Fesyen musim sejuk berbeza di setiap bandar.
Oleh itu, pelancong yang mementingkan gaya juga harus menyesuaikan diri.
Ia bukan hanya soal suhu, tetapi juga keperibadian.
Bandar Asia Timur seperti Tokyo, Seoul dan Shanghai, memberi peluang untuk mengenakan gaya lebih berani seperti jaket ungu terang, sweater dengan slogan ironik, atau serkup kepala (beanie) dengan telinga haiwan.
Namun, gaya tersebut mungkin tidak sesuai di Eropah.
Skaf kashmir dengan corak kotak memang sesuai di mana-mana, tetapi kelihatan bergaya ketika berada di London.
Jaket hitam mungkin sesuai di semua pusat bandar.
Namun, di Paris, ia perlu sesuai dengan kelembapan Disember yang sederhana, manakala di New York pula, ia perlu tahan salji dan angin sejuk yang kuat, lapor The Straits Times (ST).
Memilih pakaian untuk musim dingin di luar negara boleh menjadi cabaran bagi pelancong Singapura.
Sempena musim cuti akhir tahun, terdapat beberapa pilihan pakaian musim sejuk yang sesuai berdasarkan destinasi popular supaya anda kekal selesa sambil kelihatan bergaya.
Di ibu negara Korea Selatan, jangkaan suhu antara -6 dengan 5 darjah Celsius manakala penduduk tempatan terkenal dengan gaya yang rapi.
Jaket yang diperbuat daripada ‘fleece’ (bahan sintetik yang lembut dan ringan) akan memastikan suhu badan kekal selesa, dengan kededua produk mudah didapati di Uniqlo.
Seamless Down Parka ($169.90) iaitu jaket berwarna kelabu adalah pilihan terbaik untuk gaya bandar Seoul, dan boleh dipadankan dengan cermin mata berbingkai nipis.
Padankan dengan kemeja bercorak yang tersedia di Dover Street Market Singapura oleh jenama London seperti, Ashley Williams ($350 hingga $380) dan Chopova Lowena ($420 hingga $800).
China kini menjadi destinasi popular bagi pelancong Singapura.
Walaupun Disember ialah musim sejuk di Shanghai, bandar bergaya itu tetap menarik untuk dilawati.
Suhunya sekitar 2 hingga 11 darjah Celsius, tetapi cuaca berawan dan angin kuat membuatkannya terasa lebih dingin.
Namun, pada waktu malam, kesejukannya boleh menjadi sangat ketara.
Gaya fesyen di Shanghai biasanya ringkas dan elegan.
Untuk pakaian luar, anda boleh memilih kot panjang dengan potongan lurus seperti, Long Wool Coat dalam warna kelabu ($549); atau Voluminous Belted Wool Coat dalam warna gelap seperti khaki, ungu atau coklat ($359) daripada jenama Sweden, & Other Stories.
Di kawasan French Concession yang sibuk di Shanghai, ramai yang suka memakai warna-warna terang.
Koleksi Kaws Winter oleh Uniqlo, yang dilancarkan pada 21 November, menggabungkan asas musim sejuk dalam warna kuning, merah, dan hijau hutan, dengan sulaman motif ‘XX’ atau watak Kaws.
Sweater Cashmere Crew Neck ($169.90 dalam tiga warna) atau Lambswool Crew Neck Sweater ($49.90 dalam empat warna) boleh menambah sentuhan warna pada gaya yang memerlukan lapisan.
Pada Disember, suhu di Tokyo adalah sekitar 5 hingga 12 darjah Celsius.
Angin boleh membuatnya terasa lebih sejuk, dan menjelang Tahun Baru, waktu pagi boleh mencecah 2 darjah Celsius.
Namun secara umum, cuacanya cerah, sejuk dan tenang.
Cuaca yang selesa dan pemanasan dalam rumah atau bangunan bermakna anda hanya perlukan kot yang tidak terlalu tebal.
Sarung tangan dan skaf tidak diperlukan di sini. Gaya yang memerlukan lapisan adalah pilihan terbaik.
Koleksi Musim Luruh/Musim Sejuk 2025 dari Onitsuka Tiger, yang mendapat inspirasi daripada budaya Tokyo, menawarkan banyak idea fesyen bagi si pemakai.
Pakaian seperti kot dengan mantel ($1,000), jaket kait dan kardigan ($400 hingga $420), adalah pilihan sesuai yang memberi ruang untuk mencerminkan gaya peribadi.
London pada Disember sejuk, lembap, dan mendung, dengan suhu antara 2 dengan 9 darjah Celsius.
Hari lebih pendek, justeru untuk kegiatan sepanjang hari, pastikan pakaian anda sesuai untuk waktu malam.
Untuk gaya British yang sejuk, Burberry adalah pilihan yang tepat.
Koleksi Musim Sejuk 2025 Burberry ($780 untuk skaf dan $3,890 untuk luaran) menampilkan jaket hujan yang dipadankan dengan campuran viscose.
Di Paris, suhu antara 1 dengan 8 darjah Celsius pada awal musim sejuk, dengan kira-kira dua jam cahaya matahari sehari dan hujan.
Pengalaman pada waktu malam di Paris sangat indah.
Gaya fesyen Paris lebih cenderung kepada kemeja berwarna hitam menutup leher (lokar leher penyu atau turtleneck), jean dan kot yang kelihatan tidak terurus namun tetap bergaya.
Untuk aksesori, pilih topi unik dan menyeronokkan, seperti topi fabrik felt kashmir atau topi gaya pillbox Angie.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg