Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trend lawat safari kian meningkat meski kos tinggi 

Ada yang sanggup ‘belanja besar’ hingga ke Afrika, ada yang pilih destinasi lebih murah
Oct 6, 2024 | 5:30 AM
Encik Muhammad Syabil Sarwani dan Cik Nur Maisarah Omar menikmati pengalaman melihat gajah dari jarak dekat ketika melewati safari di Tanzania.
Encik Muhammad Syabil Sarwani dan Cik Nur Maisarah Omar menikmati pengalaman melihat gajah dari jarak dekat ketika melewati safari di Tanzania. - Foto ihsan NUR MAISARAH OMAR

Pengantin baru, Encik Muhammad Syabil Sarwani dan Cik Nur Maisarah Omar, tidak pernah menjejakkan kaki di Afrika, justeru tatkala memilih destinasi bulan madu, benua itu menjadi pilihan.

Selama 11 hari bermula 22 September, pasangan berusia 26 tahun itu meneroka Tanzania di bahagian timur Afrika, malah berjaya memenuhi hasrat yang didambakan rata-rata pengembara ke sana, iaitu bersua dengan lima haiwan ikonik Afrika yang digelar ‘Big Five’ – singa, harimau bintang, gajah, kerbau Afrika dan badak sumbu.

Walaupun percutian mereka secara keseluruhan menelan belanja kira-kira $16,000 termasuk penerbangan, penginapan, kunjungan safari dan pengalaman menaiki belon udara panas, yang menurut Cik Maisarah “agak mahal”, namun pengalaman yang diraih sangat berbaloi.

“Kami sanggup berbelanja besar bagi safari kerana ia merupakan pengalaman sekali dalam seumur hidup.

“Memerhatikan haiwan ‘Big Five’ dalam habitat semula jadinya dan melihat keindahan alam savana Afrika adalah peluang yang kami tidak boleh lepaskan.

“Kami rasa bahawa pengalaman itu akan mencipta kenangan indah dalam hidup kami, yang membuatkan kosnya berbaloi.

“Lagipun, kami rasa bahawa bulan madu adalah masa sesuai untuk berbelanja besar lebih-lebih lagi di tempat seperti Afrika, kerana pada masa depan jika kami dikurniakan anak, kosnya akan lebih mahal untuk berkunjung ke destinasi sebegini,” kata Cik Maisarah, seorang pakar teknologi perubatan.

Selain berkunjung ke Taman Nasional Tarangire, Taman Nasional Serengeti dan Kawah Ngorongoro, yang menawarkan pemandangan indah buat sajian mata dan menampilkan hidupan liar yang menakjubkan, pasangan itu turut ke pulau Zanzibar dan menikmati pengalaman menaiki belon udara panas.

Encik Muhammad Syabil Sarwani dan Cik Nur Maisarah Omar menikmati pengalaman menaiki belon udara panas di pulau Zanzibar.
Encik Muhammad Syabil Sarwani dan Cik Nur Maisarah Omar menikmati pengalaman menaiki belon udara panas di pulau Zanzibar. - Foto ihsan NUR MAISARAH OMAR

“Kami menaiki belon itu pada waktu subuh dan ia suatu yang tersangat indah.

“Kami menikmati matahari terbit sambil melihat haiwan berkeliaran dengan bebas di savana,” ujarnya, yang menambah bahawa makanan halal sangat mudah didapati memandangkan Islam antara agama yang diamalkan di sana.

Encik Muhammad Syabil Sarwani dan Cik Nur Maisarah Omar berinteraksi dengan warga tempatan Afrika ketika berbulan madu di Tanzania.
Encik Muhammad Syabil Sarwani dan Cik Nur Maisarah Omar berinteraksi dengan warga tempatan Afrika ketika berbulan madu di Tanzania. - Foto ihsan NUR MAISARAH OMAR

Pasangan itu adalah sebahagian daripada bilangan meningkat warga Singapura yang kembara ke Afrika Selatan dan memilih pengalaman safari melihat hidupan liar.

Secara global, tempahan bagi Tanzania telah menunjukkan kenaikan 57 peratus tahun ke tahun, sementara dalam kalangan pengunjung dari Singapura, terdapat peningkatan 40 peratus dalam tempahan bagi percutian Afrika Selatan.

Menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM), Pemimpin Pasukan dan Pakar Perjalanan Mewah Afrika di Scott Dunn, Cik Gwen Ho, berkata demografik pengunjung yang memburu pengalaman kehidupan liar adalah pelbagai, namun kebanyakannya (70 peratus) adalah pasangan, sementara lebih sepertiga adalah keluarga.

“Bagi ramai pasangan, percutian kehidupan liar dilihat sebagai destinasi romantik untuk lari daripada kehidupan bandar yang membolehkan mereka berkongsi pengalaman sekali dalam seumur hidup, menghubungkan semula diri dengan alam semula jadi (dan satu sama lain) dalam suasana yang luar biasa.

“Dalam pada itu, kami juga melihat keluarga yang tertarik kepada pengalaman kehidupan liar disebabkan nilai pendidikannya.

“Kami perhatikan bahawa ibu bapa mahu anak-anak mereka belajar menghargai dunia semula jadi dan ekosistemnya dengan berada dalam jarak dekat bersama haiwan dalam habitat semula jadinya,” kongsi beliau.

Kos safari, tambahnya, berbeza-beza bergantung kepada destinasi dan jenis pengalaman mahupun penginapan.

Secara purata, harga pengalaman safari di Afrika Selatan bermula dari $1,200 seorang bagi satu malam, dengan tempoh perjalanan purata bermula dengan 10 hari.

Kos itu termasuk penginapan, pengalaman dan makanan.

Walaupun kosnya agak tinggi, Cik Ho berkata safari merupakan ‘bucket list’ atau senarai tempat yang ingin dikunjungi ramai orang kerana peluang melihat haiwan ikonik dalam habitat semula jadi mereka adalah suatu yang tidak ditawarkan banyak destinasi lain.

Namun sesetengah pelancong seperti Cik Syakirah Iqbal, 28 tahun, yang enggan mengeluarkan perbelanjaan tinggi, memilih destinasi dekat lebih dimampaui yang turut menawarkan safari: Baobab Safari Resort di Surabaya.

Untuk keluarga berempatnya, termasuk dua anak kecil, Cik Syakirah hanya berbelanja kira-kira $1,200 untuk penerbangan, penginapan dan kegiatan selama percutian empat hari.

“Saya mencari pengalaman safari untuk dua anak saya. Afrika melampaui bajet saya. Ketika membuat kajian, saya terserempak iklan Baobab di Instagram!” katanya, yang berkongsi ilham di sebalik pilihan destinasi beliau.

Di resort itu, Cik Syakirah sekeluarga berpeluang berinteraksi, malah memberi makanan, dengan haiwan yang biasa didapati di Afrika seperti zirafah dan badak sumbu.

“Kami menaiki van peribadi tempat haiwan liar seperti harimau, singa, beruang, kuda belang, bison (sejenis kerbau) dan binatang lain menghampiri kami.

“Kami tidak boleh memegangnya tetapi sangat ‘cool’ melihat binatang itu pada jarak dekat,” ujar pakar media sosial itu.

Cik Syakirah Iqbal bersama suaminya, Encik Irfan Ahmed, dan anak-anak (dari kiri) Zaheer Ahmed dan Bilal Ahmed, bersarapan bersama zirafah di Baobab Safari Resort di Surabaya.
Cik Syakirah Iqbal bersama suaminya, Encik Irfan Ahmed, dan anak-anak (dari kiri) Zaheer Ahmed dan Bilal Ahmed, bersarapan bersama zirafah di Baobab Safari Resort di Surabaya. - Foto ihsan SYAKIRAH IQBAL

Antara pengalaman unik, katanya, adalah pengalaman bersarapan sambil dikelilingi zirafah.

Mereka juga meraih pengalaman berada dalam sangkar sambil dikelilingi karnivor seperti harimau, singa dan beruang.

“Inilah yang paling ‘best’ dan sebab utama mengapa saya ingin pengalaman ini!

“Meletakkan diri dalam sangkar sambil haiwan menghampiri anda, berbanding keadaan sebaliknya seperti biasa, sungguh seronok!” katanya.

Cik Syakirah Iqbal (tiga dari kiri) bersama keluarganya berkunjung ke Surabaya untuk pengalaman safari.
Cik Syakirah Iqbal (tiga dari kiri) bersama keluarganya berkunjung ke Surabaya untuk pengalaman safari. - Foto ihsan SYAKIRAH IQBAL

Cik Syakirah berkata salah satu keprihatinannya adalah kebajikan haiwan.

Bagaimanapun, beliau mendapati binatang di sana bersih, cukup makan dan dijaga baik.

Mengakui bahawa percutian itu tidak boleh disamakan dengan pengalaman sebenar di Afrika, Cik Syakirah berharap beliau dapat menjejakkan kaki di sana suatu hari nanti.

Cik Ho berkata semakin ramai pengunjung yang prihatin tentang layanan beretika terhadap haiwan, dan terdapat permintaan meningkat bagi pelancongan kehidupan liar yang bertanggungjawab.

Sejajar itu, lebih ramai pengunjung memilih pengalaman yang menitikberatkan kemampanan dan kebajikan haiwan dan secara aktif mencari pengendali yang mencerminkan nilai tersebut.

“Kami sarankan agar baca dan buat kajian relevan ke atas pengendali perjalanan serta garis panduan bagi memastikan anda memilih pengalaman bertanggungjawab,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg