Mengapa lelaki yang mampu bertutur dengan yakin tiba-tiba membisu apabila di sisi si ‘dia’ – baik temanita mahupun sang isteri? Beza pula dengan wanita yang tampak pemalu di khalayak ramai tetapi berbual tanpa henti di sisi Cik Abang sayang.

Semasa di zaman politeknik dulu, saya pernah kenal dengan Mamat yang umpama tahu segalanya.

Dia ibarat ‘Mr-Know-It-All’. Cakaplah apa saja, macam-macam saranan dan komen nanti terhambur keluar daripada mulutnya.

Ramai betul manusia yang dia kenal di atas muka bumi ini!

Kalau di hadapan sekumpulan teman, antara dialognya ialah: “Kau tak boleh macam gitu. Kena macam gini?

“Alah... bukan susah sangat pun. Benda ni chicken aja. Itu pun kau tak tau ke?

“Eh, aku kenallah dengan si polan punya...”

Maklumlah si polan tu orang popular, jadi konon dirinya hebat dikaitkan dengan datuk, nenek, moyang pihak yang sedang dibahaskan.

Entahlah, mungkin sebahagian wanita sukakan lelaki yang punya keyakinan diri yang tinggi sebegini. Tetapi bagi saya, kalau berkeyakinan tetapi sekadar untuk bermegah-megah sedangkan hakikatnya kosong aja pun buat apa ‘kan?

Lebih baik saya dengar lagu si Najwa Latif yang bertajuk Kosong tu!

Dulu, istilah world belum muncul. Jadi saya sekadar menamakannya ‘si Mamat eksyen’.

Inilah jenis Mamat yang buat orang perempuan rasa menyampah dan mual sehingga bagai nak terkeluar segala isi perut.

Apa tidaknya? Setiap kali apabila dia berada di hadapan mata, rasanya bebola mata ni terpaksa kerja overtime main gimnastik. Penat oiiii!!! Telinga pun ikut berasap! Bingit!

Masa itu saya pelajar daripada jurusan Komunikasi Massa. Tapi ironinya, saya pula tidak banyak cakap.

Dari dulu lagi, saya memang lebih banyak mendengar dan memerhati daripada bercakap.

Saya tengok memang terdapat kaum lelaki yang banyak mulut apabila di khalayak ramai. Ceritanya mengalahkan Nujum Pak Belalang atau Kisah 1,101 Malam.

Entahlah apa sebabnya. Mungkin gara-gara nak buat ramai kagum terhadap kehebatannya.

Tetapi meskipun banyak songeh apabila di hadapan ramai, apabila keluar dating dengan teman saya, lain pula ceritanya dengan si Mamat ‘world’ ni!

Dia khabarnya macam bisu pula! Tertinggal skrip di rumah ke bang oiii?

Menurut kata teman saya, apabila berbual dengannya, si ‘Mat world’ sampai berbisik-bisik. Er... malu ke?

Eiiii... berbulu pula telinga saya dibuatnya!

Apakah penilaian saya mengenai lelaki sebegini?

Mungkin ego membuat mereka ingin lebih menyerlah daripada kaum sejenis.

Mereka hanya nampak berani dan maco atau eksyen pandai di luar tapi sebenarnya, hmmm... Tuhan saja yang tahu!

Apabila diri sudah lebih menonjol, maka lebih mudahlah bagi dirinya memaut si pilihan hati.

Sayangnya, ‘Mat world’ dengan ‘Minah setempat’ mungkin tiada kesesuaiannya.

Orang perempuan @ ‘Minah setempat’ (kecuali yang jenis loudspeakers), pada pandangan saya memang rata-rata lebih selesa jika tidak perlu bersuara terutama apabila berada di hadapan mereka yang tidak begitu dikenali.

Mungkin naluri wanita yang mudah berasa segan dan malu merupakan penyebabnya.

Kita orang perempuan tidak perlu ‘berbual world’ untuk dapat perhatian lelaki.

Bukannya apa, nak ‘berbual world’ pun nak cerita pasal apa? Mungkin ‘world’ atau dunia kami dengan orang lelaki berbeza.

Orang perempuan cenderung pada kejujuran yang tanpa perlu dibuat-buat.

Apabila berhadapan dengan si dia yang menjadi pasangan, pelbagai perkara ingin dikongsi dengannya.

Bukan sekadar isu ‘world’ atau isu setempat, malah, inside out iaitu isi hati dalamannya!

Itulah sebabnya apabila kami sudah berada di tahap selesa dengan seseorang lelaki itu, maka banyak pula spelling-nya!

Jangan marah eh bang...

Apabila kami banyak spelling, ia juga petanda awak telah mencapai tahap yang agak istimewa! Tak suka ke kalau kami ingin berkongsi segalanya, for your ears only?