Satu acara yang meraikan peranan usahawan, pemimpin dan penggerak masyarakat wanita akan diadakan pada 12 September ini.

Acara Ikon SG Gala & Awards Night, anjuran Ikon Women Singapore, mengiktiraf sumbangan wanita kepada masyarakat dan pencapaian mereka dalam bidang masing-masing.

Seramai 16 wanita akan menerima anugerah pada acara yang berlangsung di Centrium Square pada 12 September itu, meliputi bidang kesejahteraan, seni, pendidikan, kerja kemasyarakatan dan keusahawanan.

Mantan Presiden merangkap Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (Suss), Puan Halimah Yacob, bakal hadir semasa acara itu selaku tetamu terhormat.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah Ikon Singapura, Cik Sakinah Sharip, berkata acara itu memberi penekanan terhadap sumbangan calon-calon wanita itu kepada masyarakat.

“Saya lihat ramai wanita sebenarnya melakukan perkara-perkara hebat dan memberi impak, tetapi mereka tidak meminta pengiktirafan.

“Ada juga yang melakukan kerja kemasyarakatan secara senyap dan tidak mahu diketengahkan. Maka, adalah penting untuk kita mempunyai satu wadah bagi meraikan pencapaian mereka, supaya mereka dapat terus melangkah ke hadapan dan memberi lebih banyak sumbangan,” kata Cik Sakinah, 40 tahun, yang juga pengasas syarikat perunding imej, Lash Image Consultant.

Dalam proses penilaian anugerah itu, ciri-ciri seperti impak dan sumbangan kepada masyarakat serta kepimpinan dan inisiatif, masing-masing membawa 25 peratus markah.

Kelestarian serta visi pemerkasaan membawa 20 peratus markah, manakala pencapaian dan perkembangan diri serta kebolehan berucap dan membuat pembentangan masing-masing menyumbang 15 peratus.

Empat anggota panel penilai ialah Presiden Ikon Malaysia, Dato’ Normaziah Sheikh Mohamed, yang juga ketua juri; Cik Sakinah; Presiden Institut Global bagi Kepimpinan dan Pengurusan Singapura (Gilms), Profesor Dr Relawati HMS; serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan M Kapital Holdings, Cik Kohe Hasan.

Kelab wanita, Ikon Women Singapore, ditubuhkan sejak Oktober 2025 dan merupakan cabang pertama di luar Malaysia di bawah rangkaian Ikon Women Malaysia.

Kesemua 16 pemenang anugerah itu terdiri daripada wanita berusia 21 tahun ke atas. Selain piala dan selempang, setiap pemenang akan menerima sesi bimbingan pembangunan diri dan kerjaya tajaan Go Global Business School.

Salah seorang daripada mereka juga akan diumumkan sebagai wakil Singapura ke Woman Ikon Award Malaysia di Kuala Lumpur pada akhir September.

Presiden Ikon Women Singapore, Cik Fadilah Majid, Pengarah Urusan di Spa Jelita, berkata: “Menerusi anugerah ini, kami berharap dapat memberi lebih banyak perhatian kepada wanita yang sumbangan bermakna mereka mungkin tidak selalu menerima pengiktirafan sewajarnya.

“Di Ikon Women Singapore, kami percaya setiap wanita berpotensi menjadi seorang ikon. Dengan berkongsi perjalanan wanita-wanita yang memberi inspirasi ini, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai wanita agar yakin pada diri sendiri, mengejar aspirasi mereka dan terus memberi impak positif kepada keluarga, kerjaya serta masyarakat.”