saiz kelas terlalu besar hingga menyukarkan guru memberi perhatian yang mencukupi kepada setiap kanak-kanak; manakala 73 peratus ibu bapa percaya bahawa saiz kelas yang besar menyumbang kepada keperluan mendapatkan tuisyen.