Tuisyen boleh bantu, tapi ulang kaji bersama ibu bapa tetap perlu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tuisyen boleh bantu, tapi ulang kaji bersama ibu bapa tetap perlu

Kian ramai ibu bapa ambil langkah awal hantar anak ke kelas tuisyen meski prestasi belum merosot
May 22, 2025 | 5:30 AM

Tuisyen boleh bantu, tapi ulang kaji bersama ibu bapa tetap perlu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Saiful Rizal, Math Prodigies Learning Centre
Pengasas pusat tuisyen matematik, Math Prodigies Learning Centre, Encik Saiful Rizal, menekankan pentingnya ibu bapa mengajak anak melalui sesi ulang kaji bersama-sama secara tekal walaupun mereka telah menghantar anak-anak itu ke kelas tuisyen. - Foto ihsan SAIFUL RIZAL

Setelah membimbing anak sulungnya dalam mengulang kaji semua subjek sejak memasuki sekolah rendah, Cik Nur Ashikin Mahmood, akhirnya memasukkan kanak-kanak itu ke kelas tuisyen bagi dua mata pelajaran pada pertengahan 2023 ketika dia di Darjah 4.

Ini setelah anaknya memberitahu yang dia memerlukan lebih banyak bantuan dalam Matematik dan Sains, dan keputusannya juga sudah mula merosot.

“Pada waktu itu, saya masih membimbing anak saya tetapi bagi subjek Sains, saya mahu dia belajar cara menjawab soalan terbuka dengan betul yang memerlukan penggunaan kata kunci yang tepat dan pemahaman konsep yang lebih baik,” kata ibu dua anak berumur lapan tahun dan 12 tahun itu.

“Bagi Matematik, beberapa soalan agak mencabar dan saya sendiri tidak dapat menjawabnya.

“Selain itu, saya juga kesuntukan masa kerana kadangkala saya habis kerja lambat,” tambahnya, yang bertugas sebagai pakar teknologi perubatan.

Seorang lagi ibu, Cik Aireen Maiza Suhaimi, turut memasukkan anaknya ke kelas tuisyen Matematik ketika di Darjah 4 setelah menyedari beliau tidak lagi dapat membimbingnya dalam subjek itu.

Pengasas pusat tuisyen matematik, Math Prodigies Learning Centre, Encik Saiful Rizal, 37 tahun, berkata beliau mendapati lebih ramai ibu bapa memasukkan anak-anak mereka ke kelas tuisyen pada usia lebih muda sejak beberapa tahun kebelakangan.

Disebabkan terdapat permintaan, beliau telah membuka kelas tuisyen untuk murid Darjah 4 buat kali pertama pada 2025, dan kelas itu telah penuh.

“Ada ibu bapa yang tanya apakah saya membuka kelas bagi murid Darjah 1 dan 2, dan bagi kanak-kanak tadika juga,” kata Encik Saiful, yang telah mengendalikan pusat tuisyennya sejak 2011 dan 90 peratus pelajarnya daripada masyarakat Melayu/Islam.

“Saya melihat lebih ramai ibu bapa kini lebih proaktif dalam mendapatkan bantuan untuk anak mereka lebih awal.

“Kalau dulu, ibu bapa mungkin menunggu hingga anak mereka sudah mencatat kemerosotan ketara baru mereka mencari kelas tuisyen.

“Tapi hari ini, dengan melihat sedikit perubahan prestasi sahaja, ibu bapa sudah mula mencari huraian,” tambahnya.

Menurut tinjauan terkini pemerintah ke atas perbelanjaan isi rumah, keluarga di Singapura membelanjakan $1.8 bilion pada tuisyen privet untuk anak-anak mereka pada 2023, naik daripada $1.1 bilion pada 2013.

Mengapakah hantar anak ke kelas tuisyen?

Menurut guru tuisyen berpengalaman dua dekad, Cik Lenny Syafawatie Abdul Rahman, ibu bapa menghantar anak mereka ke kelas tuisyen kerana mereka berasa anak mereka agak ketinggalan berbanding rakan sebaya dan mereka tidak dapat membantu anak-anak mereka itu.

“Ia bukan kerana ibu bapa tidak tahu sukatan pelajaran tetapi kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk mengajar anak mereka dalam cara yang anak mereka boleh fahami,” kata bekas pendidik Kementerian Pendidikan (MOE) berusia 41 tahun itu.

Sependapat, Encik Saiful berkata bagi murid sekolah rendah, dan terutama bagi subjek Matematik, tahap kesukaran soalan naik mendadak daripada peringkat Darjah 4 ke Darjah 5. Ini mungkin menyebabkan keputusan mereka merosot.

Namun ada juga murid yang mencatat markah baik, tetapi tetap ke kelas tuisyen kerana markah yang diraih tidak setinggi yang mereka atau ibu bapa mereka jangkakan.

“Ada ibu bapa yang meletakkan jangkaan sangat tinggi.

“Jika keputusan anak mereka turun ke 75 peratus, mereka akan mula mencari kelas tuisyen bagi mengelakkan keputusan daripada turun ke bawah 75 peratus dan anak mereka dapat terus meraih gred tertinggi iaitu AL1, AL2 dan AL3,” ujar Encik Saiful.

Gred AL1 merujuk kepada markah 90 dan ke atas, AL2 85 hingga 89 dan AL3 80 hingga 84.

Bilakah anak perlu tuisyen?

Bagi Cik Lenny, seorang kanak-kanak itu memerlukan tuisyen apabila dia mula gagal atau apabila kanak-kanak itu sendiri yang memintanya.

Namun, adakala seorang kanak-kanak itu mahu mengikuti kelas tuisyen bukan kerana dia ketinggalan tetapi kerana dia mahu dicabar dan potensinya dikembangkan.

Adakala juga, kanak-kanak memasuki kelas tuisyen kerana tidak memenuhi jangkaan akademik ibu bapa.

“Tujuan kelas tuisyen adalah untuk membantu murid memahami konsep dan memahami apa yang diajar di dalam kelas.

“Ini bukan kerana guru tidak menjalankan tugasnya tetapi ia lebih kepada pengajaran yang diperibadikan,” kata Cik Lenny.

Encik Saiful pula berkata kanak-kanak yang mula ketinggalan memerlukan tuisyen sebelum mereka tertinggal lebih jauh lagi.

“Topik dalam Matematik selalunya berdasarkan apa yang telah dipelajari sebelumnya dan jika kanak-kanak tidak menangani konsep awal yang mereka tidak faham, ini akan membuat mereka ketinggalan lagi jauh,” katanya.

Tuisyen berkesan atau tidak?

Berkongsi pengalamannya memilih guru tuisyen sesuai untuk anaknya, Cik Aireen berkata selama dua tahun beliau melihat anaknya mengalami kesukaran dengan subjek Matematik walaupun mengikuti kelas tuisyen.

“Hanya selepas dia tukar guru tuisyen saya melihat banyak peningkatan dalam prestasinya,” kata eksekutif bersekutu perkhidmatan pesakit itu.

Anaknya, yang akan menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada hujung 2025, mengikuti kelas tuisyen bagi subjek Matematik seminggu sekali dan boleh memilih mengikutinya secara dalam atau luar talian.

Encik Saiful berkata ibu bapa boleh menilai keberkesanan kelas tuisyen yang diikuti anak mereka dengan merujuk kepada keputusan penilaian atau peperiksaan di sekolah.

Selain keputusan akademik yang lebih baik, Cik Lenny berkata kelas tuisyen boleh dikatakan bermanfaat bagi seorang kanak-kanak itu jika ibu bapa melihat peningkatan keyakinan diri mereka dalam topik atau subjek yang mereka ambil dalam kelas tuisyen.

Namun sebarang perubahan memerlukan masa, sekitar satu semester atau enam bulan, tambahnya.

Menurut Encik Saiful, perubahan paling pantas yang beliau telah lihat sejauh ini dicatat dalam masa tiga bulan.

Namun bagi sesetengah pelajar, perubahan hanya dilihat selepas setahun.

“Ada pelajar yang memerlukan sedikit masa tetapi otak mereka sedang menyerap dan pada hujung tahun, mereka menunjukkan peningkatan yang ketara. Kita perlu bersabar,” katanya.

Dalam memilih cara kelas tuisyen disampaikan, Cik Lenny berkata tidak semua kanak-kanak sesuai mengikuti sesi dalam talian.

Kelas dalam talian lebih sesuai untuk kanak-kanak yang mahir menggunakan teknologi dan lebih lantang bersuara, katanya.

“Di dalam talian, kami tidak dapat membaca bahasa tubuh murid jadi ini agak sukar.

“Ada kanak-kanak pula memerlukan seseorang untuk ada di sisi mereka secara fizikal,” kata Cik Lenny, yang buat masa ini cuma menawarkan kelas tuisyen dalam talian.

Sokongan ibu bapa perlu diteruskan

Namun, walaupun telah memasukkan anak-anak ke kelas tuisyen, ibu bapa perlu terus menyokong pembelajaran anak-anak mereka di rumah, kata kedua-dua tutor itu.

Cik Lenny berkata ibu bapa perlu bekerjasama dengan guru sekolah dan guru tuisyen dan perlu memastikan yang anak mereka melakukan ulang kaji setiap hari, walaupun untuk 30 minit, tidak termasuk masa yang diambil untuk menyelesaikan kerja rumah.

“Ibu bapa tidak boleh bergantung semata-mata kepada tutor. Tutor melihat kanak-kanak itu mungkin sekali seminggu atau mungkin dua kali seminggu.

“Jika kanak-kanak itu ketinggalan jauh, itu sudah tentu tidak mencukupi. Tanpa ulang kaji yang konsisten, setiap kelas tuisyen seperti perlu dimulakan kembali dari mula,” kata Cik Lenny.

Encik Saiful berkata bagi kanak-kanak yang mengikuti kelas tuisyen kerana memerlukan lebih banyak bimbingan, jika mereka tidak mengulang kaji di rumah, mereka tidak dapat mengekalkan apa yang telah mereka pelajari di kelas tuisyen mereka.

“Saya telah lihat dengan sangat-sangat jelas, bahawa pelajar yang mendapat sokongan daripada ibu bapa sebagai tambahan kepada tuisyen, mencatat prestasi lebih baik. Ini kerana pelajar hanya bertambah baik apabila mereka mengulang kaji,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg