Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

30 tahun berkhidmat sebagai guru Madrasah Aljunied diiktiraf

Terima Anugerah Bakti Ulama dalam Majlis Raya anjuran Alumni Madrasah Aljunied Al-Islamiah
Apr 30, 2025 | 5:30 AM
Ustazah Samaniah Razi
Ustazah Samaniah Razi, kini 71 tahun, mempunyai 30 tahun pengalaman mengajar di Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan kini masih mengekalkan hubungan dengan bekas muridnya menerusi media sosial. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Bagi generasi pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah dari 1980-an hingga ke era 2010, nama Ustazah Samaniah Razi, kini 71 tahun, bukanlah satu nama asing.

Beliau bukan sekadar seorang guru, malah laksana ibu kepada para pelajar, pembimbing dalam ilmu dan akhlak, serta lambang dedikasi dalam dunia pendidikan agama.

Pada 26 April, sumbangan besar beliau dihargai menerusi Anugerah Bakti Ulama yang disampaikan dalam Majlis Raya anjuran Alumni Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Dilahirkan pada 1953, Ustazah Samaniah, menimba ilmu di Singapura dan juga luar negara.

Dari Madrasah Wak Tanjong ke Madrasah Ridwan, akhirnya beliau menyambung pelajaran di Nilam Puri, Kelantan, sebelum diterima masuk ke Universiti Al-Azhar, Kahirah dalam jurusan Bahasa Arab.

Di bumi Mesir itulah beliau menuntut ilmu selama enam tahun bermula sekitar 1976.

Tiga Dekad di Aljunied

Sekembalinya dari Al-Azhar sekitar 1982 atau 1983, beliau terus mengabdikan diri sebagai tenaga pengajar di Madrasah Aljunied selama hampir 30 tahun.

Bagi beliau, mengajar bukan sekadar satu kerjaya tetapi satu bentuk khidmat bakti.

Tempoh 30 tahun bukan singkat.

Namun bagi Ustazah Samaniah, setiap tahun yang diluangkan sebagai pendidik di Madrasah Aljunied adalah ibarat lembaran kisah perjuangan yang mengukir makna mendalam dalam kehidupannya.

Beliau bukan sekadar seorang guru, malah pencetus semangat dan pengukir masa depan bagi ramai anak muridnya yang kini menjadi pemimpin dalam bidang keagamaan di Singapura.

Sebelum itu, beliau sendiri merupakan antara pelajar perempuan terawal yang menjejakkan kaki ke Madrasah Aljunied pada awal era pembukaan institusi itu kepada pelajar wanita.

Sebagai pendidik, Ustazah Samaniah, melalui pelbagai fasa dalam dunia pendidikan.

Dari era pengajaran tradisional berasaskan papan hitam dan kapur, beliau menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi pada 1990-an.

“Saya belajar guna PowerPoint (slaid persembahan), overhead projector (paparan visual)... semua itu supaya pelajar tidak ketinggalan dan saya sendiri kekal relevan,” katanya sambil tersenyum.

Keikhlasannya dalam menyampaikan ilmu membuahkan hasil yang tidak ternilai.

Antara bekas anak didiknya termasuk mantan Mufti Singapura, Ustaz Fatris Bakaram; Mufti sekarang, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir; Presiden Muhammadiyah, Ustaz Azri Azman; dan Presiden Pergas, Ustaz Tarmizi Abdul Wahid, dan ramai lagi guru agama yang kini menjadi rujukan masyarakat.

Beliau menyimpan rasa syukur yang mendalam, bukan atas kejayaan mereka semata-mata, bahkan kerana masih dikurniakan peluang untuk menjadi sebahagian kecil dalam perjalanan ilmu mereka.

“Seronok mengajar ni, sebab kita dapat sampaikan apa yang kita tahu kepada pelajar.

“Kejayaan mereka bukan kerana saya, tetapi kerana ramai lagi guru-guru lain, doa orang tua dan kerja keras anak-anak murid sendiri.

“Indah apabila lihat anak-anak murid sambung belajar, kerja elok-elok. Itulah kemanisan seorang guru,” ujarnya dengan senyum bangga.

Antara kenangan yang melekat di hati beliau ialah apabila bekas pelajar, yang kini bergelar ustaz dan ustazah, datang menziarah di Hari Raya.

Antara yang rajin menziarahinya, termasuk Ustaz Nuzhan Abdul Halim, Pegawai Eksekutif Masjid Jamiyah Ar-Rabitah; dan Ustaz Raja Muzaffar Shah, Penyelaras Program Perdaus.

“Mereka kalau datang ziarah, mesti bawa keluarga. Rasa sebak… macam seorang ibu tengok anak berjaya.” kata beliau.

Ketika usia melangkah 59 tahun, Ustazah Samaniah mula mengalami masalah kesihatan yang menyukarkan beliau untuk terus mengajar.

Dalam masa yang sama, suaminya jatuh sakit. Seakan diatur Tuhan, beliau sudah berhenti mengajar dan dapat menumpukan sepenuh masa menjaga suaminya hingga ke akhir hayat.

Selepas pemergian suami, beliau hanya mengajar mengaji secara sambilan di rumah.

Dalam usahanya untuk kekal berhubung dengan para pelajar, Ustazah Samaniah turut membuka akaun Facebook, atas galakan dan bantuan seorang anak muridnya.

“Bukan untuk ikut trend, tapi saya tahu pelajar sekarang banyak di sana. Saya nak terus beri dorongan, walaupun hanya dengan komen atau pesanan ringkas,” katanya.

Bagi beliau, peranan seorang guru tidak tamat di dalam kelas.

Menyentuh tentang penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), beliau berpandangan ia boleh dimanfaatkan jika digunakan dengan niat yang betul.

“Gunakan dengan hati yang ikhlas, bukan semata-mata untuk hasil cepat atau tugas mudah. Apabila ajar ilmu agama, kita bukan hanya ajar fakta – kita bentuk akhlak, jiwa dan panduan hidup,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa peranan guru agama berbeza daripada guru biasa.

“Apa yang kita ajar bukan sekadar ilmu, tapi jalan hidup seperti yang ditunjukkan dalam Al-Quran.

“Ilmu itu bukan hanya untuk dihafal, tapi untuk dihayati dan diamalkan. Itulah beza guru dunia dan guru akhirat,” jelas beliau.

Anugerah Bakti Ulama yang diterima oleh Ustazah Samaniah bukan hanya menghargai jasanya sebagai guru, malah sebagai seorang wanita yang telah mewakafkan hidupnya untuk ilmu, agama dan insan sekeliling.

Meskipun jauh daripada pentas dan gelaran, beliau adalah bintang yang sinarnya tetap dikenang oleh anak-anak didiknya.

Ustaz Raja Muzaffar, ketika dihubungi Berita Harian, berkata: “Guru umpama pelita dalam kegelapan… dan Ustazah Samaniah adalah pelita yang tidak pernah padam dalam hati pelajarnya. Beliau sentiasa menasihati kami walaupun di alam maya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg