Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantu wanita keluar daripada kemelut, peroleh kejelasan hidup

Pembimbing kehidupan tawar program bantu wanita teroka kesejahteraan diri kenali kekuatan dalaman
Sep 24, 2025 | 5:30 AM
Cik Nur Kamilah Mohd Sharip ialah Jurulatih Kehidupan Penguasaan Diri dari Kamilah MS .
Cik Nur Kamilah Mohd Sharip ialah Jurulatih Kehidupan Penguasaan Diri dari Kamilah MS . - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Anda rasa hidup ini terus bergerak... tetapi anda masih di takuk lama.

Anda sudah cuba rutin. Kata-kata semangat. Nasihat. Namun tetap terperangkap dalam kitaran emosi yang berulang.

Letih kerana terlalu banyak memberi. Terhimpit dengan pelbagai andaian. Tidak pasti langkah seterusnya.

Hakikatnya? Anda tidak perlukan lagi “jalan pintas.” Yang anda perlukan ialah kejelasan.

Itulah yang diperjuangkan oleh Cik Nur Kamilah Mohd Sharip, pengasas Kamilah MS, sebuah perniagaan bimbingan kehidupan yang memberi tumpuan dalam membantu individu, khususnya wanita, keluar daripada kepenatan emosi, kekeliruan, dan kitaran hidup yang merugikan, menuju ke arah kehidupan yang lebih jelas, yakin dan penuh makna.

Daripada Introvert, Jadi Berani Pidato

Perjalanan peribadi Cik Nur Kamilah, kini 41 tahun, bukanlah laluan mudah.

Suatu ketika dahulu, beliau merupakan seorang pelajar dengan keputusan yang sering mengecewakan, sehingga ibunya, seorang guru, tidak tahu bagaimana lagi hendak membimbing anak sendiri.

Beliau kemudian dihantar ke kem motivasi yang dikendalikan oleh penceramah tersohor dari Malaysia, Dr Fadzilah Kamsah.

Hasilnya, sedikit demi sedikit keyakinan diri terbina.

Daripada seorang introvert, sering dibuli atau membuli, beliau mula berani berpidato, bertanding dalam syarahan dalam bahasa Melayu, dan akhirnya diterima masuk ke Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah.

Itulah detik awal Cik Nur Kamilah melihat bagaimana pembangunan diri mampu mengubah haluan hidup seseorang.

Keletihan Jejas Emosi

Namun, cabaran sebenar hadir ketika usia beliau baru mencecah usia 20-an.

Beliau bukan sahaja menjadi isteri dan ibu muda, malah turut menjaga bapa mentua yang menghidap Alzheimer, ibu bapa dan datuk nenek yang menghidap angin ahmar, barah, dan kegagalan ginjal.

“Dari umur 20-an, saya sudah jadi penjaga. Tapi waktu itu, tiada sumber sokongan.

“Kesejahteraan mental bukan topik yang dibincangkan. Saya terperangkap, sehinggalah saya hampir berputus asa,” kongsi beliau.

Walaupun mencatat banyak kejayaan, termasuk kerjaya dalam bidang kewangan (insurans), pelaburan, malah mampu membeli rumah privet, Cik Nur Kamilah akhirnya mengalami keletihan teruk sehingga didiagnosis dengan gangguan penyesuaian.

“Semua itu buat saya berhenti sejenak. Saya sedar, apa gunanya kejayaan material kalau kita hancur di dalamnya?

“Saya perlu kembali kepada asas… meneliti apa yang boleh buat saya benar-benar bahagia,” akuinya.

Bangkit Daripada Trauma

Daripada detik gelap itulah lahir tekad baru.

Pada 2019, Cik Nur Kamilah menubuhkan Kamilah MS, membina masyarakat sokongan dan menawarkan pelbagai program bimbingan.

Semasa pandemik Covid-19, beliau menggunakan masa dan sokongan kewangan yang ada untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang ‘Neuro-Linguistic Programming’ (NLP) dan meraih pensijilan pengamal unggul atau master practitioner.

NLP adalah sistem mengenai teknik dan prinsip yang bertujuan meningkatkan kesedaran diri, komunikasi, dan perkembangan peribadi dengan memahami hubungan antara minda (neuro), bahasa (linguistik), dan corak tingkah laku dan emosi (pengaturcaraan).

Hari ini, beliau membantu kaum wanita, daripada ibu tunggal, pekerja tertekan, hinggalah mereka yang berasa terperangkap – melalui program seperti Kelas Induk Daripada Keletihan kepada Kejelasan (Overwhelm to Clarity Masterclass) dan Pengalaman Kejelasan (Clarity Experience).

“Perkara asas yang saya ajar ialah kesedaran diri. Ramai orang tidak faham bagaimana tubuh dan minda mereka berfungsi.

“Bila kita sedar punca rasa tertekan, sama ada hormon, kurang tidur, atau keperluan diri yang tidak dipenuhi, kita boleh mula menyelaraskan hidup kita.

“Bila tubuh kita selaras, barulah ia menyokong kita untuk maju,” ujarnya.

Cari Keberanian Diri

Antara peserta yang Cik Nur Kamilah bimbing, ada yang akhirnya berani meninggalkan persekitaran kerja toksik, membuat keputusan kewangan besar, atau berdiri teguh melawan rasa takut dinilai orang.

Beliau tahu benar bahawa ramai wanita Melayu/Islam di Singapura terhalang oleh stigma ‘aib’ – bimbang membuka mulut atau mencari pertolongan.

“Tetapi sebenarnya, bila kita cari bantuan, itu bukan aib. Itu tindakan berani untuk memperbaiki diri,” tegas beliau.

Peroleh Cahaya Daripada Kegelapan

Hari ini, Cik Nur Kamilah sudah menemui kebahagiaan dalam perkahwinan ketiganya, sambil membesarkan empat anak dan terus memperluas perkhidmatan, selaku pembimbing kehidupan ke peringkat antarabangsa.

Khidmat beliau tersebar dari mulut ke mulut hasil rangkaian hubungan yang terjalin menerusi pelbagai projek usaha sama dan siaran di media sosial.

Beliau mengingatkan setiap wanita yang berasa hilang arah supaya “jangan tunggu sampai runtuh. Jaga diri anda dahulu”.

“Bila anda jatuh, semua orang yang anda jaga juga akan terkesan.

“Kejelasan bukan datang dari luar, ia datang bila kita berani berhenti, mendengar diri, dan memilih untuk hidup dengan penuh makna,” katanya.

Program lima hari Crystal Clarity Experience oleh Kamilah MS direka khas untuk membantu wanita meleraikan kekusutan minda, membina daya tahan, dan menemui satu arah jelas untuk bergerak ke hadapan.

Ini kerana pada akhirnya, setiap wanita layak untuk hidup dengan kejelasan, keyakinan, dan ketenangan dalaman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg