Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tokyo, Gold Coast, S’pura paling popular bagi melancong berbilang generasi

52 % penduduk S’pura dapati melancong berbilang generasi bawa keceriaan dari segi jalin hubungan dan cipta kenangan dengan orang tersayang
Sep 29, 2024 | 5:30 AM
Tokyo menduduki tempat teratas bagi destinasi paling popular 2024 bagi perjalanan berbilang generasi.
Tokyo menduduki tempat teratas bagi destinasi paling popular 2024 bagi perjalanan berbilang generasi. - Foto PEXELS

Tokyo, Gold Coast dan Singapura merupakan tempat paling popular pada 2024 sedang Urayasu di Jepun, Ayodhya di India dan Uluwatu di Bali menjadi destinasi baru yang trending bagi melancong berbilang generasi, menurut agensi perjalanan dalam talian Booking.com.

Perjalanan antara generasi – selalunya melibatkan datuk nenek, ibu bapa, cucu bersama anggota keluarga lain – merapatkan jalinan keluarga dengan 52 peratus penduduk Singapura mendapati ia membawa keceriaan dari segi menjalinkan hubungan bersama serta mencipta kenangan dengan orang tersayang.

Sementara itu, sebanyak 44 peratus menghargai pengalaman tersebut yang membolehkan mereka berhubung semula dengan keluarga yang jarang mereka jumpa.

Di samping itu, 35 peratus menghargai manfaat kewangan kerana dapat berkongsi kos, menurut kajian Gen.Voyage! yang meninjau perjalanan antara generasi di Asia Pasifik melibatkan lebih 8,000 pengunjung rentas rantau ini termasuk Singapura.

Menurut tinjauan itu, isi rumah yang terdiri daripada berbilang generasi di Asia Pasifik adalah 43 peratus lebih biasa berbanding purata global, justeru memberi pengaruh besar ke atas pendekatan mereka terhadap pelancongan.

Merancang percutian keluarga yang dapat membuat semua pihak berpuas hati bukan mudah.

Keluarga Singapura selalunya bergelut dengan minat yang bercanggah (35 peratus), kesukaran mencari kegiatan yang memenuhi cita rasa semua lapisan umur (33 peratus) dan menangani permintaan logistik untuk memenuhi keperluan semua (32 peratus).

Mengimbangi tahap tenaga dan menangani dinamik keluarga menambah kepada kesukaran merancang perjalanan yang boleh dinikmati semua.

Pilihan penginapan juga adalah pelbagai dengan hotel menjadi pilihan paling popular dalam kalangan keluarga Singapura (68 peratus), diikuti dengan resort (36 peratus).

Trend baru yang muncul ialah tarikan kepada penginapan yang membolehkan keluarga Singapura menghayati budaya seperti ryokan, hanok, rumah panjang dan sebagainya.

Tidak kira jenisnya, pertimbangan praktikal menjadi yang paling penting dalam proses membuat keputusan seperti harga yang dimampui, diikuti kemudahan dapur dan jarak kepada tarikan.

Destinasi yang dimampui, selamat dan yang menawarkan tarikan serta kegiatan mesra keluarga menduduki senarai teratas dari segi keutamaan apabila keluarga Singapura memilih tempat yang ingin dituju.

Kemampanan sekitaran dan peluang selami kebudayaan turut dihargai – yang merupakan pertimbangan sampingan kecil berbanding dengan keprihatinan teras tersebut.

Berikut negara popular yang dipilih bagi perjalanan berbilang generasi serta destinasi yang ‘trending’.

Senarai negara popular dan ‘trending’ bagi perjalanan berbilang generasi berdasarkan carian di Booking.com.
Senarai negara popular dan ‘trending’ bagi perjalanan berbilang generasi berdasarkan carian di Booking.com. - Foto BH oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Pengarah Wilayah, Asia Tenggara & China, Booking.com, Encik Anthony Lu, berkata:

“Bandar seperti Tokyo, Singapura dan Gold Coast kekal popular disebabkan tarikan kebudayaan, kemudahan mesra keluarga, dan pelbagai kegiatan yang memenuhi cita rasa semua lapisan usia.

“Di samping itu, destinasi memuncul seperti Urayasu di Jepun dan Uluwatu di Bali semakin mendapat perhatian daripada keluarga yang memburu pengalaman unik dan memperkaya.

Peralihan ini menonjolkan trend berkembang melibatkan perjalanan antara generasi sedang keluarga mengutamakan destinasi yang menawarkan sesuatu buat semua orang.”

WALAU KECOH, KENANGAN MANIS DICIPTA BERSAMA

Cik Sa’idah Abdul Razak (kiri) bercuti ke New Zealand bersama ibu bapa, anak, adik-beradik dan ipar-duainya pada 2019.
Cik Sa’idah Abdul Razak (kiri) bercuti ke New Zealand bersama ibu bapa, anak, adik-beradik dan ipar-duainya pada 2019. - Foto ihsan SA’IDAH ABDUL RAZAK

Antara yang gemar dan kerap melancong dengan keluarga besar melibatkan ibu bapa, anak, adik-beradik dan ipar duai ialah Cik Sa’idah Abdul Razak, 37 tahun.

Malah beliau sekeluarga memastikan mereka akan ketepikan masa setiap tahun untuk bercuti bersama walau bagaimana sibuk jadual mereka.

Bagaimanapun, ibu satu anak itu berkata proses merancang percutian yang melibatkan keluarga berbilang generasi adalah kecoh dan sukar, apatah lagi jika ia melibatkan belasan anggota keluarga dengan jarak umur jauh – sekecil dua tahun hingga 60-an tahun.

“Kalau saya bercuti tiga beranak dengan anak saya, kami ‘cincai’ (asal boleh) sahaja, tetapi kalau jalan ramai-ramai banyak yang perlu diambil kira. Jenis penginapan, syarikat penerbangan yang memenuhi cita rasa masing-masing, malah kegiatan yang ingin dibuat juga perlu dibincang bersama,” ujar eksekutif perolehan itu yang menambah bahawa logistiknya lebih rumit dan perancangannya perlu dilaksanakan dengan teliti.

Contohnya, untuk memudahkan perjalanan, mereka selalunya mendapatkan apartmen besar tiga atau empat bilik, dan pilihan selanjutnya adalah hotel dengan bilik berasingan yang dapat bersambung.

Cik Sa’idah berkata dengan usia ibu bapanya yang semakin lanjut, orang tuanya lebih gemar bercuti ke destinasi dekat seperti Malaysia dan Indonesia. Negara paling jauh yang pernah dituju bersama ialah New Zealand pada 2019.

“Kami banyak lakukan kegiatan bersiar-siar dengan santai sambil menikmati pemandangan indah.

“Kalau kami lakukan kegiatan luar yang lasak, mereka yang tidak mahu serta akan tunggu di tepi sahaja,” kongsinya.

Menurut Cik Sa’idah, percutian berbilang generasi ini memberi peluang kepada datuk nenek dengan cucu lebih berinteraksi dan menjalinkan kenangan manis bersama.

“Memang seronok bercuti ramai-ramai dan ia boleh eratkan hubungan kita dengan satu sama lain. Lagipun, kita tidak akan benar-benar kenal perangai seseorang itu sehinggalah kita kembara ke luar negara bersama mereka!” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg