Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu bapa S’pura kian utamakan perkembangan holistik anak
Kajian IPS: Orang tua yang mahu kejayaan anak dalam semua aspek paling tertekan
Ibu bapa S’pura kian utamakan perkembangan holistik anak
Terdapat lebih ramai ibu bapa ‘singa yang penyayang’ di Singapura kini.
Demikian menurut dapatan satu tinjauan yang dijalankan Institut Pengajian Dasar (IPS) mengenai sistem pendidikan Singapura yang dikongsi baru-baru ini.
Kumpulan ibu bapa ‘Loving Lions’ (Singa Penyayang) merangkumi 40.8 peratus daripada 1,500 ibu bapa warga Singapura dan penduduk tetap (PR) yang ditinjau antara Mei dengan Ogos 2026.
Kesemua responden mempunyai anak yang menuntut di sekolah rendah tempatan.
Peratusan itu meningkat daripada 37.5 peratus pada 2016, iaitu kali terakhir tinjauan berkenaan dijalankan.
Kajian itu turut membahagikan ibu bapa kepada dua kategori lain, iaitu ‘New-School Parents’ (Ibu bapa Aliran Baharu) sebanyak 34.3 peratus; dan ‘Detached Realists’ (Golongan Realistik Bebas Emosi) sebanyak 24.9 peratus.
Ibu bapa itu dikumpulkan berdasarkan perspektif dan faktor tekanan mereka berkaitan pendidikan dalam empat dimensi.
Ia termasuk kecenderungan terhadap pencapaian, kecenderungan terhadap pembangunan menyeluruh, tekanan yang dialami ibu bapa dan bentuk penglibatan yang ibu bapa ingin berikan.
Pencapaian akademik, perkembangan holistik sama penting
Menurut kertas kerja IPS, ketiga-tiga kumpulan itu membuktikan bahawa kecenderungan terhadap pencapaian akademik dan perkembangan menyeluruh, seperti pertumbuhan sosioemosi, sebenarnya tidak bertentangan.
Malah kedua-duanya kian wujud secara serentak dalam diri ibu bapa yang sama, walaupun kadangkala menimbulkan ketegangan.
Ibu bapa Loving Lions mengutamakan kedua-dua hasil perkembangan menyeluruh dan pencapaian akademik.
Mereka mempunyai tahap penglibatan yang paling tinggi, serta melaporkan tahap tekanan tertinggi di antara ketiga-tiga kumpulan.
Mereka paling cenderung mempercayai ibu bapa perlu melabur secara besar-besaran dalam tuisyen bermutu (85.5 peratus bersetuju) di samping akur sistem pendidikan menyebabkan tekanan yang tidak perlu (74.8 peratus).
Mereka turut membelanjakan jumlah purata tertinggi untuk tuisyen, iaitu $743.
Ibu bapa New-School Parents pula lebih mengutamakan perkembangan menyeluruh dan melaporkan tahap tekanan yang lebih rendah, serta cenderung mempunyai kedudukan sosioekonomi yang lebih baik.
Walaupun paling kurang berkemungkinan menyatakan akan berbelanja lebih untuk pendidikan tambahan jika mampu, mereka sebenarnya mencatatkan perbelanjaan purata tertinggi bagi kegiatan pengayaan, iaitu $433 sebulan.
Ia menunjukkan bahawa mereka bersikap memilih dalam melabur untuk pendidikan tambahan, namun tidak menolak peranan tuisyen dan kegiatan pengayaan sepenuhnya.
Ibu bapa dalam kumpulan Detached Realists pula kurang cenderung mencorakkan gaya keibubapaan mereka berasaskan satu matlamat akademik atau holistik yang khusus.
Sebaliknya, mereka cenderung melihat pendidikan secara lebih pragmatik – iaitu sebagai suatu keperluan praktikal – dan kurang berkemungkinan mengarah atau mengurus perkembangan pendidikan anak-anak mereka secara intensif.
Sesuaikan dengan personaliti anak
Profil ketiga-tiga kumpulan itu merupakan antara topik yang dikupas oleh barisan anggota panel dalam Forum IPS mengenai Ibu Bapa dan Persekolahan, yang diadakan di Persatuan Universiti Nasional Singapura (NUSS) Kent Ridge Guild House pada 29 September.
Salah seorang anggota panel, Profesor Madya Dr Intan Azura Mokhtar, berkata beliau mendapati dirinya berubah daripada ibu jenis Loving Lions ke New-School Parents dan seterusnya Detached Realists, ketika membimbing ketiga-tiga anaknya dalam pendidikan mereka.
“Ia bukan tentang yang itu atau yang ini. Ia adalah satu spektrum untuk ibu bapa, dan ia bergantung kepada cara mereka menguruskan anak itu, personaliti dan sifat anak itu, apakah perkara yang diminatinya, kecenderungannya dan sebagainya,” kata Dr Intan, yang juga Naib Provos Bersekutu untuk Pembelajaran Melibatkan Masyarakat di Institut Teknologi Singapura (SIT).
Dalam taklimat media yang diadakan sebelum itu, pada 25 September, Zamil Penyelidik Utama IPS, Dr Mathew Mathews, yang juga salah seorang daripada tiga penyelidik kajian tersebut berkata beliau paling prihatin tentang ibu bapa Loving Lions.
“Saya prihatin tentang Loving Lions disebabkan tekanan yang datang dengannya.
“Saya rasa, kita boleh prihatin tentang pencapaian akademik dan perkembangan menyeluruh, tetapi jika ia dilakukan dengan tekanan dan kerisauan bahawa ibu bapa perlu terlibat sepenuhnya sebagai satu jaminan masa depan untuk anak, di situlah datang masalahnya,” ujar Dr Mathews.
Beliau menjalankan kajian itu bersama dua lagi pengkaji IPS, iaitu Zamil Penyelidik, Dr Melvin Tay, dan Zamil Penyelidik Kanan, Dr Teo Kay Key.
“Ibu bapa, dengan niat baik mereka, kadangkala dalam keadaan tekanan yang melampau, membawa kesan yang tidak diingini untuk anak-anak mereka.
“Mereka tidak mendapat sekitaran yang menyeluruh, dan terdapat lebih banyak ketegangan di rumah. Ini bukan keadaan yang sesuai yang kita mahu untuk anak-anak kita,” tambah beliau.
Naluri manusia mahu yang terbaik
Dalam forum yang dihadiri 200 peserta termasuk ibu bapa, seorang peserta bertanya sama ada pemerintah yang menyebabkan “kelakuan singa” itu.
Peserta itu bertanya, memandangkan kedua-dua sekitaran dan tindakan ibu bapa telah menyebabkan keadaan penuh tekanan yang dialami hari ini, mungkin pemerintah perlu mengambil langkah lebih berani terhadap iklan tentang tuisyen, pengayaan atau perumahan yang menjanjikan hasil berkaitan pendidikan.
Dalam menjawab soalan itu, seorang lagi anggota panel, Pengasas Mums@Work Singapore, Cik Sher-li Torrey, berkongsi pengamatannya bahawa sudah menjadi lumrah manusia untuk mahukan yang terbaik bagi anak-anak mereka.
Ketika mengajar kanak-kanak yang kebanyakannya merupakan anak petani di kawasan pedalaman di Jepun, beliau diberitahu yang ibu bapa bersaing untuk memasukkan anak mereka ke sekolah yang lebih baik atau terbaik.
“Saya terkejut kerana kita berada di kawasan pedalaman, mengapa masih ada tekanan dan persaingan.
“Saya sedar yang sudah menjadi sifat semula jadi manusia untuk menginginkan yang terbaik,” katanya.
Menurut Dr Intan, walaupun pemerintah telah melakukan perubahan besar dalam sedekad lalu, seperti meniadakan peperiksaan pertengahan tahun, akan sentiasa ada ibu bapa yang mahukan kelebihan untuk anak mereka.
Justeru, sekiranya pemerintah melarang tuisyen sepenuhnya pada masa hadapan, langkah itu hanya akan memindahkan operasi berkenaan ke pasaran gelap.
Ibu bapa mungkin tidak lagi mencari pusat tuisyen, tetapi menoleh pula kepada individu atau pakar dalam bidang tertentu yang boleh membantu anak mereka, kata Dr Intan.
Beliau turut menyebut tentang wujudnya pusat pengayaan yang memberi jaminan boleh membantu murid untuk berjaya dalam Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA) dengan pembangunan portfolio terbaik.
“Kita akan mencari cara untuk membantu anak kita. Jadi, tidaklah semudah itu bagi pemerintah untuk sekadar mengatakan, ‘larang ini, kekang itu, kawal perkara tersebut’,” kata Dr Intan, yang merupakan mantan Anggota Parlimen (AP).
Dr Mathews, yang juga anggota panel dalam forum itu, berkata jika pengayaan adalah sangat penting, dan terdapat kemahiran baharu yang mempunyai potensi, mungkin boleh ada cara untuk menyokong dan membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan.
Saranannya itu selari dengan perkara yang diketengahkan dalam kertas kerja IPS itu:
“Persoalan utama bagi fasa pembaharuan pendidikan seterusnya adalah bagaimana untuk mengurangkan ketegangan antara perkembangan holistik yang ibu bapa kata mereka hargai, dengan strategi yang ramai masih gunakan untuk memastikan kemajuan akademik dan peluang masa depan anak-anak mereka terjamin.
“Mencapai keselarasan ini akan membolehkan aspirasi pendidikan kekal tinggi, sambil diluahkan melalui pendekatan yang lebih sihat, lebih adil dan lebih selaras dengan komitmen Singapura terhadap mobiliti serta peluang.”
“
“Ia bukan tentang yang itu atau yang ini. Ia adalah satu spektrum untuk ibu bapa, dan ia bergantung kepada cara mereka menguruskan anak itu, personaliti dan sifat anak itu, apakah perkara yang diminatinya, kecenderungannya dan sebagainya.”“
“Ibu bapa, dengan niat baik mereka, kadangkala dalam keadaan tekanan yang melampau, membawa kesan yang tidak diingini untuk anak-anak mereka. Mereka tidak mendapat sekitaran yang menyeluruh, dan terdapat lebih banyak ketegangan di rumah. Ini bukan keadaan yang sesuai yang kita mahu untuk anak-anak kita.”