Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wan Hanafi Su usul subjek Sejarah di M’sia dirombak

Jan 22, 2024 | 5:40 PM
WAN HANAFI SU: Usul sukatan subjek Sejarah di Malaysia diubah agar menceritakan kebenaran, bukan atas dasar mengangkat kisah silam kaum penjajah.
WAN HANAFI SU: Usul sukatan subjek Sejarah di Malaysia diubah agar menceritakan kebenaran, bukan atas dasar mengangkat kisah silam kaum penjajah. - Foito STUDIO KEMBARA

Pelakon veteran Malaysia, Wan Hanafi Su, tidak gentar sekiranya watak Tok Gajah yang dibawakan di dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah dibandingkan dengan kisah sebenar tokoh berkenaan yang telah ditulis dalam sejarah.

Menurutnya yang kini berusia 73 tahun, kebanyakan kisah sejarah di Malaysia telah ditulis golongan yang mempunyai kepentingan peribadi.

“Ada kalanya, sejarah yang ditulis pun ada yang tak betul. Malah, kisah-kisah sejarah di Malaysia juga begitu. Ditambah pula ia telah ditulis oleh penulis orientalis.

“Mereka memaksa orang ramai percaya tentang sejarah sesuatu negara yang dijajah untuk kepentingan mereka sendiri. Itu memang kerja penjajah,” katanya dalam satu laporan Media Hiburan.

Wan Hanafi Su mengulas demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem berkenaan baru-baru ini.

Pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2013 itu bahkan menggesa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia agar menggubal semula sukatan mata pelajaran Sejarah yang telah diajar selama ini.

“Saya rasa, sudah sampai waktunya untuk pihak Kementerian Pendidikan berfikir tentang keperluan kita mengajar lagi mata pelajaran Sejarah pada generasi akan datang tetapi sejarah yang bukan kepunyaan kita.

“Generasi masa kini harus diajar tentang sejarah yang sebetulnya. Pihak Barat telah memaksa golongan orientalis untuk menulis sejarah yang mengangkat kebodohan kita.

“Sebab itu saya sangat menyokong hasrat penerbit. Tak banyak penerbit filem yang mahu mengangkat elemen sejarah lebih penting daripada keuntungan material,” ujarnya lagi.

Beliau berpendapat kisah-kisah sejarah di Malaysia perlu diamati kerana banyak pengajaran yang mampu menguatkan jati diri anak bangsa.

“Ini merupakan persiapan kita untuk menempuh hari-hari mendatang. Sampai bila kita nak berikan kepada generasi kita perkara yang telah dirancang untuk kepentingan orang Barat?” soalnya lagi.

Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah ditayangkan di pawagam Malaysia dan Singapura sejak 11 Januari lalu.

Filem terbitan, Studio Kembara ini merupakan susulan filem pecah panggung, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang ditayangkan pada 2022.

Ia turut menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Fattah Amin, Nur Fazura, Nadhir Nasar dan Namron serta pelakon Indonesia, Tissa Biani, yang pernah membintangi filem seram fenomena, KKN Di Desa Penari.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah pula telah meraih kutipan ‘box-office’ sebanyak RM2.4 juta ($684,125) dalam tempoh tayangan 56 jam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg