Laluan zaman persekolahan mungkin mudah bagi sebilangan remaja, namun tidak bagi yang lain.
Ada yang mungkin terpaksa meninggalkan sekolah akibat cabaran keluarga, masalah kewangan atau isu peribadi di akhir sekolah menengah.
Mereka mungkin tercicir kerana tidak berjaya ke politeknik atau ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Di sinilah lahirnya Starfish Singapore, sebuah daya usaha berasas masyarakat yang dipimpin oleh pendidik berjiwa besar, Cik Siti Yariyati Mohamed, 53 tahun.
Guru Matematik yang mengajar di sebuah sekolah swasta itu ingin menyediakan wadah bagi memberi peluang kedua bagi pelajar tercicir meneruskan pengajian, sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat ITE.
“Apa yang menggerakkan saya ialah keyakinan bahawa pendidikan itu penyamarata sosial.
“Apabila saya sedar tiada laluan khusus bagi belia tercicir untuk kembali ke (bidang) akademik, saya tahu ia satu jurang yang tidak boleh diabaikan,” ujar beliau, yang telah mengajar sejak 2002.
Pada 2015, Cik Siti Yariyati bersama dua rakan pengasas, Encik Andrew Schauf dan Cik Ritu Manchanda, memulakan Starfish dengan hanya tiga pelajar.
Tanpa dana tetap, mereka mengajar secara sukarela di bilik darjah pinjaman, malah pernah mengadakan sesi ulang kaji di restoran makanan segera.
Kini mereka mendapat tempat secara tetap di Pusat Belia Tzu Chi Humanistic di Yishun Central.
Dari situlah, program itu berkembang.
Kini, Starfish mempunyai sehingga 60 pelajar dalam satu-satu masa, dengan kelas mingguan diadakan setiap Isnin dari 9.30 pagi hingga 1.30 tengah hari, meliputi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Melayu.
Sasaran pelajar yang diambil adalah daripada aliran Normal Teknikal – dari usia 16 hingga 21 tahun – kerana ia merupakan asas untuk melangkah ke ITE.
“Konsep kami mudah, ia seperti sebuah sekolah mini. Ada jadual, buku teks, ujian penggal, malah peperiksaan percubaan.
“Kami mahu mereka kembali rasai suasana sekolah, tanpa rasa gentar atau terasing,” jelas Cik Siti Yariyati.
Nama Starfish diambil daripada kisah klasik seorang kanak-kanak yang menyelamatkan tapak sulaiman di pantai.
Walau tidak mampu menyelamatkan semuanya, setiap seekor yang dilemparkan semula ke laut memberi erti besar.
Begitulah semangat Starfish Singapore, iaitu memberi peluang kedua kepada belia tercicir, satu demi satu.
Kemasukan tidak ditentukan oleh gred, tetapi oleh motivasi dan kesediaan pelajar.
“Ada pelajar yang menangis ketika temu duga, bukan kerana takut, tetapi kerana rasa syukur diberi peluang.
“Kadangkala, sekadar diberi ruang mencuba semula sudah cukup mengubah hidup mereka,” cerita beliau dengan sebak.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, daripada kekurangan ruang kelas hingga dana operasi, Starfish kini melakar pencapaian besar.
Kira-kira 97 peratus pelajar layak memohon masuk ke ITE pada 2024.
Bahkan ada alumni kini menuntut hingga ke peringkat ijazah dan ramai yang sudah mendapat pekerjaan yang baik.
Sekitar 40 peratus sukarelawan kini terdiri daripada bekas pelajar yang kembali untuk membantu.
Salah seorang pelajar pertama yang datang daripada keluarga berantakan kini sudah menamatkan ijazahnya.
“Ia bukti bahawa mereka masih punya mimpi, cuma perlukan peluang dan sokongan,” kata Cik Siti Yariyati.
Starfish bukan sekadar kelas akademik. Ia juga membina keyakinan diri melalui sesi ‘kumpulan yang dipercayai’ agar pelajar bebas berkongsi cabaran hidup mereka.
Program itu berteraskan lima nilai utama yang dipanggil, Stripe Values, antara lain termasuk ketabahan, hormat dan tanggungjawab.
“Kadangkala, mereka dilabel sebagai ‘budak bermasalah’.
“Tetapi saya selalu tekankan bahawa mereka juga ada impian. Mereka mahu berjaya, mahu hidup lebih baik. Cuma mereka kurang kaedah untuk mencapainya,” jelas beliau.
Starfish berdaftar sebagai sebuah pertubuhan sah sejak 2020.
Ia beralih pada syarikat berhad dengan jaminan (CLG) pada 2024 selepas menerima geran $150,000 daripada pertubuhan kedermawan, Majurity Trust.
Ini membolehkan mereka menggajikan dua kakitangan sepenuh masa bagi memastikan program terus mampan.
Starfish genap 10 tahun pada 2025.
Sebuah kempen pengumpulan dana, Ray of Hope, sedang berlangsung dari Julai hingga Oktober 2025 bagi menyokong pertumbuhan program serta pengambilan tenaga kerja baru.
“Kami mahu kekal sebagai ruang selamat untuk belia, bukan sekadar untuk sijil akademik, malah untuk membina nilai hidup.
“Apabila mereka berjaya, kami mahu mereka pula menyumbang kembali kepada masyarakat,” tambah Cik Siti Yariyati berkongsi harapan.
Dalam proses membimbing belia itu, prestasi peribadi Cik Siti Yariyanti sendiri turut berkembang.
Beliau mengikuti kursus di Persatuan Disleksia untuk memahami perbezaan gaya pembelajaran pelajar.
“Dulu saya hanya lihat matematik dari sisi akademik. Kini saya sedar, ada pelajar yang perlu diajar dengan cara berbeza.
“Setiap orang boleh berjaya jika diberi peluang,” katanya penuh yakin.
Di sebalik cabaran yang dilalui pelajarnya, antara lain termasuk yang kehilangan ibu bapa secara mendadak – ekoran kematian atau atas sebab lain – Cik Siti Yariyati tetap mengekalkan semangat positif.
“Kalau terlalu serius, kita akan cepat penat. Jadi, kami belajar untuk ketawa bersama.
“Yang penting, jangan berhenti percaya bahawa satu peluang kecil boleh membawa perubahan besar,” katanya sambil tersenyum.
Starfish Singapore berdiri atas keyakinan bahawa setiap bintang laut yang dikembalikan ke laut tetap bernilai dan setiap pelajar yang diberi peluang kedua, punya sinar masa depan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg