Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

TENGOK WAYANG

Walau kini 80 tahun, Harrison Ford tetap ligat selaku wira aksi lasak

‘Indiana Jones & The Dial of Destiny’ tidak sepi daripada babak aksi mendebarkan
Jul 03, 2023 | 05:30 AM



Kekhuatiran bahawa filem kelima dan kemungkinan terakhir dalam francais filem Indiana Jones, Indiana Jones and The Dial of Destiny, pastinya ‘lemau’ kerana usia heronya, Harrison Ford, yang sudah mencecah 80 tahun, menyelinap dalam jiwa sebelum menyaksikan pratonton filem ini di pawagam Shaw Lido baru-baru ini.


Bagaimanapun, setelah menyaksikan filem ini hampir setengah jam, rasanya bukan sahaja ia membawa kembali nostalgia menyaksikan filem kedua, Indiana Jones and The Temple of Doom, di pawagam Odeon sekitar 1980-an bersama ayah, abang dan teman sekolah menengahnya ketika itu, malah aksi yang dipaparkan dalam filem terkini ini pun cukup mendebarkan.


Walau sudah mencecah usia 80 tahun, Ford tetap wira aksi lasak yang tidak ketinggalan dengan dialog lucu dan gerak-geri selamba yang kadangkala boleh menyakitkan hati, lebih-lebih lagi mengenang kedegilannya untuk melakukan sesuatu mengikut kata hatinya yang berani mati.

Kali ini, saya tak kisah pula bau burger yang memanggil-manggil untuk dimakan dalam pawagam sebagai santapan makan malam. Sebaliknya, saya terus menyaksikan pakar arkeologi kegemaran ramai, Indiana Jones (lakonan Ford) berkejar-kejar dengan anak angkatnya Helena Shaw (Phoebe Waller-Bridge), dalam beca automatik yang bergerak laju di lorong sempit dan sesak.

Dr Jones dan Helena kemudian membawa penonton menyelami dasar lautan, turun naik bukit bukau yang penuh debu dan batu kerikil serta menjelajah terowong dan gua yang gelap.

Sememangnya babak sebeginilah yang akan buat penonton terpaku pada layar pawagam. Tak sempat nak jenguk-jenguk pesanan pada telefon bimbit pun. Mata ini terpaku sahaja pada setiap babak yang dirakam di England, Scotland, Maghribi dan Italy.

Steven Spielberg yang mengarah empat filem Indiana Jones sebelum ini telah mengundurkan dirinya sebagai sutradara dengan James Mangold mengambil alih tugasnya dan memulakan penggambaran pada Jun 2021. Sekitar Februari 2022, penggambaran filem ini tamat.


Ia merupakan filem dalam francais Indiana Jones yang termahal malahan antara filem Hollywood paling mahal pernah dihasilkan dengan bajet penerbitan yang ditetapkan mencecah AS$295 juta ($398 juta)


Tayangan perdana filem ini juga dibuat di Pesta Filem Cannes ke-76 pada 18 Mei.

Jalan cerita filem ini kembali pada Perang Dunia Kedua sekitar 1944.

Dr Jones dan rakannya Basil Shaw berada di Eropah untuk menemukan semula artifak yang dicuri kelompok Nazi. Mereka menghalang saintis Nazi, Jurgen Voller, daripada memperolehi jam matahari Archimedes (ahli matematik Greece yang terkenal) yang boleh membantu individu mengembara masa.

Sekitar 25 tahun kemudian, Dr Jones masih resah kerana pemerintah Amerika telah mendapatkan khidmat bekas pegawai Nazi untuk mengatasi Soviet Union dalam satu perlumbaan angkasa. Dr Jones terdesak bersara kerana menentang khidmat bekas pegawai Nazi berkenaan.

Voller yang kini anggota Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) dan juga mantan pegawai Nazi yang terlibat dalam program mendarat ke bulan Apollo ingin menjadikan dunia ini ruang lebih baik kerana dia melihat usaha mendapatkan jam matahari itu akan memantunya bersemuka dan bersaing dengan Dr Jones sekali lagi.

Anak Basil dan Helena kemudian mengikuti Dr Jones dalam kembaranya memperolehi jam matahari Archimedes itu.

Hubungan persis situasi benci tapi rindu Dr Jones dan Helena menjadi nadi filem ini. Kadangkala mereka mesra dan nampak saling mengambil berat tetapi ada masanya Helena payah menghadam kedegilan Dr Jones.

Daya tarikan filem ini terletak pada dialog berunsur lawak bijak yang dilontarkan Dr Jones dan Helena. Dalam suasana genting pun, mereka masih boleh bergurau senda dan memperli satu sama lain.

Ford membuktikan semakin dirinya matang, semakin menyerlah kawalan emosinya di layar filem. Beliau nampak cergas dengan kuasa kesan khas janaan komputer mampu ‘memudakan’ wajahnya dalam beberapa babak awal filem ini.

Helena juga wanita anggun yang lasak serta kelihatan selamba sahaja dalam setiap babak cemas atau menggerunkan yang membahayakan nyawanya. Bridge menghidupkan watak ini dengan baik berbekal keserasian dengan Ford. Beliau menggambarkan peribadi seorang anak yang sukar memahami keputusan bapa angkatnya itu.

Kalau pun anda tidak dapat mengembara atau tidak berdaya membelek halaman buku sejarah, Indiana Jones and the Dial of Destiny membawa anda terbang jauh.


Ada juga kupasan kisah sejarah seperti tokoh matematik seperti Archimedes yang muncul pada penghujung filem untuk memujuk Dr Jones agar betah dalam dunio kuno yang bukan eranya demi memperjuangkan pengembaraan masa dan misi kemanusiaan.

Ada kejutan pada penghujung filem ini yang mampu mengubat sikap keras kepala Dr Jones.

Cuba teka: Apakah yang boleh mencairkan hati seorang lelaki lasak kalau bukan cinta hatinya? Tonton filem ini untuk mengembara masa bersama Dr Jones dan juga memahami erti eskapisme (melarikan diri) untuk menikmati ketenangan dan pengorbanan besar demi tugas dan masyarakat sekeliling.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >