Pelakon Tony Eusoff enggan melayan dakwaan mengenai satu rakaman video tidak senonoh mirip wajahnya yang tular di aplikasi X.
Tony atau nama sebenar, Anthony Joseph anak Hermas Rajiman, 48 tahun, berkata tiada sebarang keperluan untuknya berbuat demikian, memandangkan ia tidak memberi sebarang manfaat kepada sesiapa.
“Itu terpulang pada sesiapa nak tengok, kalau nak percaya pun lantaklah...
“Adakah ini fokus hidup mereka? Mereka hidup dengan mencari benda-benda seperti itu? Tak mengapa, saya hormat kalau itulah yang mereka cari.
“Saya ini jenis yang suka fokus kepada kerja, janji tak menyusahkan orang. Bagi saya, kalau tak boleh nak senangkan hidup orang, jangan susahkan orang, itu prinsip hidup saya,” katanya ditemui pada Majlis Tayangan Perdana filem, ‘Balas Balik’, di Kuala Lumpur pada 27 Mei.
Filem arahan Feroz Abd. Kader itu bakal menemui penonton di pawagam di seluruh Malaysia mulai 29 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.
Mengulas lanjut, Tony menegaskan setiap individu mempunyai persepsi tersendiri dan beliau tidak mampu menghalang apa yang bermain dalam fikiran mereka.
“Kalau benda itu menyinggung anda, kenapa tengok? Sebagai manusia, kita ada pilihan, nak percaya atau tidak, itu terpulang kepada individu.
“Jadi, kalau benda itu menyakitkan mata, janganlah tengok. Kalau percaya benda itu betul, lantaklah saya tak boleh nak paksa.
“Sama juga seperti kita tidak boleh nak paksa orang untuk menilai baik atau tidak. Terpulang pada individu.
“Kalau mereka tak suka saya, itu bukan hal saya. Saya tak boleh nak paksa mereka untuk suka, itu hak masing-masing,” jelasnya lagi.
Ditanya mengenai kesahihan video tersebut, aktor kelahiran Kuching, Sarawak, itu bagaimanapun tidak menafikan atau mengiyakan perkara itu.
Sebaliknya, Tony menyerahkan kepada netizen untuk membuat penilaian sendiri.
“Itu saya serahkan kepada mereka, nak percaya atau tidak, lantaklah.
“Anda tahukan, tiada guna saya mengiyakan atau tidak, itu terpulang pada mereka. Itu sahaja yang saya boleh katakan,” tegas Tony lagi.
Mengulas sama ada bakal mengambil tindakan terhadap perkara itu, Tony berkata banyak perkara lain yang lebih penting untuk diutamakan.
“Bagi saya, saya banyak lagi benda lain nak fokus. Paling penting, dalam hidup saya sekarang adalah kerja.
“Sebab kerja yang boleh menjamin saya mempunyai simpanan mencukupi. Sekarang fokus utama saya untuk menjaga ibu yang semakin berusia,” katanya.
Terdahulu, tular video mirip seorang pelakon lelaki berkelakuan tidak senonoh di atas katil. Susulan itu, netizen mendakwa lelaki berkenaan adalah pelakon Tony Eusoff.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg