Jenama pakaian Jepun, Uniqlo, mengetengahkan koleksi kemeja-T Tamagotchi sebagai penghormatan kepada peranti mainan bersaiz kecil itu.
Peranti Tamagotchi pertama kali dikeluarkan di Jepun pada 1996, namun tidak lama kemudian, menjadi trend di seluruh dunia.
Ia menampilkan haiwan peliharaan maya yang perlu dijaga oleh ‘pemilik’ mereka semasa mereka membesar termasuk memberi makan, lapor The Straits Times.
Uniqlo Singapura akan melancarkan satu koleksi empat kemeja-T wanita pada 15 Disember, setiap satu memaparkan watak atau logo Tamagotchi yang berbeza, dan dijual pada harga $19.90.
Reka bentuk itu diilhamkan oleh seni piksel Tamagotchi generasi pertama yang dikeluarkan pada 1990-an.
Peranti Tamagotchi sebenar juga akan dijual sebagai sebahagian daripada pelancaran dengan harga $39.90, dengan reka bentuk putih yang mengekalkan rupa klasik versi asal.
Kerjasama itu diadakan ketika mainan elektronik tersebut kembali sebagai aksesori fesyen, dengan sesetengah pengguna menggantungnya pada beg atau pinggang mereka sebagai hiasan.
Sebuah laman web dengan permainan mini asal Uniqlo disediakan bagi menandakan kerjasama dan ulang tahun ke-30 haiwan peliharaan maya itu.
Satu permainan membolehkan pemain mengawal Mametchi yang memakai Uniqlo, haiwan peliharaan maya dalam Tamagotchi, antara lain sambil ia mengumpulkan makanan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg