Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usah anggap anak ‘beban’; pasangan raih pengalaman memuaskan bawa dua anak kecil ke umrah

to come
Nov 16, 2025 | 5:30 AM
Encik Sallahuddin Yahya dan Cik Nur Fadhilah Sanib melaksanakan umrah bersama dua anak mereka, (dari kiri) Nur Safiyyah Sallahuddin dan Nur Khalisah Sallahuddin pada 2023.
Encik Sallahuddin Yahya dan Cik Nur Fadhilah Sanib melaksanakan umrah bersama dua anak mereka, (dari kiri) Nur Safiyyah Sallahuddin dan Nur Khalisah Sallahuddin pada 2023. - Foto ihsan SALLAHUDDIN YAHYA

Tatkala Encik Sallahuddin Yahya dan isterinya, Cik Nur Fadhilah Sanib ingin melaksanakan ibadah umrah dua tahun lalu, mereka tidak dapat tepis perasaan bimbang.

Manakan tidak, ia merupakan kali pertama Encik Sallahudin menuju ke Tanah Suci, tambahan pula beliau merancang membawa bersama dua anaknya yang ketika itu berusia empat dan dua tahun.

Tanpa disangka, pengalaman tersebut akhirnya mencipta kenangan yang sangat indah sehingga pasangan itu terdorong melepaskan rindu dengan pulang semula ke Makkah dan Madinah hujung November ini bersama dua puteri cilik mereka, sekarang berusia enam dan empat tahun.

“Setelah pulang, anak perempuan saya tiba-tiba tunjuk minat untuk ketahui lebih tentang Kaabah dan mengenali dua kota suci itu sehingga kami membuat keputusan untuk datang lagi bagi mengukuhkan apa yang telah mereka pelajari,” ujar Encik Sallahuddin, 36 tahun, sambil mengaitkan pengalaman memuaskan itu dengan khidmat yang ditawarkan Salam Series bersama The Nun’s Production.

Berdasarkan pemerhatiannya waktu itu, ia amat sukar mendapatkan khidmat yang mesra kanak-kanak justeru mereka terus merebut peluang mengikuti pakej itu apabila mendapat tahu tentangnya.

Selain peluang untuk menyertai rombongan yang sefahaman – terdiri daripada ibu bapa bersama anak kecil – Encik Sallahudin berkata anak-anaknya dapat belajar tentang ibadah umrah dalam sekitaran yang seronok.

“Contohnya apabila tiba di Bukit Uhud, kanak-kanak memanah supaya mereka dapat mengaitkan kegiatan tersebut dengan sejarah tapak itu.

“Apabila di Makkah dan Madinah pula, kami sekeluarga membungkus ‘goodie bag’ untuk diagihkan kepada kanak-kanak lain supaya anak belajar tentang sikap bersedekah,” ujar guru itu.

Ibu bapa bersama anak-anak membungkus ‘goodie bag’ untuk diagihkan di Madinah.
Ibu bapa bersama anak-anak membungkus ‘goodie bag’ untuk diagihkan di Madinah. - Foto SALLAHUDDIN YAHYA

Beliau menambah bahawa khidmat ‘childminding’ atau menjaga kanak-kanak yang tersedia pada hari-hari tertentu banyak membantu ibu bapa kerana ia memberi mereka ruang bebas untuk lakukan kegiatan sendiri atau melaksanakan ibadah tambahan.

Dengan harapan agar anak kecil tidak dilihat sebagai ‘beban’ ketika mengerjakan umrah, Cik Fadhilah, 34 tahun, menekankan pentingnya ibu bapa mengimbangi jangkaan mereka, dan mengutamakan kesejahteraan diri anak.

“Jika anak penat, mula merengek, tak perlu ke masjid, solat sahaja di surau. Saya dan suami juga bergilir-gilir untuk ke masjid. Apabila mendirikan solat jemaah pula, kami sebagai ibu bapa akan menyediakan bahan untuk mengisi masa lapang mereka seperti alat mewarna,” ujarnya.

Hakikatnya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ia susah melayan karenah anak-anak kecil dan semestinya “menguji diri”, namun Cik Fadhilah berkata ia sudah menjadi lumrah perjalanan keibubapaan dan tujuannya yang lebih besar adalah untuk mendedahkan anaknya kepada suasana umrah.

“Ibu bapa perlu tanya diri sendiri, apa tujuan mereka ke sana. Jika mereka betul-betul mahu ibadah sepenuhnya, contohnya duduk di masjid dari maghrib ke isyak, mungkin berkunjung ke sana tanpa anak-anak akan menjadi pilihan,” jelasnya.

Secara keseluruhan, pasangan tersebut membelanjakan kira-kira $18,000 untuk keluarga empat beranak bagi umrah 11 hari akan datang, namun anggap harga tersebut berbaloi.

“Melaksanakan umrah secara DIY (lakukan secara sendiri) bukan pilihan yang sesuai kerana mengikuti pakej bererti hal logistik sudah diurus, membolehkan kami memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah umrah dan anak-anak kami,” kata Encik Sallahuddin. – NUR HUMAIRA SAJAT

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg