Seorang wanita berusia 46 tahun dari Uttar Pradesh, India, yang telah menyimpan rambutnya sejak berusia 14 tahun, telah menerima Rekod Dunia Guinness untuk rambut terpanjang di dunia bagi orang yang masih hidup.
Rambut Cik Smita Srivastava berukuran 236.22 sentimeter – sesuatu yang menakjubkan.
Beliau yakin kesuburan rambutnya ada kaitan dengan keturunan atau baka ibunya yang turut memiliki rambut sihat dan panjang.
“Dalam budaya India, anak perempuan secara tradisinya mempunyai rambut yang amat panjang.
“Dalam masyarakat kita, ia dianggap tidak menguntungkan untuk menggunting rambut, jadi itulah sebabnya wanita lebih suka menyimpan rambut panjang,” kata Cik Srivastava kepada laman web Guinness World Records (GWR).
“Rambut panjang meningkatkan kecantikan wanita,” tambah beliau.
Untuk memastikan beliau dapat menggayakan rambutnya dengan menawan, beliau meniru gaya pelakon Bollywood dari era 1980-an yang mempunyai “rambut panjang dan cantik”.
Mengenai penjagaan rambut pula, Cik Srivastava berkata beliau mencuci rambutnya dua kali seminggu.
Keseluruhan proses, termasuk mencuci, mengeringkan, mengurai rambut yang kusut dan menggayakan, mengambil masa sehingga tiga jam setiap kali.
Setelah rambut kusut dapat diurai dan kering sepenuhnya, beliau menyikat, menocang, mengikatnya menjadi sanggul.
Cik Srivastava tidak pernah memotong rambutnya sepanjang 20 tahun, katanya kepada GWR.
Beliau pernah mengumpul rambutnya yang gugur apabila mengalami keguguran rambut yang “banyak”.
“Idea untuk membuang rambut yang gugur pun amat menyedihkan saya. Saya mula menangis kerana saya mengalami keguguran rambut seperti itu,” katanya.
“Itulah detik pertama dalam hidup saya bahawa saya tidak membuang rambut saya,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg