Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Usah perlekeh tanda kemurungan selepas bersalin: Doktor

Sedari gejala, ketahui cara dapat bantuan penting bagi bantu ibu baru bersalin
atasi kesan kemurungan
Jan 15, 2024 | 05:30 AM



Usaha melakukan pemeriksaan yang lebih menyeluruh terhadap ibu yang baru melahirkan telah dapat mengenal pasti lebih ramai ibu yang mengalami kemurungan selepas bersalin, kata perunding kanan merangkap Ketua Jabatan Perubatan Psikologi, Hospital Universiti Nasional (NUH), Dr Cornelia Chee.

Bagaimanapun, kesedaran yang lebih baik terhadap gejala dan mengetahui cara mendapat perkhidmatan sokongan yang disediakan boleh membantu memperbaiki lagi keadaan, tambah beliau.

Gejala kemurungan selepas bersalin termasuk kebimbangan yang melampau atau ketidaktentuan emosi, dan ia antara lain boleh disebabkan oleh faktor seperti ketegangan dalam rumah tangga.

“Biasanya, adalah lebih baik jika ibu sendiri mengenali gejala itu tetapi ada kalanya, jika si ibu menafikan atau memandang rendah kesan simptom tersebut, keluarga harus mengambil langkah,” nasihat Dr Chee.

“Doktor juga boleh memainkan peranan dengan bersikap proaktif dan bertanya tentang masalah kesihatan mental – ini mungkin doktor keluarganya, pakar obstetrik atau pakar pediatrik yang menjaga bayinya,” tambah beliau, lapor akhbar The Straits Times (ST).


Terdapat sekurang-kurangnya 47 kes kemurungan, serta kebimbangan dan kemurungan, dilaporkan pada 2022 di NUH – peningkatan ketara daripada purata 25 kes setahun antara 2020 dengan 2021.

Menurut Dr Chee, peningkatan itu sebahagian besarnya boleh dikaitkan dengan pertambahan sokongan dan jangkauan yang diberikan kepada ibu oleh pasukan Perkhidmatan Kesihatan Emosi Wanita (WEHS) di hospital.

Pasukan itu menyokong wanita di Singapura yang menghadapi masalah emosi semasa mengandung dan pada tahun pertama selepas bersalin.

WEHS diketuai oleh pasukan karyawan penjagaan kesihatan pelbagai disiplin yang terdiri daripada pakar psikiatri, ahli psikologi, pengurus kes dan ahli terapi pekerjaan.

NUH juga mempunyai program, dimulakan pada 2008, yang menyaring bakal ibu pada trimester pertama, kedua dan ketiga, serta selepas bersalin untuk mengesan tanda kemurungan.

Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) menyaksikan peningkatan 78 peratus dalam bilangan pesakit yang mengalami kemurungan selepas bersalin atau kesukaran yang berkaitan dengan penyesuaian kepada peranan baru sebagai ibu, pada separuh pertama 2023, berbanding tempoh yang sama pada 2022.

Perunding kanan dan ketua Perkhidmatan Kesejahteraan Mental Wanita KKH, Dr Chua Tze Ern, tidak memberikan angka tetapi berkata mereka adalah pesakit yang telah menjalani program saringan kemurungan selepas bersalin yang bermula pada 2008.

Pada pelancaran garis pandu pertama Singapura mengenai kesihatan mental selepas bersalin pada Februari, KKH berkata, ia telah menyaksikan peningkatan ketara dalam kes kemurungan selepas bersalin semasa pandemik.

Dengan garis panduan itu, ia berharap dapat membantu meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental ibu melebihi tempoh empat hingga enam minggu selepas kelahiran, apabila doktor memantau secara aktif tanda-tanda kemurungan selepas bersalin.

Sementara itu, lebih 1,600 pesakit KKH telah disaring untuk kemurungan antenatal, atau kemurungan semasa kehamilan – yang meningkatkan risiko kemurungan selepas bersalin – sejak Disember 2022.

Lebih 8 peratus didapati mempunyai tanda-tanda kemurungan yang ketara.

Ibu yang tertekan bukan sekadar menunjukkan tanda-tanda yang biasa diketahui, seperti semangat atau mood yang lemah dan mudah menangis.


Si ibu juga boleh menunjukkan tanda-tanda mengasingkan diri daripada bayi, keluarga dan orang-orang tersayang, tetapi juga mudah marah, kata Dr Chee.

Selain menawarkan sokongan tanpa menghukum secara emosi dan praktikal, keluarga dan rakan-rakan boleh sentiasa prihatin mengenai semangat atau mood seorang ibu yang baru melahirkan.


Ini terutamanya jika beliau sentiasa berasa lemah, memencilkan diri atau mudah marah melebihi dua minggu, dan dapatkan bantuan profesional jika perlu, tambahnya.

Seorang karyawan terlatih juga akan dapat membezakan antara kesan biasa selepas melahirkan, seperti rasa kecewa dan bimbang tentang membesarkan bayi, dan keadaan yang lebih serius seperti sukar menyesuaikan diri, kemurungan klinikal atau kebimbangan, dan memberikan nasihat sewajarnya.

Banyak faktor menyumbang kepada kemurungan sebelum dan selepas bersalin, selalunya dalam interaksi yang kompleks, kata Dr Chua.

Sebagai contoh, mempunyai sejarah kemurungan peribadi atau keluarga mungkin telah menyumbang kepada zaman kanak-kanak yang sukar dan menjejas hubungan wanita itu dengan ibu bapanya sendiri.

“Kadang-kadang, ini menimbulkan konflik emosi lama yang tidak dapat diselesaikan apabila beliau cuba memikirkan mengenai keibubapaan, atau beliau mungkin mempunyai ciri-ciri personaliti yang meningkatkan risiko kemurungan seperti terlalu mementingkan kesempurnaan atau pesimis.”

Ramai ibu di sini juga mengamalkan rutin berpantang dalam beberapa bulan pertama selepas bersalin.

Sesetengah daripada mereka mungkin berasa terharu apabila tiba masanya untuk penyedia khidmat semasa tempoh berpantang meninggalkan mereka, sementara yang lain mungkin mengalami pengalaman berpantang yang tidak menyenangkan dan berasa dihakimi, kata beliau.

Dr Chee menekankan: “Secara umumnya, jika gejalanya ringan, dan bertahan kurang dua minggu, tidak perlu mendapatkan bantuan.

“Masalahnya dengan ibu yang mengalami gejala sederhana... kekurangan cara untuk membantu meramalkan jika atau bila mereka boleh menjadi lebih buruk.”

Oleh itu, adalah lebih baik untuk mendapatkan bantuan daripada seorang karyawan dengan rangkaian sokongan perubatan yang lengkap dan akses kepada jabatan kecemasan dan wad psikiatri jika perlu, katanya.

Konsultan di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Besar Singapura, Dr Yang Liying, berkata ada beberapa cara mendidik orang ramai bahawa kemurungan selepas bersalin adalah keadaan perubatan biasa.

Ia bukan tanda kelemahan atau kurang keupayaan, serta wujudnya akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan mental masyarakat dan talian bantuan sokongan.

Kemurungan selepas bersalin bukan sahaja menjejas seorang wanita dan keupayaannya untuk menjaga anaknya.

Banyak kajian menunjukkan wanita yang mengalami kemurungan selepas bersalin berkemungkinan mempunyai anak yang berisiko tinggi untuk mengalami kebimbangan dan gangguan kemurungan di kemudian hari, kata Dr Chee.

Tanda-tanda
ibu kemurungan

Kemurungan adalah salah satu daripada keadaan kesihatan mental ibu yang paling biasa dan dicirikan oleh gejala berikut:

[ο] Semangat atau mood yang lemah, atau mudah marah;


[ο] Hilang minat atau perasaan seronok dalam kegiatan;

[ο] Gangguan tidur yang tiada kaitan dengan keperluan bayi;

[ο] Perubahan yang tidak dijangka dalam selera makan atau berat badan;

[ο] Ingatan yang lemah;

[ο] Keletihan;

[ο] Pergolakan emosi;

[ο] Salahkan diri sendiri atau rasa bersalah yang berlebihan;

[ο] Rasa putus asa dan negatif tentang masa depan; dan

[ο] Berfikir untuk cederakan diri sendiri atau bayi, dan/atau membunuh diri.

Jika gejala ini berterusan selama lebih dua minggu dan menjejas keupayaan ibu untuk menjalankan kegiatan normalnya, beliau harus digalakkan supaya mendapat bantuan perubatan.

Sumber: Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >